Sabtu, 10 Ogos 2024

[MURAJAAH]: BAGAIMANAKAH HENDAK MENCARI RIJAAL, MURABBI ATAU WALI-WALI?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ إهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ  الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ  وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ  نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ  وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ  وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ 

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 

Telah menerangkan jawapan pada persoalan ini oleh Murobbina Al Arifbillah Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani At Tijaniy Hafizahullahu Ta'ala didalam kitab Irsyadul Asfiya karangannya, bahawa;

Bumi Allahﷻ yang terbentang luas ini tidak akan sunyi dari wali-wali Nya, mereka itu terlebih dekat kepadanya (sipencari) daripada urat yang berada dilehernya. 

Jikalau seseorang itu telus dan bersungguh-sungguh dalam mencari mereka itu, nescaya dia akan menemui mereka, tetapi singgahsana utama istana tidak akan diduduki oleh orang yang bukan ahlinya. 

Firman Allahﷻ; 

وكانوا أهلها وأحق بها
Ertinya: Mereka itu adalah ahli singgahsana tersebut, dan terlebih layak dengannya. 

Sesungguhnya Allahﷻ telah menghilangkan mereka daripada pandangan orang ramai, kerana mengasihani akan hamba-hambaNya. 

Berkata Imam Junaid r.hu : 

Jikalau Allahﷻ tidak menghilangkan wali-wali dan hakikat diri mereka daripada pandangan orang ramai, nescaya manusia akan musnah binasa kerana tidak mengikut mereka, dan mereka itu akan menjadi hujah pembalasan atas manusia tersebut dihari kiamat kelak. 

Tetapi Allahﷻ telah menyembunyikan diri mereka dalam rupa manusia biasa (anak Adam) dan tidak akan mengenali mereka, melainkan orang yang seumpama mereka. Ataupun terdapat sesiapa yang dikehendaki Allahﷻ untuk mendapatkan manfaat keberkatan dari diri mereka. 

Maka ketika itu, tersingkaplah darinya rupa dan sifat manusia, dan dapatlah Musyahadah akan hakikat dirinya yang sebenar lagi Rabbani. 

Ya Allah ya Tuhanku, daku memohon kepada Engkau dengan berkat kedudukan pemimpin Auliya Engkau dan pemimpin orang pilihan Engkau, iaitu Sayidina Wamaulana Muhammad ﷺ, Baginda ﷺ adalah pintu utama kepada Engkau, dan cermin bagi Dzat Engkau ya Allahﷻ. Janganlah Engkau jauhkan kami daripada berjiran dan berdekatan dengan mereka, didunia dan diakhirat. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

PERJALANAN TORIQAH KURNIAAN ILAHI (YAKNI SYUHUD AKAN NIKMAT HAKIKAT MUHAMMADIYYAH) ADALAH JALAN SULUK BARU UNTUK SAMPAI KEHADRAH ALLAH﷽

Allah menghantar Rasul Ulul Azmi lebih kurang setiap 500-600 tahun,

jarak antara Sayyidina Isa dan Sayyidina Muhammad ﷺ dalam 500-600 tahun.

Rasulullah lahir 570 masihi dan wafat tahun 632 masihi, Allah telah menutup kenabian dengan Nabi Muhammad ﷺ maka tidak ada lagi Nabi selepasnya.

Tetapi nafahat Allah kepada Ummat ini, Dia tetap menghantar setiap zaman pengganti Rasulullah ﷺ, dan setiap 100 tahun ada mujaddid zaman.

500-600 tahun selepas kewafatan Rasulullah ﷺ , ada seorang wali Agung yang membawa manusia menghambakan diri kepada Allah dengan toriqahnya. Bahkan ulama'-ulama' mujtahid dalam mazhab seperti Imam Suyuti, Imam Sya'roni, Sultanul Ulama' Izz al-Din Abdus Salam, dan ramai lagi mengakui keilmuan dan kewaliannya bahkan mereka mengikut perjalanan beliau. Beliau ialah Syekh Abu Hassan Asy-Syadzili yang lahir pada 1196 masihi dan meninggal pada 1258 masihi. Beliau membawa toriqah syukur, cara suluk baru untuk sampai kepada Allah menggantikan cara suluk mujahadah sebelum itu yang dibawa oleh Imam Ghazali dan pendahulunya.

Selang masa 500-600 tahun seletah wafat Syekh Abu Hassan Asy-Syadzili lahir pula Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya'Muhammadi Maklum membawa cara suluk baru untuk sampai kepada Allah. Beliau lahir di Ain Madhi, Jazair, Maghribi pada 1735 masihi dan wafat pada 1815 masihi. 

Setiap cara suluk itu sesuai dengan zamannya, zaman ini tidak lagi orang mampu bersuluk cara mujahadah, di mana nak dapatkan sesuatu yang betul-betul halal sangat susah. Dan siapa yang mampu menahan 7 anggota badannya dengan internet dan sosial media ini dan nikmat-nikmat yang boleh menguasai kita.

Zaman ini juga kita dihujani dengan nikmat-nikmat Allah yang melimpah ruah, kalau dulu orang nak pergi ke sesuatu tempat makan masa berhari-hari kini hanya beberapa jam saja. Teknologi yang pantas sehingga ada orang yang baru saja beli model baru handphone, tak sampai setahun dah keluar yang baru pula. Nikmat yang terlampau bercambah ini sehingga boleh berpecahnya perasaan dan hati seseorang. Mula dapat yang pertama syukur kepada Allah, hati mula bercita-cita dengan yang seterusnya kerana terlampau bercambahnya nikmat di zaman ini.

Maka Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya' Muhammadi Maklum membawa suluk baru dengan hanya syuhud dan memandang kepada satu-satunya nikmat yang paling agung sahaja, nikmat itu adalah nikmat hakikat Muhammadiah. Semua nikmat yang datang adalah asalnya datang dari usul nikmat ini. Jika hari ini kita dapat berbagai nikmat ketahuilah kita dapat semua itu kerana hakikat Muhammadiah. Kita dapat merasa lazat makan minum sekarang, nikmat berkahwin, nikmat kenderaan, nikmat alam ini di dunia dan di akhirat adalah kerana Sayyidul Wujud Muhammad ﷺ. Maka Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya' Muhammadi Maklum menyarankan kita syuhud dan syukur dengan usul nikmat ini. Inilah suluk yang paling sesuai di zaman ini.

Maka dikurniakan kepada kita untuk membuka hakikat Muhammad itu dengan al- Yaqut Faridah (Permata Tunggal) akhir zaman. Itulah selawat fateh yang mana selawat ini adalah kunci untuk membuka hakikat Muhammad. Dengan itu kita dapat tenggelam dan syuhud dalam hakikat ini.

Wallahualam

Khamis, 8 Ogos 2024

CIRI 2 HAMBA YANG DIKURNIAKAN MAQAM MUKHLASIN ( المخلصين)

Hamba (manusia) itu milik Tuannya (Allah)
Maka dia tak memiliki sesuatu apapun hatta dirinya sendiri
Hamba itu tidak meminta, menanti, mengharapkan ganjaran atau pembukaan kerna meminta pembukaan itu penghalang kepada pembukaan atau kurniaan

Hamba itu tidak mengharapkan ganjaran daripada tuannya
Dia tiada kehendak sendiri, hanya menurut kehendak tuannya
Dia tiada habuan sendiri
Dia memperkemaskan amalan namun tidak memandang kepada amalan tetapi memandang (syuhud) kepada tuannya

Hidupnya hanya untuk mengesahkan kehambaan kepada tuannya
Dia tak rasa amalnya sempurna
Dia tidak menisbahkan amalnya kepada dirinya kerana dia dan amalnya adalah milik tuannya
Dia tiada keakuan diri
Dia tiada menzahirkan ketuanan
Dia tidak mendakwa kelayakan atas amalnya untuk mendapat apapun kurniaan tuannya

Hamba itu tiada tujuan dengan tuannya
Dia tidak meminta-minta kepada tuannya kerna dia tahu tuannya pasti menguruskan halnya
Dia malu dengan taatnya seperti orang yang malu dengan maksiatnya
Dia tidak merasakan dirinya dekat dengan tuannya
Dia rasa hina kotor malu dekat tuannya
Itulah hamba sejati, hamba Allah

"BUANG semua, dapat SEMUA"
-murobbina SAYYIDI AHMAD AL HADI AL HASANI AL MAGHRIBI AT TIJANI HAFIZAHULLAHU TA’ALA-

Via /ustaz ubaidah muqaddam tijani k.l

HADRAH ZIKIR ,HAILALAH DAN WAZIFAH TIJANIAH


Hari Jumaat adalah Penghulu segala hari. 
.
Pada petang Jumaat telah sempurna satu jenis ciptaan Allah yang terakhir, yang terbaik dan yang menjadi rumusan alam iaitu manusia (Adam AS).
.
Pada ciptaanNya yang terakhir inilah akan lahirnya Penghulu segala kejadian iaitu Sayyidina Muhammad ﷺ.
.
Oleh kerana itu pada setiap petang Jumaat, hadrah Sufi/tarekat mereka berkumpul dan berzikir di petang yang mulia ini sehingga terbenam matahari.
.
Pada petang jumaat selepas Asar juga ada waktu yang sangat mustajab doa.

Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”. 
[Riwayat Ahmad, (7688)]

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar ”. [Riwayat al-Nasa’ie, (1389)] [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar, 2/436]

Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari.
.
Jika ada yang bertanya kenapa hadrah sufi sibuk berzikir bukannya berdoa sedangkan ada waktu mustajab ketika itu. Ini kerana

Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadits qudsi bahawa Allah berfirman; “Barang siapa yang menyibukkan diri dengan (zikir)mengingat-Ku, niscaya Aku akan memberikan kepadanya yang terbaik dari apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang memohon(berdoa).” [Riwayat Imam Tirmidzi]

Ubai bin Kaab meriwayatkan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari masa doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab: Terserah kepadamu.” Aku pun berkata: “Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: “Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu. Aku berkata: “Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata: “Aku jadikan seluruh waktu doaku untuk selawat kepadaMu.” Baginda bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.” (HR at-Tirmidzi, 8/497 No: 2381)

Sayyidina Abu Darda رضي الله عنه berkata Rasulullah ﷺ bersabda,

“Allah ﷻ akan bangkitkan beberapa golongan pada hari kiamat dengan wajah-wajah mereka bercahaya-cahaya dan mereka akan berada di atas mimbar-mimbar mutiara. Orang ramai akan cemburu terhadap mereka. Mereka bukanlah para Nabi dan bukan juga para Syuhada.”

Seorang sahabat yang datang dari kampung duduk berlutut lalu bertanya, “Ya Rasulullah, beritahulah kepada kami sifat-sifat mereka supaya kami dapat mengenali mereka.”

Nabi ﷺ bersabda, *“Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah datang daripada kabilah-kabilah yang berlainan, tempat-tempat yang berlainan dan berhimpun di satu tempat serta sibuk mengingati Allah."*

(H.R Tabarani)
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ ،

بسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ ۞ الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ ۞ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ إهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الذِّينَ أَنْعَمْتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ ولآ الضَّآلِّين ۩

 آمِين .

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

Rabu, 7 Ogos 2024

AHLI SELAWAT ADALAH JALAN YG AKAN MENYELAMATKAN IMAN KAMU DI AKHIR ZAMAN

Ummat islam kena memperbanyakan berselawat keatas Sayidina Nabi SAW. Akhir zaman ini terlalu banyak fitnah yang lahir dari musuh2 islam. Anak2 juga perlu diperintahkan utk berselawat sebanyak2nya. Sebelum sampainya masa Dajjal berkunjung tiba, tentera2nya terlebih dahulu akan menjalankan misi2 membuat jalan penaklukan. Fitnah yang datang begitu hebat akhir2 ini memberi petanda awal hati2 orang tergelincir kedalam fitnah ini hatinya akan mati. 

Selawat adalah zikir yang akan menghidupkan hati2 yang mati. Memperbanyakan Selawat akan membuka pintu hati dan menyelamatkan hati dari terus mati. Tidakkah khusyuk dalam solat itu merupakan perkara yang akan diangkat dari ummat akhir zaman? Terangkatnya khusyuk kerana hati yang mati. 

Dalam keadaan kehidupan yang gawat dengan fitnah ini, memperbanyakan Selawat keatas Sayidina Nabi SAW akan menjadi benteng hati dan keimanan. Usah hairan kenapa Qaseedah (puji2an keatas Sayidina Nabi SAW dengan berselawat) menjadi riadah kebanyakan ulama2, kerana inilah cara untuk menghidupkan kembali hati2 yang sentiasa dipanah oleh racun2 fitnah tentera2 Dajjal. 

Selawat akan menjadi pembimbing bagi hati dan diri disamping menyinarkan nurani. Ianya merawat dan membersihkan hati. Bagi mereka yang tidak berkesempatan mencari guru kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, berselawatlah sebanyak yang mungkin jika berkesempatan, kerana hidup memerlukan guru utk hidup. Fitnah yang datang bagi orang yang tidak mempunyi guru terlebih besar, kerana diri diri seumpam Domba yang terpisah dari kumpulannya, hanya menanti masa untuk dilahap oleh Sang Serigala.

Perintahkanlah anak2 utk memperbanyakan Selawat keatas Sayidina Nabi SAW kerana kasihan, anak2 ini terpaksa mengharungi detik2 yang lebih mencabar dan kritikal pada masa akan datang. Jika sekarang pun ummat islam telah berpecah belah dan lemah akibat panahan fitnah musuh2 islam dan tentera Dajjal; apatah lagi pada masa akan datang yang mana Dajjal akan datang dan pada ketika itu, tak dpt tidak manusia kebanyakannya akan tergelincir memasuki wilayah Dajjal. 

Akhir zaman, hanya golongan yang memperbanyakan selawat sahaja yang akan mampu utk bersatu dan tidak berpecah belah, dan mereka berkumpul bersama dalam jemaah membentuk kekuatan utk keselamatan dan kesejahteraan. 

Dan yang masih lalai utk memperbanyakan Selawat, maka mereka seumpama kelkatu yang berterbangan mencari cahaya api, membenamkan diri kedalam jurang bahaya api (fitnah).

Ketahuilah perintah Allah Taala dalam Al Quran bagi memperbanyakan Selawat secara khusus utk ummat akhir zaman dengan persaksian keimanan mereka, "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya sentiasa berselawat keatas Nabi (Sayidina Muhammad SAW), wahai ORANG2 BERIMAN...). Dan nyatalah salah satu sifat bagi org2 yang beriman itu dalam memberbanyakan Selawat keatas Sayidina Nabi SAW. Kerana pada memperbanyakan Selawat keatas Sayidina Nabi SAW itu terkandung pelbagai rahsia2 utk orang yang beriman.

Akhir zaman dan Dajjal tidak akan dapat dipisahkan. Persiapkan ahli keluarga utk berhadapan dengan zaman ini seharusnya diambil berat. Ummat islam seharusnya mencari guru yang mursyid bagi keselamatan, dan sekiranya tidak mampu, maka perbanyakanlah berselawat. 

Akhir zaman, dunia ini adalah syurga bagi Dajjal dan neraka bagi orang yang beriman. Bunga2 keadaan ini telah pun jelas kelihatan. Bagi sesiapa yang memilih islam sebagai jalan pegangan kehidupan, maka bagi dirinya satu ujian yang berat, penuh dengan kutukan, cacian, makian, carutan, ugutan, siksaan, kezaliman, bahkan pembunuhan. Bagi sesiapa yang memilih syurga Dajjal utk hidup, maka hidupnya penuh keseronokan, pujian, sanjungan, kemewahan, kekayaan. 

Sesiapa yang memilih jalan keselamatan yakni islam, carilah guru yang mursyid dan awliya lillah, serahkan diri utk dibimbing, dan berserah dirilah kepada Allah. Sesungguhnya guru yang mursyid akan menguruskan kehidupan. 

Sesiapa yang tidak berkeupayaan mencari guru yang mursyid, pilihlah jalan utk memperbanyakan selawat, kerana syurga Dajjal sentiasa dihiasi anak anak panah fitnah yang merosakan dan membinasakan, dan jadilah pemerhati yang tidak redha atas keburukan yang berlaku, itu lebih baik daripada terlibat membantu tentera Dajjal dalam membuat kerosakan. 

Wallahu a'lam.

Selawat al Fateh - bagi mereka yang ingin mengamalkan membacanya. Mudah2an ahli keluarga kita dan zuriat2 kita akan sentiasa dipelihara oleh Allah Taala.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

#Cnp

Ahad, 4 Ogos 2024

AHLUSUNNAH WALJAMAAH Golongan Yang Selamat


.............................................................

Siapakah al-Asya'irah? 

Apakah Pegangan Aqidah Para Ulama Nusantara Termasuk Malaysia?

 بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikummussalam warahmatullah wabarakatuh. Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Jawapan bagi 3 soalan tersebut saya rangkum dalam jawapan yang panjang ini. Dengan tawfiq Allah taala saya katakan:

Golongan yang benar-benar mengikut landasan agama Allah hanyalah Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah. Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah adalah golongan majoriti umat Nabi Muhammad. Mereka adalah para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam dasar-dasar aqidah (ما أنا عليه وأصحابي ), iaitu enam perkara penting yang menjadi rukun iman sebagaimana disebutkan dalam hadith Jibril. Rasulullah Salla Allah Alayhi Wa Sallam bersabda dalam hadith tersebut :

الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره (رواه البخاري ومسلم)

 Mafhumnya: "Iman adalah bahawa engkau beriman (yakin) kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kiamat, serta qadar (ketentuan)-Nya yang baik dan yang buruk" (H.R. al-Bukhari dan Muslim).

Majoriti umat Muhammad tersebut yang paling afdhal adalah mereka yang hidup pada abad tiga ratus tahun pertama hijriyah, mereka adalah yang dimaksudkan dalam sabdaan Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam:

خير القروني قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم (رواه الترميذي في سننه)

Mafhumnya : "Sebaik-baik kurun adalah kurunku (dimana aku hidup dan sahabatku), kemudian kurun setelahnya (masa tabi'in), kemudian kurun setelahnya (tabi' at-Tabi'in)" (H.R. at-Tirmizi di dalam Sunannya). Menurut al-Hafiz Abu al-Qasim ibn 'Asakir di dalam kitabnya Tabyiin Kazib Al-Muftari dan lain-lain yang dimaksudkan dengan (القرن) di dalam hadith di atas adalah seratus tahun. Mereka juga adalah umat yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam Sunannya dan selainnya:

أوصيكم بأصحابي ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Mafhumnya: "Aku wasiatkan kepada kamu semua (agar selalu mengikuti) sahabat-sahabatku kemudian yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti (orang-orang yang mengikuti) sahabatku". Dalam hadith lain Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:

عليكم بالجماعة وإياكم والفرقة فإن الشيطان مع الواحد وهو من الإثنين أبعد فمن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة (صححه الحاكم وقال الترمذي : حسن صحيح)

 Mafhumnya: "Hendaklah kamu selalu berpegang teguh pada (aqidah) majoriti umat, dan janganlah kamu semua bercerai-berai (dari akidah majoriti umat tersebut), kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang bersendirian (menyisihkan diri dari akidah jemaah) dan dia lebih menjauhi dirinya daripada dua orang (mejoriti umat), maka sesiapa yang ingin mendapatkan tempat yang lapang di syurga hendaklah dia berpegang teguh pada aqidah al-jama'ah (majoriti umat Muhammad)" (hadith ini disahihkan oleh al-Hakim, manakala Imam at-Tirmizi mengatakan: "hadith ini adalah hasan sahih".

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya daripada hadith Mu'awiyah yang memberi maksud majoriti umat Muhammad yang berpegang dengan akidah sejati, Rasululllah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:

وإن هذه الملة ستفترق على ثلاث وسبعين ، ثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة وهي الجماعة

Mafhumnya: "Dan sesungguhnya umat Islam ini akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, tujuh puluh dua golongan akan masuk neraka dan satu golongan akan masuk syurga, mereka adalah al-jama'ah (majoriti umat Muhammad)". Di dalam sesetengah riwayat berbunyi:

كلهم في النار إلا السواد الأعظم

 Mafhumnya : "kesemua masuk neraka melainkan (السواد الأعظم). Lafaz Al-jama'ah dalam hadith pertama ditafsirkan dengan hadis kedua yang warid (السواد الأعظم) maknanya; majoriti umat nabi Muhammad. Ini bertepatan dengan kata-kata al-Hafidz al-`Iraqi:

خير ما فسرته بالوارد

Mafhumnya : "sebaik-baik yang mentafsirkannya ialah perkara yang warid juga".

Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam mengkhabarkan kepada kita di dalam hadith (الافتراق) di atas bahawa umat ini akan berpecah di dalam perkara-perkara akidah kepada beberapa puak dan baginda menjelaskan juga bahawa golongan yang terselamat (الفرقة الناجية) ialah mereka yang berpegang dengan akidah majoriti umat Muhammad. Umat Muhammad sentiasa dalam kebenaran, tidak akan sesekali sesat kerana umat Islam tidak akan bersepakat di atas kesesatan dan kebatilan (لا تجتمع أمتي على الضلال).

Hadis ini memberi petunjuk yang jelas kepada kita bahawa Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah adalah (الفرقة الناجية) golongan yang terselamat dan mereka yang dikatakan golongan yang terselamat itu pula adalah golongan al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah. Realiti yang boleh disaksikan dari dulu hinggalah ke hari ini menunjukkan bahawa majoriti Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah bermula daripada salaf dan khalaf selaras dengan akidah al-Asyairah iaitu pengikut Imam Abu Al-Hasan Al-Asy`ari dan al-Maturidiyyah iaitu pengikut Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Justeru, majoriti umat Islam menjadikan matodologi keduanya sebagai panduan dalam penyusunan dalil, perumusan akidah Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah, penolakan dan penentangan terhadap golongan yang menyeleweng.

Kebenaran al-Asya`irah Dan Al-Maturidiyyah Disokong Oleh Al-Quran Dan Hadith 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ) المائدة :54

Mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa yang murtad daripada agamanya (Islam) maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui". (Al-Maidah:54).

Al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitabnya (تبيين الكذب المفتري) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan bahawasanya tatkala turun ayat ini, Rasulullah mengisyaratkan kepada Abu Musa Al-Asy`ari dengan bersabda:

هم قوم هذا

Mafhumnya : "Mereka (yang dimaksudkan di dalam ayat tadi ) adalah kaum ini". Berkata Imam al-Qusyairi:

"Pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan perkataan kaum oleh nabi ia membawa maksud pengikut. Perkara ini disebut oleh Imam al-Qurtubiy di dalam kitab tafsirnya. (rujuk kitab tersebut jilid 6 halaman 220).

Berkata al-Hafiz al-Baihaqi :

 "Perkara ini adalah kerana wujudnya kelebihan yang mulia dan martabat yang tinggi bagi imam Abu al-Hasan al-Asy`ari semoga Allah meredhainya. Dia adalah daripada kaum Abu Musa dan anak-anaknya dianugerahkan ilmu pengetahuan, diberikan kefahaman secara khusus dikalangan mereka dengan menguatkan sunnah, membasmi bid`ah dengan mengeluarkan hujah dan membantah penyelewengan. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitab (تبيين الكذب المفتري).

Imam Bukhari, seorang yang berstatus amir al-mukminin dalam bidang hadith menyebutkan di dalam sahihnya pada bab ((باب قدوم الأشعريين وأهل اليمن)). Baginda bersabda kepada Abu Musa :

هم مني وأنا منهم

Mafhumnya : "mereka sebahagian daripadaku, aku pula sebahagian daripada mereka".

Sultan yang tersohor, Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi berakidah mengikut jalanan imam Abu Al-Hasan Al-Asya`ari. Pada zamannya seorang 'alim bernama Al-Faqih Muhammad Ibn Hibatillah Al-Makki mengarang sebuah risalah yang berjudul "حدائق الفصول وجواهر الأصول" yang kemudian terkenal dengan nama "قصيدة atau عقيدة ابن المكي". Seterusnya beliau menghadiahkannya pada Sultan Yusuf Shalahuddin semoga Allah merahmatinya. Sultan menerima baik kitab tersebut dan mengeluarkan titah perintah agar kitab tersebut diajarkan kepada semua lapisan masyarakat sehingga kepada anak-anak di sekolah-sekolah. Oleh kerana sikap titik beratnya kepada penyebaran ilmu akidah di dalam kitab ini, akhirnya akidah tersebut tersebar dan terkenal dengan nama lain iaitu al-'aqidah as-shalahiyah.

Sultan Shalahuddin adalah seorang yang 'alim ahli feqah yang bermazhab Syafi'iyah, beliau memiliki pengetahuan yang luas dalam ilmu hadith dan beliau juga menghadiri majlis-majlis para ulama hadith serta beliau juga meriwayatkan hadith daripada mereka. Selain itu beliau juga menghafal kitab at-Tanbih, sebuah kitab yang membicarakan ilmu feqah dalam Mazhab Syafi'i.
Kita alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana sejak turun-temurun kita sudah berpegang dengan akidah ini, akidah Rasulullah, akidah para sahabat, para tabi`en. Rasullulah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam pernah memuji akidah ini serta orang yang berpegang teguh dengannya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya dan juga al-Hakim dalam kitab Mustadraknya dengan sanadnya yang sahih:

لتفتحنّ القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

Mafhumnya: "Kota konstantinopel itu benar-benar akan dibuka yang mana sehebat-hebat pemimpin adalah pemimpin yang membuka kota tersebut dan sehebat-hebat tentera adalah tenteranya itu". Kota bersejarah tersebut telah dibuka oleh seorang pemimpin terkenal selepas 800 tahun lamanya. Namanya adalah Sultan Muhammad Al-Fatih. Di dalam akidah, beliau adalah sunni mengikut landasan imam agung Abu Manshur Al-Maturidy. Beliau amat mencintai golongan sufi sejati dan bertawassul dengan nabi Muhammad Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam.

Senarai Ulama Yang Berpegang Dengan aliran Asya`irah

Menurut ulama al-muhaqqiqun majoriti umat Islam bermula daripada salaf dan khalaf sama ada dalam apa jua bidang pun, baik akidah, fiqh, al-Quran, tafsir, hadith, tasauf, bahasa arab, nahu, sorof, adab dan lain-lainnya kesemuanya dalam hal keyakinan dan akidah selari dengan akidah al-Asya`irah dan al-Maturidiyah.
Sehinggakan sarjana Islam yang mengkaji mengenai Manhaj al-Asya`irah pasti akan mengetahui bahawa Asya`irah merupakan pendekar dan penjaga kesahihan serta kelestarian ilmu terutamanya ilmu hadith. Di antara golongan al-huffaz yang merupakan pemuka para muhaddithin dan berpegang dengan akidah ini seperti:

1. Al-Hafidz Abu Bakar Al-Ismaily, tuan punya kitab (المستخرخ على البخاري). Beliau merupakan seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya
2. Al-Hafiz al-`Alim Abu Bakar Al-Baihaqi, juga seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.
3. Al-Hafiz yang disifatkan sebagai sebaik-baik muhaddithin di Negara Syam pada zamannya iaitu al-Hafiz Ibn `Asakir.
4. Amir al-Mukminin dalam bidang hadith, Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani. Sesiapa yang benar-benar mengkaji perkara ini pasti mereka mengetahui bahawa al-Asya`irah adalah jaguh dan pahlawan perkasa dalam bidang keilmuan termasuk juga dalam ilmu hadith.
5. Dan ramai lagi

Memadai dalam menjelaskan kebenaran aliran ini, Mujaddid kurun yang ke empat hijriyyah, al-Imam Abu At-Thayyib Sahal ibn Muhammad adalah tergolong daripada golongan ini. Selain dari itu, ramai lagi ulama muktabar yang merupakah jaguh hebat dalam keilmuan Islam mengikut dan tunduk pada manhaj ini seperti:

1. Imam Abu Hassan al-Baahili
2. Abu Bakar ibn Furak
3. Abu Bakar al-Baqillani
4. Abu Ishaq al-Isfarayiini
5. Al-Hafiz Abu Nu`aim al-Asbahani
6. Qadhi Abdul Wahab al-Maliki
7. As-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini serta anaknya Abu al-Ma`ali. Kedua-duanya dikenali sebagai Imam al-Haramain.
8. Abu Mansur at-Tamimi al-Baghdadi.
9. Al-Hafiz ad-Darulquthni.
10. Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi.
11. Al-Ustaz Abu Al-Qasim al-Qusyairi serta anaknya Abu Nasr.
12. Asy-Syeikh Abu Ishaq as-Syirozi,
13. Nasru al-Maqdisi
14. Al-Farawi
15. Abu al-Wafa` bin `Aqil al-Hanbali
16. Qadhi ad-Daamighani al-Hanafi
17. Abu-al-Walid al-Baaji al-Maliki
18. Al-Imam as-Sayid Ahmad ar-Rifa`ie
19. Al-Hafiz Abu Qasim Ibnu `Asakir
20. Ibnu as-Sam`ani
21. Al-Qadhi `Iyadh al-Maliki
22. Al-Hafiz as-Salafi
23. Al-Hafiz an-Nawawi
24. Imam Fakhruddin ar-Razi
25. `Izzuddin bin Abdussalam
26. Abu Amru bin al-hajib al-Maliki
27. Al-Hafiz Ibn Daqiq al-`ed
28. `Ala ad-Deen al-Baaji
29. Al-Hafiz al-Mujtahid Qadi al-Qudhat al-Imam Taqiyuddin As-Subki dan anaknya Tajudeen al-Subki.
30. Al-Hafiz al-`Alai
31. Al-Hafiz Zainuddin al-`iraqi serta anaknya al-Hafiz Waliyuddin al-Iraqi
32. Al-Hafidz al-Lughawi Murtadha Az-Zabidi al-Hanafi
33. As-Syeikh Zakaria al-Ansari
34. As-Syeikh Bahauddin Ar-Rawwasi As-Sufi
35. Mufti Mekah Ahmad Bin Zaini Dahlan
36. Musnid al-Hindi Waliullah ad-Dahlawi
37. Mufti Mesir As-Syeikh Muhammad `illaish Al-Maliki
38. Sheikh Jamik Al-Azhar Abdullah As-Syarqawi,
39. Seorang ulama sanad hadith yang terkenal ; As-Syeikh Abu Al-Mahasin Al-Qawuqji,
40. As-Syeikh al-Husain al-Jisr at-Tarabulusi
41. As-Syeikh `Abdul Latif Fathul Allah, mufti Beirut
42. As-Syeikh `Abdul Baasith al-Fakhuri, mufti Beirut
43. As-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Bin Darwish al-Hut al-Beiruti dan anaknya `Abdul Rahman, Ketua al-Asyraf di Beirut.
44. As-Syeikh Mushthofa Naja, Mufti Beirut
45. Al-Qadhi yang dihormati ibn Farhun al-Maliki
46. Abu Fath as-Syahristani
47. Al-Imam Abu Bakar Asy-Syasyi al-Qaffal
48. Abu `Ali Ad-Daqqaq An-Naisaburi
49. Al-Hakim An-Naisaburi, Tuan punya kitab Mustadrak.
50. As-Syeikh Abu Manshur al-Hudhudi,
51. As-Syeikh Abu `Abdullah as-Sanusi,
52. As-Syeikh Muhammmad bin `Alan as-Shadiqi as-Syafi`e.
53. Al-`Allamah `Alawi bin Tahir al-Hadhrami al-Haddad.
54. Al-`Allamah al-Muhaqqiq al-Habib bin Husain bin `Abdullah Balfaqih, dan semua ulama Hadramaut dari keturunan `Alawi, al-Saqqaf, al-Juneid, dan al-`Idrus.
55. Al-Hafiz al-Faqih al-Allamah al-Arif Billah al-Syiekh Abdullah al-Harari al-Habasyi.
56. Sheikh Sirojiddin Abbas Al-Indunisi
57. Musnid Syeikh Yasin al-Fadani
58. Dan ramai lagi

Antara penguasa Islam pula yang menyebarkan akidah ini secara meluas seperti :

1. Nizham al-Malik
2. Sultan yang adil dan saksama; al-`Alim al-Mujahid Shalahuddin al-Ayyubi-semoga Allah merahmatinya-. Sesungguhnya beliau telah memerintahkan supaya ushul-ushul akidah disebarkan mengikut ibarat Imam Al-Asy`ari di atas mimbar-mimbar masjid sebelum dilaungkan azan subuh dan baginda juga memerintahkan supaya akidah yang dikarang oleh Ibn Hibatillah al-Barmaki iaitu seorang ulama kurun ke 6 Hijrah yang mengikut methodologi Imam Al-Asy`ari diajar kepada kanak-kanak di pondok-pondok atau madrasah-madrasah dan di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menjaga kemurnian akidah kepada semua lapisan masyarakat.
3. Sultan al-Kamil al-Ayyubi
4. Sultan al-Asyraf Khalil bin Manshur Saifulddin Qalawun.
5. Sultan Muhammad al-Uthman al-Fatih, pembuka kota konstantinopel dan seluruh sultan-sultan uthmaniyyin yang menjadi penguasa bagi orang Islam, memelihara agama selama berkurun-kurun lamanya secara berterusan.
6. Begitu juga sultan-sultan di Negara Malaysia.

Manakala ulama Malaysia kita yang bermethodologi ini adalah seperti berikut :

1. Syeikh Abdullah Fahim
2. Dato' Hj Ahmad Maher
3. Sheikh Abdul Halim
4. Syeikh Idris Al-Marbawi
5. Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti
6. Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payung
7. Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani
8. Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.
9. Khatib Kelantan
10. Tuan Guru Hj Awang Fakir
11. Tuan Guru Hj Yahya Kupang
12. Haji Muhammad Yusuf Bin Ahmad Al-Kalantani (Tok Kenali)
13. Tok Pulai Condong
14. Tok Pulau Ubi (Yusuf Abdul Rahman)
15. Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah)
16. Tg Pakcu Him Gajah Mati ( Kedah)
17. Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein Al-'Aiderus (Terengganu)
18. Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung (menjadi ulama terkenal Terengganu)
19. Wan Abdullah Tuan Tabal
20. Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah
21. Dan Ramai Lagi
Ini hanyalah sebahagian sahaja yang dapat dinyatakan di sini tapi pada hakikatnya bilangan mereka teramat banyak. Bukanlah tujuan kami di sini menyebut dan menyenaraikan nama-nama al-asyairah. Siapakah mampu menghitung bilangan bintang-bintang di langit atau mengetahui bilangan pepasir di padang pasir yang luas? Begitu juga hal al-Maturidiyah, pengikut Abu Manshur Al-Maturidi dalam bidang akidah.

Komen ulamak tentang akidah al-Asya`irah dan Al-Maturidiyyah
Ketahuilah bahawa Imam Asy`ari tidak membawa pandangan baru yang berbeza dengan akidah Nabi Muhammad dan sahabat baginda, ini telah dijelaskan oleh Imam Al-Hafiz Tajuddin As-Subki dalam kitab Thabaqotnya yang bermaksud :
"Ketahuilah bahawa Imam Abu Hasan Al-Asy'ari tidak mendatangkan pandangan yang baru (yang bercanggah dengan Islam) dan tidak pula beliau membuat mazhab yang baru (yang bercanggah dengan Islam) akan tetapi beliau datang mempersetujui atau memperakui mazhab salaf (sebenar yang bukan wahhabi),yang selari dengan akidah para sahabat Rasulullah. Disandarkan akidah tersebut kepada nama beliau kerana beliau telah mendatangkan penyusunan hujah yang cukup hebat bagi mempertahankan akidah yang sebenar".

Sheikh `Izzuddin bin Abdus Salam berkata dalam karangan akidah beliau:

"Dan akidah Asy`ari semoga Allah meredhainya merangkumi apa yang ditunjukkan ke atas 99 nama-nama Allah".
Manakala menurut Ketua para Qadhi Tajuddin As-Subki:
"Dan golongan Hanafiyyah, As-syafi`iyyah, Al-Malikiyyah dan ulama tersohor daripada Hanabilah kesemuanya dalam hal akidah seolah-olah berpegang dengan pandangan Ahlus-Sunnah Wal Jamaaah iaitu cara yang dipilih oleh As-Sheikh as-Sunnah al-Imam Abu Hasan Al-Asy`ary". Kata beliau lagi: "Dan secara umumnya akidah Asy`ari ini merupakan juga apa yang telah disampaikan oleh Imam Abu Ja`far At-Thahawi (as-Salafi) yang mana seluruh para ulama telah menerimanya".

Memadailah nukilan seorang ulama yang terkenal menunjukkan bahawa pendukung Ahlus Sunnah wa al-Jamaah adalah yang sealiran dengan Imam Abu Hasan Al-Asya`ary dan Imam Abu Mansur Al-Maturidy iaitu, As-Sheikh Muhammad Amin yang terkenal dengan gelaran Ibnu ~Abidin di dalam kitab terkenal beliau yang berjudul Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Duraril Mukhtar:

 أهل السنة والجماعة هم الاشاعرة والماتريدية

Maknanya: "Ahlus-Sunnah Wa al-Jamaah adalah Asya`irah (pengikut Abu al-Hasan Al-Asya`ri) dan Al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur Al-Maturidi)" . Perkara yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Murtadha az-Zabidi di dalam kitab Ithaf as-Sadah al-Muttaqin.

 والله أعلم وأحكم

sumber :

https://www.facebook.com/.../siapakah-al.../649501001764849/

Sabtu, 3 Ogos 2024

Islam semakin berkembang Jasa Tarekat Tijaniyah

Tarekat Tijaniyah adalah salah satu tarekat sufi yang paling meluas di dunia. Di Nigeria sahaja, terdapat 55 juta penganut Tijani, manakala di seluruh dunia dianggarkan 450 juta penganut Tijani, yang merupakan satu pertiga daripada umat Islam di dunia. Di semua tujuh benua, terdapat pengikut Sheikh Sidi Ahmad al-Tijani ra., dari Kutub Utara hingga Kutub Selatan, seperti yang beliau sebutkan, "Aku adalah lelaki dari Qaf hingga Qaf."

Tarekat Tijaniyah terkenal dengan gelaran yang unik dan istimewa, iaitu "Tarekat Ulama." Gelaran ini disebabkan oleh beberapa perkara:

Perkara Pertama:
Pengasas dan pemimpin tarekat ini adalah seorang imam besar dan ulama terkemuka dalam syariat Allah SWT. Beliau diakui dan terkenal. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang biografinya, rujuk kepada kitab (الشرب المحتضر من معين بعض أهل القرن الثالث عشر) oleh Sheikh Jaafar bin Idris al-Kattani, serta kitab (سلوة الأنفاس في أعيان فاس) oleh Sheikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani, kitab (اليواقيت الثمينة في أعيان مذهب عالم المدينة) oleh Sheikh Muhammad Bashir Dhafir al-Madani, kitab (شجرة النور الزكية في طبقات المالكية) oleh Sheikh Muhammad bin Makhlouf, kitab (الاستقصا في أخبار المغرب الأقصى) oleh Sheikh Ibn Nasser al-Salawi, dan kitab (حلية البشر في أعيان القرن الثالث عشر) oleh Sheikh Abdul Razzaq al-Bitar.

Perkara Kedua:
Asas dan cabang tarekat ini diatur mengikut syariat dan tertakluk kepadanya. Sheikh Ahmad al-Tijani ra. menyatakan dalam kitab (جواهر المعاني): "Ketahuilah bahawa tasawuf adalah mematuhi perintah dan menjauhi larangan secara zahir dan batin dari sudut keredaan Allah, bukan dari sudut keredaan manusia." Beliau juga berkata dalam kitab yang sama: "Prinsip kami adalah tiada hukum melainkan untuk Allah dan Rasul-Nya, dan tiada yang dianggap sah dalam hukum melainkan dengan firman Allah dan sabda Rasulullah SAW. Semua pandangan ulama adalah batil kecuali yang bersandarkan kepada firman Allah atau sabda Rasulullah SAW. Setiap pandangan ulama yang tidak bersandarkan kepada al-Quran atau sabda Rasulullah SAW adalah batil. Setiap pandangan ulama yang bercanggah dengan al-Quran yang jelas dan sabda Rasulullah SAW adalah haram untuk diikuti." Beliau juga menyatakan dalam (الإفادة الأحمدية): "Jika kamu mendengar sesuatu dariku, timbanglah dengan neraca syariat. Jika sesuai, amalkanlah, jika tidak, tinggalkanlah." Beliau juga menegaskan bahawa hukum yang ditetapkan oleh para rasul tidak boleh diubah kecuali oleh seorang nabi.

Perkara Ketiga:
Para ulama yang hidup sezaman dengan Sheikh Tijani ra. dan bertemu dengannya telah memujinya dengan setinggi-tinggi pujian. Sebagai contoh, Sheikh Muhammad bin Sulaiman al-Mani'i al-Tunisi menggambarkannya sebagai seorang yang menguasai ilmu syariat secara mendalam, hafal banyak kitab dan hadith, serta seorang yang setara dengan al-Ghazali dalam ilmu tauhid. Sheikh Ibrahim bin Abdul Qadir al-Riyahi, seorang ulama terkenal di Tunisia, juga memuji Sheikh Tijani dengan menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang terkenal dengan keberkatan dan ilmunya dalam syariat dan tasawuf. Ulama lain seperti Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Kansousi dan Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Jilani juga memuji beliau sebagai seorang ulama yang menguasai banyak bidang ilmu dan dikenali sebagai seorang wali Allah.

Perkara Keempat:
Sheikh Ahmad al-Tijani ra. menetap di kota Fes dari tahun 1213H hingga 1230H, iaitu selama tujuh belas tahun. Pada waktu itu, Fes adalah pusat para ulama dan fuqaha. Para ulama di Fes tidak pernah menuduh beliau sesat atau kafir, bahkan mereka menghormati dan mengiktiraf ilmunya. Contohnya, ulama seperti Sheikh Muhammad bin Abdul Salam al-Arabi, Sheikh Abdul Qadir bin Shukron, Sheikh Muhammad bin Zahir al-Hawari, Sheikh Muhammad bin Hassan al-Janwi, Sheikh Abdul Rahman bin al-Hajj, dan Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Rahuni semuanya mengiktiraf Sheikh Tijani sebagai seorang ulama besar yang berdedikasi dalam ilmu syariat.

Perkara Kelima:
Para pemimpin tarekat Tijaniyah di seluruh dunia adalah ulama terkemuka dalam ilmu syariat. Mereka termasuk ulama seperti Sheikh Muhammad bin al-Mishri al-Qasim al-Tunisi, Sheikh Ahmad bin Muhammad al-Banani, Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Sanusi, Sheikh Ibrahim bin Abdul Qadir al-Riyahi, Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Jabari, Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Kansousi, Sheikh Muhammad bin Muhammad al-Saghir al-Tashiti, dan banyak lagi. Semua mereka adalah ulama yang diiktiraf dalam ilmu syariat dan tasawuf.

Perkara Keenam:
Karya-karya para ulama Tijaniyah yang mereka tulis dalam bidang syariat adalah bukti ketinggian ilmu mereka. Contohnya, kitab (الشرب المحتضر من معين بعض أهل القرن الثالث عشر) oleh Sheikh Jaafar bin Idris al-Kattani, kitab (سلوة الأنفاس في أعيان فاس) oleh Sheikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani, kitab (اليواقيت الثمينة في أعيان مذهب عالم المدينة) oleh Sheikh Muhammad Bashir Dhafir al-Madani, kitab (شجرة النور الزكية في طبقات المالكية) oleh Sheikh Muhammad bin Makhlouf, kitab (الاستقصا في أخبار المغرب الأقصى) oleh Sheikh Ibn Nasser al-Salawi, dan kitab (حلية البشر في أعيان القرن الثالث عشر) oleh Sheikh Abdul Razzaq al-Bitar.

Melihat kepada kitab-kitab tersebut, dapat dilihat bahawa ulama-ulama Tijaniyah adalah ulama yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam syariat dan tasawuf. Nama-nama mereka sering disebut dalam sanad-sanad ilmu syariat seperti hadith, fiqh, dan usul. Contohnya, kitab (الشموس الشارقة) oleh Sheikh Muhammad bin Ali al-Sanusi, kitab (رياض الجنة) oleh Sheikh Abdul Hafiz bin Tahir al-Fihri, dan kitab (إمداد الفتاح) oleh Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Secara keseluruhannya, tarekat Tijaniyah adalah tarekat yang berasaskan ilmu syariat yang kukuh dan dipimpin oleh ulama-ulama terkemuka. Ini menjadikannya terkenal sebagai "Tarekat Ulama" dan dihormati oleh umat Islam di seluruh dunia.