بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ إهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
Telah mengkhabarkan kepada kami oleh Murobbina Sayidi Ahmad al-Hadi al-Hasani at-Tijani Hafizahullahu Ta’ala bahawa:
"Jalan ulama adalah untuk membersihkan syariat, jalan hukama adalah untuk membersihkan hati, jalan Awliya Allah adalah untuk membersihkan roh. Dengan ketiga-tiga jalan inilah yang akan menyampaikan diri (seseorang) kepada Allah Ta'ala."
Bahawasanya, dalam medan tasawuf, perjalanan menuju Allah Ta'ala bukanlah semata-mata dengan zikir, ilmu atau amalan luaran sahaja, tetapi merupakan safar rohani yang melibatkan seluruh dimensi insan, yakni zahir dan batin, akal dan roh, syariat dan hakikat. Kalam di atas adalah satu lakaran haluan rohani yang tersusun rapi mengikut maqam-maqam perjalanan para salikin, dengan huraian yang mencakupi tiga unsur utama manusia iaitu badan, hati dan roh.
1) Jalan Ulama: Pembersihan Syariat (Zahir)
Mafhumnya: Jalan ulama ialah jalan fiqh, tafaqquh, dan syariat zahir, yang membersihkan amalan daripada segala bentuk bid'ah, lalai, dan kerosakan hukum. Ulama menyusun kaedah syarak, agar segala ibadat dan muamalat dilakukan dengan ilmu dan adab, sesuai dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.
Dalam Thoriqah Tijaniyah, ulama adalah penting kerana thoriqah ini dibina di atas dasar syariat. Setiap zikir dan wirid diajar dalam kerangka syarak, dengan ijazah, taharah, dan waktu yang terpelihara. Ulama yang juga arifin memelihara thoriqah dari kesesatan dan ghuluw, agar ia tidak menyimpang dari ajaran Baginda Rasulullah ﷺ.
Maksudnya: Tanpa penyucian syariat, seseorang itu boleh tertipu dengan amalannya sendiri. Maka perlu ada tazkiyat al-‘amal yakni penyucian amalan melalui ilmu.
2) Jalan Hukama: Pembersihan Hati (Batin)
Mafhumnya: Hukama adalah para bijaksana yang menghimpunkan ilmu dengan hikmah, yakni mereka yang menyucikan hati dari sifat-sifat tercela seperti hasad, riya’, ujub, takabbur, hubb al-dunya, dan lain-lain. Inilah medan tazkiyat al-nafs, penyucian batin melalui murāqabah, muhāsabah, dan mujāhadah. Dalam Thoriqah Tijaniyah, latihan menyucikan hati ini dilakukan melalui:
• Wird al-Lazim – untuk tasfiyah (penjernihan dalaman)
• Istighfar – untuk mengikis noda batin
• Selawat al-Fatih – untuk menghidupkan cinta kepada Nabi ﷺ dan membuang segala karat-karat batin melalui cahaya Nur Muhammad ﷺ.
Maksudnya: Hati yang bersih akan menjadi cermin yang jernih untuk memandang hakikat. Tanpa pembersihan ini, seseorang hanya melihat Allah melalui tirai nafsu dan bayang diri.
3) Jalan Awliya Allah: Pembersihan Roh (Lathifah Rabbaniyyah)
Mafhumnya: Jalan awliya ialah jalan yang paling halus dan tinggi, kerana ia menyentuh rohani yang tersembunyi dalam diri insan, yang disebut sebagai sir atau lathifah rabbaniah. Ia adalah maqam fana’ wa baqa’, maqam musyahadah, dan maqam ma’rifah.
Dalam Thoriqah Tijaniyah, para awliya Allah seperti Al Qutbl Maktum Syeikh Ahmad at-Tijani r.hu mengajarkan jalan pembersihan roh melalui:
• Fanā’ 'ani al-nafs – lebur dari keakuan. Membuang segala sifat keakuan diri.
• Fanā’ 'ani al-'amal – lebur dari memandang amal atau Syuhud Amal. Membuang rasa diri berbuat amal.
• Fanā’ 'ani al-siwā – lebur dari memandang selain Allah. Syuhud Allah dalam segala hal.
Maksudnya: Roh yang telah dibersihkan akan kembali kepada fitrah asalnya yakni “Qālu Balā” — bersaksi akan Allah tanpa hijab. Roh yang bersih ialah roh yang menjadi cermin penzahiran Allah, menjadi tempat tajalli-Nya, menjadi lathifah sirr yang terbuka kepada rahsia La ilaha illa Allah.
Dengan demikian, menggabungkan ketiga-tiga jalan ini bermaksud menyatukan kesempurnaan jalan untuk sampai kepada Allah Ta'ala. Maka, seorang Syeikh atau Mursyid yang Kamil akan merangkumi ketiga-tiga jalan ini didalam dirinya, dimana;
• Beliau adalah alim yang faqih dalam hukum.
• Hikmah dan zikirnya menyucikan hati.
• Dan maqamnya sebagai seorang Syeikh atau mursyid yang kamil akan menyentuh roh murid hingga membawa kepada Allah dengan selamat.
Maka sayugianya, seorang salik yang sedang meniti jalan Allah hendaklah tidak memisahkan syariat dari hakikat, kerana hakikat tanpa syariat adalah bathil, dan syariat tanpa hakikat adalah sia-sia.
Menggabungkan jalan ulama, jalan hukama, dan jalan awliya, bagaikan matahari, bulan dan bintang yang menuntun perjalanan seorang murid di langit rohani, menuju Wujud Mutlak yang tidak bertepi. Dengan Syariat seorang murid itu beramal. Dengan Hikmah seorang murid itu memahami. Dengan Awliya seorang murid itu akan sampai.
Segalanya adalah madad dari guru kami yang mulia Al Arifbillah Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani At Tijani Hafizahullahu Ta'ala. Semoga Allah sentiasa memelihara beliau dalam limpahan kebaikan dan menempatkan beliau disisi kekasih-kekasihNya yang mulia dan terpuji Al Qutbl Maktum Syeikh Ahmad At Tijani r.hu dan Sayidina Muhammad ﷺ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُعْلِقَ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الحَقِّ بالحَقِّ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ * وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan