Sabtu, 10 Ogos 2024

PERJALANAN TORIQAH KURNIAAN ILAHI (YAKNI SYUHUD AKAN NIKMAT HAKIKAT MUHAMMADIYYAH) ADALAH JALAN SULUK BARU UNTUK SAMPAI KEHADRAH ALLAH﷽

Allah menghantar Rasul Ulul Azmi lebih kurang setiap 500-600 tahun,

jarak antara Sayyidina Isa dan Sayyidina Muhammad ﷺ dalam 500-600 tahun.

Rasulullah lahir 570 masihi dan wafat tahun 632 masihi, Allah telah menutup kenabian dengan Nabi Muhammad ﷺ maka tidak ada lagi Nabi selepasnya.

Tetapi nafahat Allah kepada Ummat ini, Dia tetap menghantar setiap zaman pengganti Rasulullah ﷺ, dan setiap 100 tahun ada mujaddid zaman.

500-600 tahun selepas kewafatan Rasulullah ﷺ , ada seorang wali Agung yang membawa manusia menghambakan diri kepada Allah dengan toriqahnya. Bahkan ulama'-ulama' mujtahid dalam mazhab seperti Imam Suyuti, Imam Sya'roni, Sultanul Ulama' Izz al-Din Abdus Salam, dan ramai lagi mengakui keilmuan dan kewaliannya bahkan mereka mengikut perjalanan beliau. Beliau ialah Syekh Abu Hassan Asy-Syadzili yang lahir pada 1196 masihi dan meninggal pada 1258 masihi. Beliau membawa toriqah syukur, cara suluk baru untuk sampai kepada Allah menggantikan cara suluk mujahadah sebelum itu yang dibawa oleh Imam Ghazali dan pendahulunya.

Selang masa 500-600 tahun seletah wafat Syekh Abu Hassan Asy-Syadzili lahir pula Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya'Muhammadi Maklum membawa cara suluk baru untuk sampai kepada Allah. Beliau lahir di Ain Madhi, Jazair, Maghribi pada 1735 masihi dan wafat pada 1815 masihi. 

Setiap cara suluk itu sesuai dengan zamannya, zaman ini tidak lagi orang mampu bersuluk cara mujahadah, di mana nak dapatkan sesuatu yang betul-betul halal sangat susah. Dan siapa yang mampu menahan 7 anggota badannya dengan internet dan sosial media ini dan nikmat-nikmat yang boleh menguasai kita.

Zaman ini juga kita dihujani dengan nikmat-nikmat Allah yang melimpah ruah, kalau dulu orang nak pergi ke sesuatu tempat makan masa berhari-hari kini hanya beberapa jam saja. Teknologi yang pantas sehingga ada orang yang baru saja beli model baru handphone, tak sampai setahun dah keluar yang baru pula. Nikmat yang terlampau bercambah ini sehingga boleh berpecahnya perasaan dan hati seseorang. Mula dapat yang pertama syukur kepada Allah, hati mula bercita-cita dengan yang seterusnya kerana terlampau bercambahnya nikmat di zaman ini.

Maka Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya' Muhammadi Maklum membawa suluk baru dengan hanya syuhud dan memandang kepada satu-satunya nikmat yang paling agung sahaja, nikmat itu adalah nikmat hakikat Muhammadiah. Semua nikmat yang datang adalah asalnya datang dari usul nikmat ini. Jika hari ini kita dapat berbagai nikmat ketahuilah kita dapat semua itu kerana hakikat Muhammadiah. Kita dapat merasa lazat makan minum sekarang, nikmat berkahwin, nikmat kenderaan, nikmat alam ini di dunia dan di akhirat adalah kerana Sayyidul Wujud Muhammad ﷺ. Maka Qutbul Maktum wa Khatmul Auliya' Muhammadi Maklum menyarankan kita syuhud dan syukur dengan usul nikmat ini. Inilah suluk yang paling sesuai di zaman ini.

Maka dikurniakan kepada kita untuk membuka hakikat Muhammad itu dengan al- Yaqut Faridah (Permata Tunggal) akhir zaman. Itulah selawat fateh yang mana selawat ini adalah kunci untuk membuka hakikat Muhammad. Dengan itu kita dapat tenggelam dan syuhud dalam hakikat ini.

Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan