Khas untuk para pencinta beliau dan tidak kepada yang mengingkarinya.
---
Maksud dan Keutamaan Selawat Al-Fatih
Di dalam kitab Yaqutatatil-Faridah, disebut bahawa selawat ini dinamakan oleh ahlinya sebagai Miftah Hakikat Muhammadiah (Kunci Rahsia Hakikat Muhammadiah), dan ia lebih masyhur dalam kalangan orang ramai sebagai Selawat Al-Fatih.
Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه berkata:
"Rasulullah ﷺ telah bersabda kepadaku:
ما صلى على أحد بأفضل من صلاة الفاتح لما أغلق
Maksudnya:
"Tidak ada seseorang pun yang berselawat ke atasku dengan selawat yang lebih afdal daripada Selawat Al-Fatih Lima Ughliqa."
---
Kelebihan Selawat Al-Fatih
Pertama:
Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه berkata:
لو اجتمع أهل السماوات السبع ومن فيهن على أن يصفوا ثواب الفاتح لما أغلق ما قدروا
Maksudnya:
"Jikalau seluruh penduduk langit berserta makhluk-makhluk yang berada di dalam tujuh lapisan langit berkumpul untuk menilai ganjaran pahala Selawat Al-Fatih, nescaya mereka tidak mampu untuk mengiranya."
كل أعمار الناس ذهبت مجانا إلا أعمار أصحابي صلاة الفاتح
Maksudnya:
"Umur manusia berlalu begitu sahaja tanpa faedah, melainkan umur orang yang berselawat dengan Selawat Al-Fatih."
---
Kedua:
Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه berkata:
سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن فضل صلاة الفاتح فأخبرني صلى الله عليه وسلم أن المرة الواحدة تعدل من كل تسبيحة وطاعة في الكون ومن كل ذكر ومن كل دعاء كبير أو صغير 6,000 مرة
Maksudnya:
"Aku telah bertanya Rasulullah ﷺ tentang kelebihan Selawat Al-Fatih. Lalu Rasulullah ﷺ menjawab:
"Satu kali Selawat Al-Fatih menyamai semua tasbih yang diucapkan oleh makhluk ciptaan Ilahi, serta semua zikir dan doa – sama ada yang besar atau kecil – sebanyak 6,000 kali."
---
Ketiga:
صلاة الفاتح لما أغلق ب 600,000 صلاة وكل صلاة على انفراد بأربعمائة غزوة
Maksudnya:
"Satu kali Selawat Al-Fatih menyamai ganjaran 600,000 selawat, dan setiap satu selawat tersebut menyamai ganjaran 400 kali menyertai peperangan."
---
Keempat:
Rasulullah ﷺ menyambung sabdanya:
إن من صلى بها حصل له ثواب ما إذا صلى بكل صلاة وقعت في العالم من كل جن وإنس وملك ستة آلاف صلاة من أول العالم
Maksudnya:
"Barangsiapa yang berselawat dengan Selawat Al-Fatih, nescaya ia beroleh ganjaran semua pahala selawat yang dilakukan di alam ini sejak permulaan kejadian makhluk, daripada kalangan jin, manusia dan para malaikat.
"Dengan kata lain, seseorang yang berselawat dengan satu kali Selawat Al-Fatih seakan-akan ia berselawat sebanyak 600,000 kali selawat yang lain, bersama dengan seluruh makhluk yang berselawat."
---
Kelima:
Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه berkata:
وخاصية الفاتح لما أغلق أمر إلهي لا مدخل فيه للعقول
Maksudnya:
"Khasiat dan kelebihan Selawat Al-Fatih Lima Ughliqa adalah urusan Ilahi yang tidak boleh diukur dengan akal fikiran.
"Jika dibayangkan terdapat 100,000 umat, dalam setiap umat ada 100,000 kabilah, dalam setiap kabilah ada 100,000 pemuda, dan setiap pemuda itu hidup selama 100,000 tahun, serta setiap hari mereka berselawat 100,000 kali selain daripada Selawat Al-Fatih, kemudian dihimpunkan keseluruhan pahala mereka, maka jumlah itu tidak akan menyamai pahala satu kali Selawat Al-Fatih."
Maka, janganlah berpaling daripada kebenaran atau terpengaruh dengan pendustaan mereka yang menolak kelebihan selawat ini. Kerana kurniaan Allah itu berada di tangan-Nya dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
"وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ"
Maksudnya:
"Dan Dia menciptakan sesuatu yang tidak kamu ketahui." (Surah An-Nahl: 8)
---
Nasihat Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه
Syeikh Ahmad at-Tijani رضي الله عنه menulis dalam salah satu risalahnya kepada sahabatnya:
وأعلم أن كل ما تذكره من الأذكار والصلوات على النبي صلى الله عليه وسلم والأدعية لو توجهت بجميعها 100,000 عام كل يوم تذكرها مئة ألف مرة وجميع ثواب ذلك كله ما بلغ ثواب مرة واحدة من كل صلاة الفاتح لما أغلق
Maksudnya:
"Ketahuilah bahawa jika seseorang berzikir, berselawat ke atas Nabi ﷺ, dan berdoa selama 100,000 tahun, serta setiap hari ia mengulanginya 100,000 kali, maka ganjaran semua itu masih belum dapat menyamai ganjaran satu kali Selawat Al-Fatih Lima Ughliqa."
"Maka, jika engkau ingin memperoleh manfaat akhirat, sibukkanlah diri dengan Selawat Al-Fatih sekadar kemampuanmu. Kerana ia adalah khazanah Ilahi yang agung bagi sesiapa yang mengamalkannya. Jika engkau ingin menambah zikir selepas wirid harianmu, maka tambahkanlah Selawat Al-Fatih. Aku menasihatimu kerana Allah."
---
Martabat Selawat Al-Fatih
Setiap kelebihan Selawat Al-Fatih yang disebutkan tadi hanyalah pada martabat zahir. Adapun hakikatnya, selawat ini mempunyai tiga martabat, tetapi hanya martabat zahir sahaja yang boleh dihebahkan kepada umum.
Kelebihan yang disebut oleh para arifin hanyalah pada martabat zahir. Jika dibandingkan dengan kelebihan yang disembunyikan, ia umpama setitis air di tengah lautan luas.
Sebagai isyarat ringkas, kelebihan Selawat Al-Fatih pada martabat ketiga menyamai pahala Ismul A‘zam. Kerana itu, kebanyakan ahli khawas dari tarekat ini mengisyaratkan bahawa Selawat Al-Fatih adalah saudara kepada Ismul A‘zam.
Sayidi Ahsan Al-Baqili Al-Hasani Al-Maghribi berkata:
"Sesiapa yang mengkaji zat Nabi Muhammad ﷺ yang mulia dan bercahaya, nescaya ia akan melihat zat tersebut diselubungi oleh cahaya-cahaya selawat yang dilafazkan oleh para wali Allah. Dan di atas zat baginda terdapat mahkota yang bercahaya – itulah Selawat Al-Fatih.
"Sesungguhnya rahsia kehidupan dan pendirian Hakikat Muhammadiah adalah dengan sir (rahsia) yang ada pada Selawat Al-Fatih. Dan seluruh alam ini bergantung hidup kepada rahsia Selawat Al-Fatih yang menjalar ke seluruh ciptaan."
---
✒️ Dihimpunkan oleh: Sayyidi Murabbi Syarif Ahmad Al-Hadi Al-Hasani Al-Maghribi Attijani حفظه الله.
---
> وَاللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan