Sabtu, 30 November 2024

KARAMAH SAMI HINDU DAN MAULANA

Murobbina telah menceritakan, suatu ketika, satu daerah dinegara India telah dilanda kemarau yang sangat teruk. Telah berbulan hujan tidak turun dan air sungai menjadi kering kontang. 

Masyarakat Islam telah berbincang dan para Maulana telah mengambil ketetapan untuk berkumpul melaksanakan solat sunat Istisqa', memohon kepada Allah agar diturunkan hujan. Namun, setelah dilaksanakan solat sunat Istisqa', hujan tetap tidak mau turun. Ummat Islam pasrah dengan keadaan tersebut. 

Maka, berkumpul pula masyarakat Hindu berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Maka dipanggil oleh mereka seorang Sami Hindu dikalangan mereka yang paling hebat untuk menurunkan hujan. Menakjubkan, hanya dengan isyarat jari, Sami tersebut telah memanggil hujan dan hujan telah turun dengan lebatnya.

Maka bergembiralah masyarakat Hindu dengan kehebatan Sami mereka. Ummat Islam yang melihat dan mendengar peristiwa tersebut menjadi dilema dan mulai goyah keimanan mereka kerana dikalangan mereka, tidak ada Maulana yang mampu melakukan sedemikian dan bahkan solat Istisqa' yang mereka laksanakan tidak menurunkan hujan. Ramai dikalangan ummat Islam yang telah mula kabur dan goyah keislaman mereka. 

Para Maulana kembali bermusyawarah dan risau melihat ummat Islam ramai yang telah goyah keimanan mereka. Ini satu mudharat yang sangat besar sekiranya ummat islam berpaling kepada agama Hindu. 

Dalam musyawarahnya, para Maulana telah memilih seorang dikalangan mereka yang paling alim untuk bertemu dengan Sami Hindu tersebut dan bertanyakan perihal bagaimana beliau boleh memanggil hujan turun hanya dengan isyarat jari. 

Apabila bertemu dengan Sami Hindu tersebut, maka bertanyalah Maulana tersebut, bagaimanakah beliau mampu memanggil hujan dan menurunkan hujan. Maka diceritakan oleh Sami Hindu tersebut akan rahsianya.

Bahawa, Sami tersebut mengatakan bahawa beliau mempunyai karamah untuk berbuat apa sahaja. Rahsianya adalah dengan melawan nafsu dan menentang nafsu. Apabila nafsunya inginkan sesuatu, maka beliau tidak akan memenuhi hajat nafsunya. Apabila nafsunya tidak berhajat, dia akan memaksa nafsunya untuk menerima kehendaknya. Beliau berbuat sedemikian kerana ingin menentang nafsunya. 

Jika nafsunya ingin tidur, beliau akan memaksa diri berjaga. Jika nafsunya ingin makan, beliau tidak akan memenuhi kehendak nafsunya untuk makan. Demikianlah kehidupannya bertahun-tahun lamanya sehinggakan beliau dapat mengalahkan nafsunya dan beliau mendapat pembukaan (futuh) untuk mengawal alam. 

Apabila mendengar perkara tersebut, maka Maulana tersebut berkata kepada si Sami, tidakkah kamu mahu memeluk agama Islam?

Sami tersebut yang sememangnya telah melazimkan dirinya menentang nafsunya, akhirnya terpaksa menurut untuk menerima Islam kerana ingin menentang nafsunya yang tidak inginkan Islam. 

Setelah keislamannya, maka Sami tersebut telah menjadi salah seorang muslim yang alim dikalangan ummat Islam. 

Menurut Murobbina, PEMBUKAAN dan KARAMAH itu bukan hak orang islam sahaja, bahkan orang yang bukan islam juga boleh mendapat pembukaan dan karamah sekiranya mereka melalui jalan-jalan mujahadah sepertimana Sami Budha, Sami Hindu, dan lain-lain.. 

Dan KARAMAH itu bukanlah muktabar sebagai tanda kewalian seseorang.. bahkan Istiqamah dalam Amal itulah KARAMAH yang terbesar. 

Wallahu a'lam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan