بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ إهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
"Memandang wajah AWLIYA ALLAH itu adalah zikir yang boleh mengubat hati. Menghadiri majlisnya MENGHIDUPKAN HATI. Berdampingan dengannya MELUASKAN HATI"
Di tengah-tengah kekeliruan dunia yang makin menyesakkan dada, diantara deruan maklumat yang menggelapkan pandangan rohani, manusia terus mencari, bukan sekadar ilmu bahkan tetapi penawar hati. Ada luka yang tidak sembuh dengan nasihat biasa. Ada keresahan yang tidak terubat dengan bacaan semata.
“Memandang wajah Awliya’ Allah itu adalah zikir yang boleh mengubat hati. Menghadiri majlisnya menghidupkan hati. Berdampingan dengannya meluaskan hati.”
Kalimat ini bukan sekadar retorik kerohanian, tetapi pengalaman zauq yang lahir dari samudera tasawuf dan kesufian, jalan yang menghimpunkan rahsia Muhammadiah, warisan cinta dan musyahadah terhadap Wujud Yang Maha Lembut.
Tatkala seorang salik memandang wajah seorang wali yang telah fana’ dari dirinya dan baqa’ dengan Tuhannya, dia tidak hanya melihat raut wajah manusia. Bahkan dia sedang melihat pantulan cahaya Wujud al-Haqq yang terbias pada cermin makhluk yang jernih.
Maka, wajah itu bukan lagi sekadar wajah. Ia menjadi zikir dalam diam, doa tanpa lafaz, dan ubat tanpa ramuan.
"Apabila kamu melihat mereka, kamu akan ingat kepada Allah."
Wajah itu menjadi isyarat Ilahi bahawa Allah itu hampir, bahawa hidup ini ada makna, bahawa ruh ini masih punya harapan untuk sembuh dari kelalaian yang panjang.
Majlisnya para Awliya adalah taman-taman syurga di bumi. Menghadiri majlis mereka bukan semata-mata hadir fizikal, tetapi hadir qalbu dan sirr. Seorang murid yang masuk ke dalam majlis mereka tidak keluar sebagaimana ia masuk. Majlis itu seperti mata air yang mengalirkan semula kehidupan ke dalam ruh yang mati.
Di sana, kalam tidak hanya mengalir dari mulut, tetapi dari dada yang telah disirami dengan nur maqam al-ma’rifah. Tiap huruf membawa makna, tiap diam menyimpan rahsia. Majlis mereka adalah taman-taman syurga di bumi; setiap kalam mereka ada pintu menuju hakikat; dan setiap diam mereka adalah zikir dalam kelazatan musyahadah.
Di dalamnya, kita tidak sekadar belajar, bahkan kita diadabkan, dilentur, disedarkan kembali bahawa hidup ini untuk Allah, melalui Rasul-Nya, melalui pewaris-pewarisnya.
Bersama Awliya Allah, hati menjadi luas seperti langit. Bersama mereka, kita menyedari bahawa sempitnya hati bukan kerana dunia ini sempit, tetapi kerana kita jauh dari mereka yang membawa keluasan Allah dalam dada mereka. Mereka bukan hanya guru, bahkan mereka adalah langit terbuka, tempat kita menumpang bernaung dari ribut ujian dunia.
Mereka tidak mengajar dengan lisan semata, tetapi dengan hal, dengan rahmat yang mengalir, dengan cinta yang diturunkan dari Rasulullah ﷺ kepada ummat yang mahu mendekati mereka dengan jalan para sahabat.
Mereka hidup dalam tenang takdir, lalu kita belajar berserah. Mereka redha dalam hujan musibah, lalu kita pun belajar pasrah. Mereka tidak pernah merasa cukup kecuali dengan Allah, lalu hati kita pun belajar apa itu kenyang yang sebenar — bukan di perut, tetapi di ruh.
Ketahuilah, wajah mereka, majlis mereka, hampirnya mereka, semuanya itu adalah Rahmat. Wali-wali Allah, khususnya para mursyid kamil lagi mukamil, adalah pintu kepada Allah, cerminan kepada Rasulullah ﷺ, dan mata air bagi ruh-ruh yang haus. Dalam diri mereka terkandung sirr Rabbani, zauq Muhammadiah, dan cahaya hakikat insan kamil.
Berbahagialah sesiapa yang diberi peluang untuk melihat mereka, mendengar kalam mereka, dan mencintai mereka, kerana itu tanda Allah sedang menarik hati kita untuk kembali kepadaNya dengan penuh kasih sayang.
اللهم ارزقنا صحبة الأولياء، ودوام النظر إليهم، والجلوس معهم، ومحبتهم، والموت على طريقتهم. آمين.
"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami persahabatan dengan para Awliya, dan kurniakanlah kami pandangan yang berterusan kepada mereka, duduk bersama mereka, mencintai mereka, dan wafat di atas jalan (thariqah) mereka. Amin."
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالسَّوَابِ
Segalanya adalah madad dari guru kami yang mulia Al Arifbillah Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani At Tijani Hafizahullahu Ta'ala. Semoga Allah sentiasa memelihara beliau dalam kebaikan dan menempatkan beliau disisi kekasih-kekasihNya yang mulia dan terpuji Al Qutbl Maktum Syeikh Ahmad At Tijani r.hu dan Sayidina Muhammad ﷺ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan