Soalan ini sering muncul dalam kalangan mereka yang mula serius mencari jalan mendekati Allah:
“Adakah saya, orang biasa dan bukan ahli zikir perlu bermursyid? Bolehkah saya hanya bergantung kepada kitab dan kuliah?”
Jawapan yang diberikan oleh para ulama besar tasawuf sepanjang zaman ialah,
Ya, setiap orang yang benar-benar ingin menempuh jalan penyucian jiwa dan mencapai ma’rifatullah, sangat-sangat perlu kepada seorang mursyid.
Selain itu, kita tak dapat nak menafikan sejarah bahawa Nusantara kita terbina dari para Ulama' Sufi seperti Syeikh Jumadil Kubro, Wali Songo, Wali Tujuh dan tak lupa para pejuang seperti Mat Kilau, Tok Kenali dan lain-lain. Kita sebenarnya bukanlah baru ingin menelusuri tetapi hakikatnya kembali menaiki bahtera Leluhur kita.
𝐌𝐚𝐫𝐢 𝐤𝐢𝐭𝐚 𝐟𝐚𝐡𝐚𝐦𝐢 𝐤𝐞𝐧𝐚𝐩𝐚.
1. 𝙆𝙚𝙧𝙖𝙣𝙖 𝙅𝙖𝙡𝙖𝙣 𝙃𝙖𝙩𝙞 𝙄𝙩𝙪 𝙂𝙚𝙡𝙖𝙥 𝙙𝙖𝙣 𝙍𝙪𝙢𝙞𝙩
Ilmu fiqh mengatur zahir, tapi Ilmu tauhid membetulkan akidah, menghapuskan kesyirikan dan ilmu tasawuf masuk ke dalam wilayah hati, jiwa, nafsu, dan bisikan batin ditempat yang manusia sendiri tidak nampak dengan mata zahirnya.
“Sesungguhnya dalam tubuh ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Itulah hati.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Bagaimana seseorang ingin membersihkan sesuatu yang tidak dapat dia lihat?
Itulah fungsi mursyid, dia melihat penyakitmu dengan mata basyirah, bukan semata-mata kata-kata. Dia menyuluh jalan, bukan hanya mengajar teori.
Jalan ini penuh tipu daya yang halus dan senang tergelincir, jalan mereka yang Haq adalah pada jalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah, beraqidah Asya'irah dan Maturidiah serta sekali kali tidak memisahkan hal-hal syariat. Maka perlu kita berhati-hati terutama pada tipu daya iblis yang halus dengan boleh memesongkan kita dengan hal-hal ghaib, ilham bathil, kesaktian, karomah dan mistik.
Mursyid yang haq akan sentiasa memerhati dan menegur supaya muridnya tidak tergelincir dan tidak mencari hal-hal lain melainkan membawa hati pulang kepada Allah.
2. 𝘿𝙖𝙡𝙞𝙡 𝙙𝙖𝙧𝙞 𝘼𝙡-𝙌𝙪𝙧𝙖𝙣 𝙙𝙖𝙣 𝙃𝙖𝙙𝙞𝙨
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan carilah wasilah (jalan mendekatkan diri) kepada-Nya…”
(Surah al-Ma’idah: 35)
Para ulama tafsir seperti Imam al-Qurtubi dan al-Baghawi menyebut bahawa ‘wasilah’ termasuklah mursyid dan guru rohani yang membimbing murid menuju Allah, kerana mereka adalah perantara ilmu dan nur ke dalam jiwa manusia.
Dalam satu hadis:
"Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk seperti pembawa minyak wangi dan tukang besi. Pembawa minyak wangi akan memberimu wangian, atau kamu dapat mencium harumannya. Tukang besi pula, akan membakar pakaianmu, atau kamu dapat bau busuk daripadanya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika sekadar sahabat biasa pun boleh memberi pengaruh besar, apatah lagi mempunyai mursyid yang soleh dan mursyid yang arif yang kehidupannya sepenuhnya ditujukan kepada Allah.
3. 𝙆𝙖𝙩𝙖-𝙆𝙖𝙩𝙖 𝙐𝙡𝙖𝙢𝙖 𝙎𝙪𝙛𝙞 𝙎𝙚𝙥𝙖𝙣𝙟𝙖𝙣𝙜 𝙕𝙖𝙢𝙖𝙣
✅ Imam al-Ghazali berkata:
“Barangsiapa tiada guru, maka gurunya adalah syaitan. Kerana syaitan itu paling tahu bagaimana mencuri dari hati manusia yang bersendirian.”
(Maqalah Hikmah, Kitab Al 'Ilm)
✅ Imam al-Syadzili, mursyid besar dari Maghribi berkata:
“Sesiapa yang tidak mempunyai mursyid, maka syaitanlah mursyidnya.”
(Terjemahan Bahjat al-Asrar, Imam Ibn 'Ajibah)
✅ Imam Abu Madyan (guru kepada al-Syadzili) berkata:
“Jangan kamu berjalan kepada Allah sendirian. Carilah mursyid yang akan memimpinmu dengan limpahan hikmah dan rahmat.”
(Terjemahan Diwan Abu Madyan, Tabaqat al-Kubra oleh al-Sha’rani)
✅ Sheikh Ahmad Zarruq pula meletakkan syarat dalam suluk:
“Syarat suluk itu lima: taubat yang benar, azam yang jitu, ikhlas, ilmu, dan mursyid yang arif.”
(Qawa’id al-Tasawwuf)
Ini antara kata-kata imam-imam besar yang ahli dalam syariah dan tasawuf, yang mengakui betapa perlunya mursyid dalam perjalanan ruhani.
4. 𝘽𝙚𝙯𝙖𝙣𝙮𝙖 𝙄𝙡𝙢𝙪 𝙙𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙣𝙮𝙪𝙘𝙞𝙖𝙣
Ilmu boleh didapati dari buku dan guru biasa.
Namun penyucian jiwa (tazkiyah) adalah proses yang memerlukan murabbi, bukan sekadar pembaca kitab.
Contohnya:
Seseorang tahu bahawa ujub (bangga diri), riya’, hasad, dan cinta dunia itu berbahaya. Tapi bagaimana untuk mengubatinya secara peribadi, satu persatu?
Hanya mursyid yang mengenal muridnya secara batin mampu menasihat dan mendidik mengikut keadaan nafsu dan maqam rohani setiap orang.
5. 𝘼𝙣𝙖𝙡𝙤𝙜𝙞𝙣𝙮𝙖 𝙈𝙪𝙙𝙖𝙝:
1. Kamu sakit, kamu pergi kepada doktor dan bukan sekadar membaca buku perubatan.
2. Kamu mahu jadi pemandu mahir, kamu perlu cikgu memandu dan bukan hanya baca buku peraturan jalan.
3. Kamu mahu sampai kepada Allah, maka kamu perlukan mursyid, yang telah menempuh jalan itu sendiri, dan bukan hanya tahu teori.
Bukan semua orang yang belajar agama menjadi bersih hatinya. Tapi setiap orang yang bersahabat dengan mursyid yang benar, akan dituntun melalui jalan tazkiyah dengan adab dan bimbingan yang hidup.
Imam al-Haddad berkata:
“Kamu wajib mencari seorang mursyid yang membimbingmu kepada Allah; yang mengubati penyakit hatimu; yang meletakkanmu di atas jalan yang lurus. Tanpa mursyid, kamu akan hanyut dalam kekeliruanmu sendiri.”
اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا صُحْبَةَ الْمُرْشِدِينَ، وَنُورَ الْعَارِفِينَ، وَقُرْبَكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Ya Allah, kurniakanlah kami sahabat dalam kalangan mursyid, cahaya dalam kalangan arifin, dan dekatkanlah kami kepada-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.”
#SelawatmembawaRahmat
#silaturrahimmembuahmuafakat
#muafakatmembuahkekuatan
#muafakatmembawaberkat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan