Para ulama mentafsirkan peristiwa ini sebagai persediaan untuk Rasulullah ﷺ menghadapi beban besar yang bakal Baginda tanggung. Qiyamullail adalah kewajipan bagi Baginda, berbeza dengan umatnya yang hanya menjadikannya sebagai amalan sunat. Ketika berpuasa, Baginda pernah menyambung puasa selama dua hari berturut-turut dan bersabda, “Aku bermalam di sisi Tuhanku yang memberiku makan dan minum.” Perjalanan Isra’ dan Mikraj pula sangat berat kerana lapisan atmosfera mempunyai tekanan yang tidak mampu ditanggung oleh tubuh manusia biasa.
Ketika wahyu diturunkan, tubuh Baginda juga merasai kesannya. Jika Baginda menaiki unta ketika menerima wahyu, unta tersebut akan terduduk kerana beratnya bebanan itu. Oleh itu, pembelahan dada adalah sebahagian daripada persiapan fizikal Baginda untuk menerima tugas yang mulia ini.
Dalam sesetengah riwayat, pembelahan dada bertujuan untuk mengeluarkan “bahagian syaitan“ daripada hati Baginda. Namun, para awliya solehin menjelaskan bahawa maksudnya bukan seperti yang difahami secara zahir. Hati Baginda ﷺ dipenuhi rahmat, dan bahagian yang dikeluarkan itu adalah rahmat yang mungkin Baginda curahkan kepada syaitan. Jika rahmat ini tidak dikeluarkan, Baginda mungkin akan mengasihani syaitan. Allah mengeluarkan rahmat itu kerana syaitan tidak layak mendapatkannya, sementara hati Rasulullah ﷺ kekal penuh dengan rahmat untuk selain syaitan.
Kisah dalam tradisi Islam menyokong makna ini. Diriwayatkan bahawa Nabi Musa bertemu Iblis, yang memohon supaya Musa memintakan keampunan daripada Allah untuknya. Musa menyampaikan permintaan itu, dan Allah berfirman bahawa Iblis perlu sujud kepada kubur Nabi Adam sebagai syarat taubatnya. Namun, Iblis enggan, lalu terus berada dalam kesombongan. Firman Allah, “Kecuali Iblis; dia enggan dan menyombong diri dan dia termasuk golongan kafir” (al-Baqarah: 34). Maka, rahmat bagi syaitan tidak sesuai dengan sifat hati Nabi ﷺ, dan ia dikeluarkan sebagai sebahagian daripada penyempurnaan hati Baginda.
Pembelahan dada juga bertujuan menyucikan Rasulullah ﷺ secara zahir dan batin. Baginda adalah insan yang seluruhnya suci; peluh, air mata dan darah Baginda adalah bersih. Begitu jugalah keadaan para nabi yang lain.
Peristiwa ini berulang sekali lagi sebagai persediaan bagi peristiwa besar, iaitu Isra’ dan Mikraj. Baginda akan menembusi langit, suatu perjalanan yang tidak sesuai dengan tubuh manusia biasa tanpa persediaan khusus. Baginda akan naik ke Sidratul Muntaha, Baitul Ma’mur hingga ke Arasy. Perjalanan ini memerlukan kekuatan luar biasa, maka malaikat datang dan membelah dada Baginda seperti ketika Baginda kecil demi mempersiapkan Baginda bagi tugas kerasulan dan penerimaan wahyu.
Golongan materialis mungkin mendakwa mustahil seseorang boleh naik ke langit tanpa perlindungan khas daripada tekanan udara. Penyakit seperti decompression sickness (DCS) boleh menyebabkan seseorang berpeluh darah ketika naik ke langit tanpa persediaan. Oleh itu, tubuh mulia Rasulullah ﷺ perlu dipersiapkan secara istimewa untuk menghadapi perjalanan luar biasa ini.
Mawlana al-Imam Dr. Ali Jum’ah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan