Hadis Kedua ( Hadis 40 Imam Nawawi ) عَنْ عُمَرَ بْنِ الْجَطَابِ قَلَبَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَرَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيْدُ بَيَاضِ الشِّيَابِ شَدِيْدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلا يَعْرِفُهُ مِنَا فَأَسْنَدَ رَكْبَتَيْهِ إِلَى رُكَبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِى عَنِ الاسْلامُ فَقَالَ رَسُولُ الله صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّم أَلاسْلَمُ أَنْ تَشْهَدُ أَنْ لا اله الا اللهُ وَاَنْ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤتِيَ الزَّكَاة وَتصُومُ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْت إِنِ اسْتَطَعْتَ اِلَيْهِ سَبِيْلا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَالَهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ الايِمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِا الله وَمَلائكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الاخِرِ تُؤْمِنَ بِالقَدَرِخَيْرهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْدَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الاحْسَانِ قَالَ اَنْ تَعْبُدَ الله كَانَكَ تَرَاهُ فَانْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَأنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ السَّاعَةِ قَالَ مَا المُسؤُلُ عَنْهَا بِأعْلَمَ مِنَ السَّائلِ قَالَ فَأخْبِرْنِى عَنِ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الامَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاء الشَّاءِ يَتَطَاوَلوُنَ فِى الْبُنْيَا قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيَّا ثُمَّ قَالَ لِى يَاعُمَرُا تَدْرِى مَنِ السَّائلُ قُلْتُ الله وَرَسُولُهُ اعلم قَالَ فَاِنَّهُ جِبْرِيْلُ أَتَاكُمْ يَعْلَمُكُمْ دِيْنَكُمْ Maksudnya: Daripada Saiyidina ‘Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.
Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.
Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.
Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan. Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu. Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.
Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda:(Antara tanda-tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: Wahai ‘Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu? Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
Hadis (Riwayat Al-lmam Muslim)
Penerangan:
1. Galakan bertanya untuk memperolehi ilmu. Bertanya adalah sebahagian daripada ilmu kerana ia adalah sebab untuk tahu. Malah digalakkan menghadiri majlis ilmu dengan penampilan kemas dan bersih.
2. Mengemukakan soalan tentang ilmu yang bermanfaat dan meninggalkan yang tidak berfaedah.
3. Sewajarnya seseorang yang hadir ke majlis ilmu apabila ia mendapati para hadirin perlu mengetahui tentang sesuatu perkara, sedangkan tiada orang lain yang bertanyakan mengenainya, maka ia hendaklah mengajukan soalan, sekalipun ia telah mengetahuinya. Ini supaya para hadirin dapat mengambil manfaat.
4. Orang yang bertanya hendaklah iltizam dengan adab yang baik. Orang yang menjawab wajar menjawab lebih daripada soalan yang diminta. Malah orang yang mengajar wajar dikhususkan tempat yang istimewa untuknya.
5. Penyerupaan diri Jibril adalah antara jenis wahyu, selainnya ialah mimpi yang benar, diselubungi rasa cemas, melihat rupa kejadian malaikat yang sebenarserta malaikat berkata-kata di sebalik hijab.
6. Islam adalah amalan zahir merangkumi pertuturan lisan dan perbuatan anggota, Iman pula adalah amalan batin merangkumi aqidah dan amalan hati.
7. Galakan merendah diri dan mendekatkan diri kepada pengajar.
8. Wajib beriman dengan malaikat, para rasul, kitab-kitab samawi dan hari akhirat.
9. Wajib bermuqarabah (berwaspada) terhadap Allah S.W.T. Ini kerana Allah S.W.T Maha Mengetahui dan Maha Memerhati.
10. Allah S.W.T mengkhususkan pengetahuan waktu berlaku hari qiamat kepadaNya dan Nabi yang diutuskanNya juga tidak tahu.
11. Antara tanda-tanda hari kiamat adalah: > Penderhakaan kepada ibubapa berleluasa. Anak-anak berinteraksi dengan ibubapa seperti tuan dengan hamba. > Golongan bawahan menjadi pemimpin dan harta mereka berkembang banyak. Lalu mereka mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi kerana ingin menonjolkan kemegahan.
12. Antara perkara lain yang berlaku menjelang Qiamat ialah berleluasa kerosakan ahklak. Selain itu, kemegahan dan pembaziran menjadi-jadi serta harta benda bertambah banyak. Urusan manusia pula dipimpin oleh orang yang sebelumnya fakir dan miskin. Yang mana hidup mereka bergantung dengan ihsan orang lain.
13. Seorang yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara apabila disoal, ia hendaklah menjawab: ” Allah lebih mengetahui (Allahu a’alam).” Ini menunjukkan sikap wara’ dan cerminan agama.
14. Rangkuman iman, Islam dan ihsan ini disebut sebagai agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan