Sabtu, 20 September 2014
Makam Di Bukit Panau (Tanah Merah)
MAKAM DI BUKIT PANAU
TANAH MERAH, KELANTAN: Bukit Panau yang terletak di laluan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Bukit Panau yang berjiran dengan Kampung Sungai Keladi memang gah sejak dulu. Bukit Panau bukan sahaja pernah dijadikan sebuah tempat untuk bertapa, bersuluk, beruzlah dan mengasingkan diri untuk memantapkan lagi tuntutan ilmu kebatinan dan kerohanian. Tetapi Bukit Panau pernah dijadikan sebagai "landmark" bagi pelaut antarabangsa yang mudah diakses dari Laut China Selatan.
Namun, hakikatnya pada tahun 1349 Masihi, Bukit Panau telahpun dijadikan sebagai perkampungan terawal dan pertemuan Wali Songo (Wali Sembilan) untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa, malah terdapat sebuah gua yang terlindung di sebalik pandangan umum itu pernah dijadikan gelanggang persilatan.
Pahlawan besar yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan sebagaimana yang tercatat dalam lipatan sejarah ialah dikenali“Hang Tuah”. Hang Tuah pernah menuntut ilmu persilatan yang meliputi bidang kebatinan dalam gua Bukit Panau sejak usia awal 1400 tahun dari salah seorang ahlul bait yang juga dari keluarga Rasulullah S.A.W bernama Syed Thananuddin atau masyarakat di situ menggelarkannya sebagai Syeikh Saman atau catatan dalam sejarah dikenali sebagai Adi Putra.
Bahkan Sayed Thananuddin yang merupakan guru Hang Tuah itu adalah adik kepada Syed Hussein Jamadil Kubra yang merupakan Ketua Wali 7 (Tanah Melayu) dan juga Datuk Wali Songo (Indonesia/Jawa). Hakikatnya, Bukit Panau telah dijadikan perkampungan Wali Songo untuk memulakan dakwah ke Tanah Jawa. Dikatakan, asal usul nama negeri “Kelantan” berasal dari tempat itu apabila kumpulan Wali Songo yang diketuai Sunan Bonang datang ke Bukit Panau itu dan apabila kedua-duanya bersalam terbitlah “kilatan” dari arah gua di bukit itu sebanyak tiga kali.
Dari istilah kilatan mewujudkan nama Kelantan dikekalkan sehingga hari ini. Pancaran kilat itu boleh disaksikan di kawasan taman rekreasi tempat Puteri Sa’adong dan Cik Siti Wan Kembang bersemayam dikenali Taman Serendah Sekebun Bunga di Pangkal Kalong (Ketereh, Kota Bharu), Danau To' Uban (Pasir Mas) dan di Kampung Pengkalan Kiat (Machang). Bahkan Bukit Panau amat jelas apabila berada di Kampung Pengkalan Kiat ini kerana Bukit Panau itu dipisahkan oleh Sungai Kelantan sejauh kira-kira 600 meter. Sejarah berkenaan luput ditelan zaman disebabkan sikap iri hati pihak British yang memadamkan sejarah tempat itu supaya tidak diketahui oleh generasi yang akan datang.
JEJAK SEJARAH cuba menjejak sebuah makam yang terdapat di puncak Bukit Panau itu. Difahamkan, sebelum ini makam berkenaan tidak diberikan perhatian yang wajar sehingga tidak lagi dianggap sebuah pusara (makam). Kemudiannya, makam itu telah dibaikpulih di mana di sekelilingnya dibina papan yang dicat kuning.
Persoalannya, makam siapakah yang terdapat di puncak Bukit Panau itu? Ada yang mendakwa, makam itu milik Sayed Hussein Jamadil Kubra, malah terdapat versi lain menyatakan makam itu adalah milik Sayed Thananuddin kerana beliau seorang alim terawal bertapa dalam gua itu. Malah ada yang mendakwa makam itu adalah milik kedua-duanya.