Rabu, 5 November 2025

KELEBIHAN SELAWAT

Berkata Sayyidi Al-Arif Billah As-Syeikh Abdul Wahab As-Syarani di dalam kitabnya لوقح الأنوار القدسية :

“Adalah sangat suka bagiku untuk menyebutkan kepada engkau beberapa jumlah faedah selawat dan salam kepada baginda Rasulullah ﷺ sebagai pengubat rindumu, semoga Allah mengurniakanmu cinta yang sejati, dan menjadikan kesibukan waktunya dengan banyak berselawat dan salam kepada baginda, serta menjadi suatu hadiah bagi setiap amalan yang engkau kerjakan di dalam lembaran baginda Rasulullah ﷺ seperti yang telah dijelaskan di dalam khabar berkaitan Sayyiduna b Ka`ab:

“Sesungguhnya aku menjadikan keseluruhan selawatku kepadamu” -iaitu aku menghadiahkan pahala keseluruhan amalanku”. Jawab baginda  Rasulullah ﷺ : { Jika begitu, nescaya Allah akan mencukupkan (membebaskan engkau dari) segala kegelisahan dunia dan akhiratmu }

Di antaranya yang terpenting ialah :

1)  Menghapuskan kesalahan, membersihkan amalan dan mengangkat darjat.

2)  Diampunkan dosa dan baginda memohon keampunan kepada pembacanya.

3)  Memperolehi gudang pahala seumpama bukit Uhud dan ditimbang pahala itu dengan timbangan yang luas.

4)  Dicukupkan urusan dunia dan akhirat bagi mereka yang menjadikan selawat keseluruhan waktunya (seperti hadis di atas).

5)  Dipadamkan dosa dan kelebihannya mengatasi dari membebaskan hamba.

6)  Selamat dari segala keadaan dan baginda Rasulullah ﷺ menjadi saksi kepadanya pada hari kiamat dan layak mendapat syafaat baginda.

7)  Memperolehi keredhaan Allah dan rahmatNya, aman dari kemurkaanNya, dan berada di bawah naunganNya.

8)  Diberatkan timbangan di akhirat, berada di kolam Al-Haud baginda dan selamat dari dahaga .

9)  Pembebasan dari api neraka, melalui titian sirath seumpama kilat yang menyambar dan dapat melihat tempatnya yang didekatkan kepadanya sebelum mati.

10)  Memperolehi banyak bidadari di dalam syurga dan mendapat kedudukan yang terpuji.

11)  Selawat itu sebagai penyuci diri dan harta bertambah dengan berkat selawat tersebut.

12)  Ditunaikan baginya 100 hajat bahkan lebih lagi.

13)  Selawat merupakan ibadah dan diantara amalan yang disukai Allahu Taala.

14)  Itu merupakan petanda pembacanya merupakan Ahlu Sunnah.

15)  Para malaikat sentiasa berselawat kepada orang yang berselawat selagi mana ia berselawat kepada baginda  Rasulullah ﷺ.

16)  Selawat itu penghias suatu majlis dan menolak kefakiran serta kesempitan hidup.

17)  Memperolehi sangkaan-sangkaan yang baik dari manusia.

18)  Orang yang berselawat menjadi orang yang utama disisi baginda Rasulullah ﷺ di hari akhirat.

19)  Memberi manfaat kepadanya dan juga anak-anaknya melalui selawat dan pahala selawat itu, begitu juga termasuk ia termasuk hadiah di dalam lembaran amalannya.

20)  Selawat itu mendekatkan diri kepada Allah Azza Wajalla dan juga kepada baginda Rasulullah ﷺ.

21)  Selawat itu sebagai cahaya yang menerangi pembacanya di dalam kubur, cahaya pada  hari kebangkitan dan cahaya ketika di atas titian sirath.

22)  Selawat itu memenangkan musuh serta menyucikan hati dari sifat munafik dan hati yang berkarat.

23)  Dikasihi oleh orang mukminin dan tidak ada yang membencinya melainkan munafik yang jelas munafiknya.

24)  Dapat melihat wajah baginda  Rasulullah ﷺ di dalam mimpi, dan kebanyakkan darinya ketika dalam keadaan sedar.

25)  Selawat itu mengurangkan pembacanya dari diumpat dan ia merupakan amalan yang paling afdol dan berkat serta paling banyak manfaat di dunia dan akhirat

Serta lain-lain daripada pahala/kelebihan yang tidak terkira.

Catatan dari yang ingin mencintai dan dicintai :

- [ Al-faqir Muhammad Shahir b Shah Budin ]

Wallahu a'lam .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan