DENGAN IZIN DARI SAYIDI AHMAD ALHADI ALHASANI ATTIJANI
Fadhilat Ayat Laqad Jā'akum
Kata Murobbīnā, Sayyidī Ahmad al-Hādī al-Ḥasanī حفظه الله تعالى, ayat Laqad Jā'akum sangat besar manfaatnya. Sesiapa yang membacanya sebanyak 7 kali selepas Solat Subuh dan Solat Maghrib, tidak akan mati melainkan dia terlupa membacanya.
Perkara ini beliau kisahkan kepada seorang sahabat yang panjang usianya, sehingga ramai dalam kalangan sahabat yang telah wafat, namun beliau masih hidup lagi. Sehinggalah pada suatu malam, beliau bermimpi bertemu dengan Baginda Rasulullāh ﷺ. Dalam mimpi tersebut, Baginda ﷺ bertanya kepadanya:
"Apakah engkau tidak rindu untuk bertemu denganku?"
Tersedar daripada mimpi itu, pada hari tersebut beliau meninggalkan bacaan Laqad Jā'akum, dan pada hari itu juga beliau wafat.
Murobbīnā turut memberitakan bahawa sesiapa yang melazimi bacaan ayat Laqad Jā'akum, akan terlindung daripada sihir, gangguan syaitan, dipermudahkan segala urusan, serta dilapangkan rezeki. Bagi yang berhadapan dengan gangguan, kata Murobbīnā, elok dibaca sebanyak 11 kali setiap kali selepas Solat Subuh dan Solat Maghrib.
Orang-orang dahulu, kata Murobbīnā, sebelum pergi berperang akan membaca terlebih dahulu ayat Laqad Jā'akum, kerana khasiat ayat ini menjadikan tubuh seseorang itu kebal – tidak lut jika terkena senjata.
Bagi kami, murid-murid Murobbīnā, mengamalkan bacaan ini sebanyak 7 kali setiap kali selepas Solat Subuh dan Solat Maghrib. Alḥamdulillāh, kami menerima ijāzah dan izin amalan ini daripada Murobbīnā sendiri.
Murobbīnā juga menceritakan satu kisah ketika Saiyidunā ‘Umar رضي الله عنه menjadi Khalifah. Ketika itu beliau berusaha mengumpulkan ayat-ayat al-Qur’ān dan memerintahkan agar sesiapa yang mengetahui atau menghafal ayat-ayat al-Qur’ān datang kepada beliau untuk disemak dan dikumpulkan. Maka, sesiapa yang datang perlu membawa bersama beberapa saksi yang turut mendengar ayat tersebut dari Rasulullāh ﷺ.
Namun, apabila sampai kepada ayat Laqad Jā'akum, Saiyidunā ‘Umar رضي الله عنه mengatakan bahawa bagi ayat ini tidak diperlukan saksi – beliau terus membenarkannya tanpa syak.
Dikisahkan juga seorang tābi‘īn yang terselamat di akhirat dan terus masuk ke dalam syurga hanya kerana membaca ayat Laqad Jā'akum setiap kali berdiri untuk menunaikan solat.
Alḥamdulillāh, ayat Laqad Jā'akum ini merupakan salah satu kurniaan agung daripada Allāh سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى buat kita semua. Maka bagi yang berhajat untuk mengamalkannya, silakanlah mengamalkannya dengan adab dan istiqāmah.
---
Ayat Penuh:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلْعَرْشِ ٱلْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾
(Sūrah at-Tawbah, ayat 128-129)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan