Selasa, 2 Februari 2016

FADHILAT SANDAL RASULULLAH SAW

FADHILAT SANDAL RASULULLAH SAW

Maulana Zakaria Kandahlawi(rah) dan Maulana Asyraf Ali Thanwi(rah) adalah dua nama ulama besar dari aliran Deobandi. Setiap pelajar yang berkelulusan dari Darul Uloom Deoband atau dari mana-mana madrasah yang beraliran Deobandi pasti mempunyai sanad keilmuan yang akan melalui kedua-dua tokoh ulama berkaliber tinggi ini.

Kedua-dua mereka telah menyebut dalam kitab mereka mengenai fadhilat gambar dan lakaran sandal/capal Rasulullah SAW. Syaikhul Hadis Maulana Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya yang mensyarahkan kitab “Syamail at-Tirmidzi” menyatakan:-“ Gambar lakaran sandal/capal dan kelebihan serta keberkatannya telah diberikan dengan begitu terperinci di dalam kitab “Zadus Sa`id” karangan Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi (rahmatullah ‘alaihi). Khasiatnya tidak putus-putus. Beliau menyatakan bahawa beliau sendiri(Maulana Zakaria) telah mengalaminya beberapa kali. Beliau berkata dengan menyimpan sebuah gambar lakaran capal ini seseorang itu akan diberkati dengan ziarah bertemu Rasulullah, akan dilepasi daripada ancaman kuku besi penzalim, mencapai keberhasilan pekerjaannya dan berjaya di dalam segala cita-cita melalui tawassul capal ini. ”

Selain Maulana Zakaria dan Maulana Asyraf, seorang alim ahlus sunnah tersohor berasal dari bumi Palestin, bernama Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani telah mengungkapkan kemuliaan sepatu Rasulullah dalam bentuk puisi dalam kitabnya “Jawahirul Bihar” , ianya adalah seperti berikut;

*Alas kaki Nabi Muhammad berada di atas kepala alam semesta dan seluruh makhluq berada di bawah bayang-bayangnya.

*Ketika di bukit Tursina, Nabi Musa as diperintah supaya menanggalkan (alas kakinya), tetapi Nabi Muhammad saw. biarpun berada pada jarak yang lebih dekat , tidak diminta supaya ditanggalkan sandalnya

*Lambang yang meniru Sandal asli Sang Rasul saw. yang paling Mulia itu membuatkan bintang-bintang berangan-angan
menjadi tanah untuk dipijak olehnya.

*Madu-madunya, tujuh petala langit semuanya cemburu, dan mahkota-mahkota raja semuanya merasa hasad padanya

*Lambang sandal al-Mustafa saw itu tiada tolok bandingnya, ia adalah kerehatan bagi rohku dan celak (ubat) bagi mataku

*Sangatlah mulia lambang sandal yang Agung ini! Kerananya, semua kepala berharap, alangkah baiknya jikalau dapat menjadi kaki (Baginda saw.)

*Apabila aku melihat ALLAH mula memerangi manusia (kerana maksiat mereka), aku menjadikan alas kaki tuannya sebagai perisai

*Aku berlindung daripadaNYA (Kemarahan ALLAH) dengan keagungan lambang alas kaki Baginda , sebagai tembok yang kukuh dimana aku berasa aman dibawah perlindungannya

*Aku berkhidmat pada lambang Sandal al-Mustafa saw. , supaya dapat aku hidup di dunia dan akhirat dibawah bayang-bayangnya

*Berbahagianya Ibnu Mas`ud ra. kerana khidmatnya pada sandal Baginda (yang sebenarnya), dan aku, adalah si dia yang berbahagia kerana khidmatku pada lambangnya

*Sesungguhnya, bukanlah pada lambang itu hatiku merindu, tetapi pada Baginda saw. yang memakai Sandal itu…

*Kita direndahkan oleh cinta kerana memuliakan sandal ini, dan bilamana kita merendahkan diri dihadapannya, kita akan diangkat dan dimuliakan

*Maka letakkanlah ia di rak-rak teratas, kerana secara zahir ia adalah Sandal, namun pada hakikatnya ia adalah Mahkota.

Dan di antara kelebihannya yang telah terbukti manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syaikh yang soleh, Abu Ja’far Ahmad bin Abdul Majid:- “Aku telah membuat mitsal ni`al(lakaran sandal) ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata:- “Kelmarin aku telah melihat keberkatan ni`al ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir binasa, maka aku letakkan mitsal ni`al tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa “ALLAHUMMA ARINI BARAKATA SOHIBI HAZAN-NA’LI” ( Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya ni`al ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga.

Keharusan bertawassul dengan lakaran sandal Rasulullah SAW juga disebutkan oleh Maulan Zakaria Kandahlawi dalam kitabnya Syarah Syamail Tirmizi.

Antara kelebihannya yang lain juga dicatatkan oleh Imam al-Qustulani dalam kitabnya “al-Mawaahibul Laduniyyah” juz ke-2 mukasurat 174.

Telah berkata Abu Ishaq:-”Telah berkata Abul Qasim bin Muhammad:-”Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah.”

Beberapa ulama lainnya juga telah mengarang berbagai kitab mengenai lakaran sandal atau ni`al al-Mustafa s.a.w. ini. Antaranya ialah Imam Ibnu ‘Asakir dalam kitabnya“Timsalu Na’l an-Nabiy“, Imam Ibnu Muqri dalam kitabnya “Qurratul Aynayn fi Tahqiq Amr an-Na’layn“, Imam Abul Abbas al-Maqqari dalam kitabnya “Fathul Muta`al fi Madhin-Ni`al” dan ramai lagi yang lain.

Ulama membuat lakaran atau imej sandal Rasulullah s.a.w. demi kecintaan kepada Nabi junjungan besar s.a.w. sehingga merasakan sandal di telapak kaki Junjungan s.a.w. lebih mulia dan lebih bertuah daripada diri mereka. Hal ini amat payah untuk difahami oleh orang-orang yang tidak mengenal cinta dan orang yang tidak pernah mengecap fana-ur-rasul.

Bukankah kecintaan itu menuntut untuk mencintai apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan yang dicintainya. Perhatian diberikan hatta ke sandal Kekasih s.a.w. bukan kerana sandal tetapi kerana yang tuan empunyanya. Tulusnya cinta pada kekasih telah menyebabkan keberkatannya terzahir pada diri pencinta.

Jika sandal Rasulullah saw itu tiada apa-apa kaitan dengan agama, maka sudah tentu para sahabat Rasulullah saw tidak perlu bersusah payah meriwayatkan hadis-hadis berkenaan rupa bentuk sandal yang dipakai oleh Rasulullah seperti mana yang telah dihimpunkan hadis-hadisnya oleh Imam Tirmizi dalam Syamail-nya yang menerangkan mengenai rupa dan bentuk sandal Rasulullah secara terperinci.

Jika ada yang mengatakan "bukankah bukti cinta Rasulullah SAW itu dengan mengikuti sunnahnya?'.Demikian memang benar, tetapi manusia harus diberi ruang dan peluang untuk dipupuk perasaan cinta terhadap Rasululah sebagai asas kekuatan dan motivasi untuk beristiqamah dengan sunnah Rasulullah SAW.

Semoga kita ditumpahkan perasaan cinta yang mendalam terhadap Rasululah SAW serta apa dan siapa saja yang berkaitan dengan baginda SAW. Amiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan