Ahad, 23 Jun 2019

ALLAH BUKAN DI LANGIT

Jabatan Mufti N9

{Bantahan terhadap syubhat-syubhat kaum Mujassimah yang berkeyakinan bahawa Allah bertempat di langit}

Di antara dalil yang sering kali menjadi pegangan kaum Mujassimah adalah firman Allah Ta’ala berbunyi:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ (16) أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ (17)

Ertinya: Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahawa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?, atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku? (Q.S. al-Mulk: 16-17)

Kaum Mujassimah mengatakan, ayat ini secara tegas menjelaskan kepada kita bahawa Allah itu bertempat di langit. Kenapa kita tidak mahu beriman dengat ayat ini?

Bantahan

Berdasarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan pada bahagian (1) tulisan ini sebelumnya, baik ayat-ayat al-Qur’an, hadits Nabi mahupun dalil akal yang bersifat qath’i, maka kita berkeyakinan bahawa Allah Ta’ala mustahil bertempat di langit mahupun pada sesuatu tempat. Kerana itu, semua nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala bertempat wajib difahami dengan makna yang menyucikan Allah dari sifat-sifat baharu tersebut. Kerana itu, Qadhi ‘Iyadh mengatakan:

لا خلاف بين المسلمين قاطبة فقيههم ومحدثهم ومتكلمهم ونظارهم ومقتدهم أن الظواهر الواردة بذكر الله تعالى في السماء كقول الله تعالى ءأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الارض ونحوه ليست على ظاهرها

“Tidak diperselisihkan di antara kaum Muslimin, baik ahli fikh, ahli hadis, ahli teoloqi bahwa zahir-zahir nas yang datang menyebut Allah di langit seperti firman Allah: “Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang ada di langit bahwa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu?” dan yang semisalnya itu tidak diertikan secara zahirnya.”[1]

Dalam menerangkan riwayat hamba perempuan yang ditanya Rasulullah SAW kepadanya di mana Allah, Imam al-Nawawi berpandangan seperti berikut:

هَذَا الْحَدِيثُ مِنْ أحَادِيثِ الصِّفَاتِ وَفِيهَا مَذْهَبَانِ تَقَدَّمَ ذِكْرُهُمَا مَرَّاتٍ فِي كِتَابِ الْإِيمَانِ أَحَدُهُمَا الْإِيمَانُ بِهِ مِنْ غَيْرِ خَوْضٍ فِي مَعْنَاهُ مَعَ اعْتِقَادِ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَتَنْزِيهِهِ عَنْ سِمَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ وَالثَّانِي تَأْوِيلُهُ بِمَا يَلِيقُ بِهِ

“Hadis ini termasuk hadis-hadis sifat. Padanya ada dua aliran (penafsiran), telah berulang kali diterangkan tentangnya dalam Kitabul Iman, Aliran pertama: mengimaninya tanpa membincangkan maknanya dengan keyakinan bahwa Allah Ta’ala tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan mensucikan-Nya dari sifat-sifat makhluk. Aliran kedua : menta’wilkannya dengan memaknainya sesuai makna yang layak bagi-Nya.”[2]

Apabila kaum Mujassimah mengatakan wajib memahami ayat di atas dengan makna zahirnya, maka dapat kita kemukakan di sini bahawa banyak sekali nas-nas syara’, baik al-Qur’an mahupun hadits Nabi dimana makna zahirnya justeru bertentangan dengan makna zahir ayat di atas. Lalu adakah kita harus memahaminya dengan makna zahir? Jawabnya tentu tidak sama sekali. Berikut ini nas-nas syara’ yang zahirnya menunjukkan bahawa Allah Ta’ala tidak hanya bertempat di langit, antara lain:

1.        Firman Allah berbunyi:

وَهُوَ اللهُ فِي السَمَواتِ وَ الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَ يَعْلَمُ مَا تَكْسِبُوْنَ.َ

Ertinya: Dan Dialah Allah di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan dan mengetahui apa yang kaum usahakan. (Q.S. al-An’am: 3)

Seandainya kaum Mujassimah mengatakan wajib mengertikan nas-nas syara’ tentang sifat Allah secara zahir, maka pastilah ia akan merobohkan akidahnya sendiri, sebab zahir ayat ini mengandungi makna bahawa Allah itu berada di langit dan bumi, bukan hanya di langit saja sebagaimana akidah mereka.

Padahal tiada seorang pun dari umat Islam yang mengatakan bahawa Allah bertempat di langit dan di bumi. Maha Suci Allah dari bertempat di langit dan di bumi. Kerana itu, para ulama Islam, baik salaf mahupun khalaf tidak memahami ayat di atas secara zahirnya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir disebutkan para ulama tafsir bersepakat menolak pemahaman kaum Jahmiyah yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala berada pada setiap tempat bersandarkan kepada ayat ini. Selanjutnya Ibnu Katsir mengatakan setelah terjadi kesepakatan tersebut, para ulama  tafsir berbeza pendapat dalam mentakwilnya, yang lebih sahih dari tafsir-tafsir itu adalah Yang diseru itu adalah Allah yang disembah, diesakan dan diakui ketuhanannya oleh orang-orang yang ada di langit dan di bumi.[3]

2.        Firman Allah SWT:
وهُوَ مَعَكمْ أَيْنَما كُنتُ.

Ertinya: Dan Dia bersama kamu di mana pun kamu berada. (Q.S. Al-Hadid: 4)

dan ayat:
وَاللَّهُ مَعَكُمْ وَلَنْ يَتِرَكُمْ أَعْمَالكُم
ْ
Ertinya: Dan Allah bersama kamu dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangi pahala amal-amalmu. (Q.S. Muhammad: 35)

Lafaz Allah adalah nama untuk zat bukan sifat. Jadi apabila difahami secara zahir sebagaimana doktrin kaum Mujassimah, maka ayat ini menunjukkan bahawa Allah berada di bumi bersama manusia. Kerananya, di sini tidak ada jalan lain selain mentakwilkan ayat di atas dan mengatakan bahawa zahir ayat ini bukan yang dimaksudkan.

Ibnu Katsir mengatakan tafsir Q.S al-Hadid: 4 ini adalah Allah selalu melihat dan menyaksikan segala perbuatan kamu dimana saja kamu berada, baik di darat mahupun di laut, malam atau siang, di rumah-rumah atau di gurun.[4] Sedangkan dalam mentafsirkan Q.S. Muhammad: 35, Ibnu Katsir mengatakan pada ayat ini merupakan khabar gembira dengan pertolongan dan kemenangan atas musuh. [5] Jadi maksud kedua ayat di atas bukan dalam erti zat Allah ada bersama mereka, tetapi yang ada bersama mereka itu hanya ilmu serta bashar Allah dan pertolongan serta anugerah kemenangan.

3.        Allah SWT berfirman:

فَلَوْلَا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (83) وَأَنْتُمْ حِينَئِذٍ تَنْظُرُونَ (84) وَ نحْنُ أَقْرَبُ إلَيْهِ مِنْكُم و لكن لاَ تُبْصِرُوْنَ. (85)

Ertinya: Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkong, padahal kamu ketika itu melihat dan Kami lebih dekat kepadanya dari kamu, tetapi kamu tidak melihat (Q.S. al-Wâqi’ah: 85)

Ayat ini menjelaskan tentang seseorang yang sedang menghadapi sakaratul maut dan di sekelilingnya ada keluarga atau teman-teman dekatnya yang sedang mengerumuninya, di mana jaraknya sangat dekat dengannya, akan tetapi Allah menegaskan: “Kami lebih dekat kepadanya dari kamu”.

Jika ayat ini harus dimaknai secara zahir tanpa mentakwilkannya, maka akan bermakna Allah berada di bumi di sisi hamba yang sedang dalam keadaan sakaratul maut itu.  Dan itu ertinya, Allah Ta’ala tidak berada di langit seperti yang diyakini kaum Mujassimah. Kerana itu, ayat-ayat yang seperti ini yang makna zahirnya menunjukkan kepada bahawa Allah bertempat, baik bertempat di langit mahupun di bumi harus dimaknai dengan makna lain yang sesuai dengan keagungan Allah dan kesucian-Nya.

Dalam Tafsir Ibnu Katsir, makna “Kami” pada ayat ini adalah para malaikat Kami.[6] Ini sama halnya dengan seorang presiden yang mengatakan “Kami telah membangun jalan-jalan di negara kami”, tentu maknanya bukan bererti seorang presiden secara langsung berada di jalan-jalan memegang peralatan membina jalan, tetapi maksudnya adalah pembangunan jalan itu atas perintah sang presiden.

4.        Allah SWT berfirman:

وَ لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسانَ وَ نَعْلَمُ ما تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَ نَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَريدِ.

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Q.S. Qaf: 16)

Adakah dengan ayat ini kita akan mengatakan bahawa Allah berada dalam salah anggota tubuh kita? Jawabnya tentu tidak. Tiada seorang pun yang beriman dan berakal sihat mengatakan seperti itu. Kerana itu, ayat ini tidak mungkin difahami secara zahir. Para ahli tafsir mentafsirkan firman Allah : “Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” dengan para malaikat lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya atau maksud “Kami” tersebut adalah ilmu Kami supaya tidak lazim ittihad dan hulul.[7]

5.        Ketika Nabi Ibrahim a.s. dizalimi kaumnya, beliau berkata sebagaimana yang diabadikan Allah SWT dalam firman-Nya:

إنِّيْ ذاهِبٌ إلى رَبِّيْ سَيَهْدِينِ.

Ertinya: Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap Tuhanku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (Q.S. ash-Shaffat: 99)

Nabi Ibrahim as. tidak hidup di langit dan beliau juga tidak hendak pergi ke langit untuk menjumpai Allah, lalu setelah itu beliau kembali lagi ke muka bumi. Apabila ayat seperti ini harus ditafsirkan secara makna zahirnya sebagaimana dakwaan kaum Mujassimah, maka tentu ayat ini akan bermakna bahwa Nabi Ibrahim a. s. hendak pergi ke langit menghadap tuhannya di sana. Tentu penafsiran seperti ini tidak pernah dikemukakan oleh sesiapa pun dari umat Islam yang sihat akalnya.

Para mufassir menerangkan bahawa kata-kata yang diucapkan Nabi Ibrahim a.s. itu adalah pada saat beliau hendak berhijrah.  Beliau akan pergi menuju tempat yang diperintah Allah untuk berhijrah ke sana. Atau menuju tempat yang beliau dapat beribadah kepada Allah di sana.[8]

6.        Firman Allah Q.S al-Baqarah: 115, berbunyi:
فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Ertinya: Kemana saja kamu menghadap, maka di sana zat Allah. (Q.S. al-Baqarah: 115)

Zahir ayat ini menunjukkan bahawa Allah ada di mana kita menghadap. Ertinya apabila yang kita hadap itu rumah, maka di rumah itu ada Allah, apabila yang kita hadap ka’bah, maka di ka’bah itu ada Allah, na’udzubillah ‘an zalik.

Lalu apakah kita harus memahami ayat ini dengan makna zahirnya? Jawabnya, tentu tidak sama sekali dan tidak ada umat Islam yang sihat akalnya yang mentafsirkan demikian.  Imam al-Razi, ahli tafsir dari kalangan Ahlussunnah wal Jama’ah menjelaskan dalam tafsir beliau, Mafatih al-Ghaib bahwa salah satu kemungkinan makna wajhullah  pada ayat ini adalah bermakna  arah yang dihadap pada waktu solat, yakni qiblat. Diidhafah wahj kepada Allah adalah seperti idhafah bait kepada Allah (baitullah) dan naaqah (unta) kepada Allah (naaqatullah). Idhafah seperti ini, maksudnya adalah idhafaf bil-khlaq wal-ijaad ‘ala sabilil tasyrif (menyandarkan penciptaannya untuk memuliakannya).[9]

7.        Dari Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا كان أحدكم يصلي فلا يبصق قبل وجهه فإن الله قبل وجهه إذا صلى .

Ertinya: Jika seorang dari kamu solat maka janganlah ia meludah di arah wajahnya, sebab sesungguhnya Allah berada di sisi wajahnya jika ia solat. (H.R. Bukhari[10] dan Muslim[11])

Dalam riwayat lain dalam kitab Sahih al-Bukhari berbunyi, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ القِبْلَةِ، فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ

Ertinya: Sesungguhnya Tuhan seseorang itu di antaranya dan qiblat, maka janganlah meludahi salah seorang kamu pada arah qiblat, tetapi di kiri atau di bawah dua tumitnya. (H.R. Bukhari)[12]

Apakah dengan zahir kedua hadits ini, kita akan mengatakan bahawa Allah berada di antara orang yang solat dan qiblatnya? Tentu hanya orang gila dan bodoh yang berani mengatakan seperti itu. Kerana tidak seorang pun dari orang-orang yang beriman dan berakal sihat yang beri’tiqad seperti itu. Disebabkan itu, para ulama tidak memaknai kedua hadits tersebut dengan makna zahirnya. Dalam menerangkan kedua hadits ini, al-Khuthabi mengatakan menghadap seseorang ke arah qiblat mengisyaratkan qashadnya itu adalah tuhannya, maka seolah-olah tuhannya itu ada di antaranya dan qiblatnya, kerana yang menjadi qashadnya adalah tuhannya.

Tafsir lain mengatakan maksudnya adalah kebesaran tuhan dan pahala-Nya.[13]  Ibnu Hajar al-Asqalani ahli hadis terkenal mengatakan, dalam hadis ini terdapat bantahan atas orang yang menganggap bahwa Allah bersemayam di atas arsy-Nya dengan Zatnya. Hujahnya seandainya hadits ini boleh ditakwil dengan makna yang layak dengan kesucian Allah, tentu kebolehan takwil itu juga dapat berlaku untuk ayat yang zahirnya bermakna Allah bersemayam di atas arasy.[14]

8.        Dari Abu Musa al Asy’ari bahwa Rasulullah SAW bersabda:

الذى تدعونه أقرب إلى أحدكم من عنق راحلة أحدكم.

Ertinya: Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat daripada seorang dari kamu kepada leher kenderaannya. (H.R. Muslim)[15]

Hadits ini tentunya bukan bermakna zat Allah berada di suatu tempat yang lebih dekat kepada penunggang unta daripada leher unta. Imam al-Nawawi mengatakan, hadits ini bermakna kiasan (majaz). Tujuan ucapan hadits itu  adalah memastikan Allah mendengar doa hambanya.[16]

9.        Dari Abdullah ibn Abbas dan Abdullah ibn Umar bahwa Rasulullah SAW jika telah menaiki kenderaannya untuk pergi bermusafir beliau berdoa:

اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الاهل

Ertinya: Ya Allah, Engkaulah teman dalam perjalanan dan khalifah/pengganti yang mengurus keluarga. (H.R. Muslim)[17]

Sesiapa pun jelas mengatakan tidak mungkin maksud hadits ini bahawa Rasullulah SAW berdoa agar Allah menjadi teman dalam perjalanan dengan erti bahawa zat Allah berada di bumi dalam perjalanan bersama beliau dan juga menjadi teman yang berada di sekitar keluarga beliau yang ditinggalkan. Akan tetapi maksudnya hanyalah pertolongan dan rahmat Allah selalu menyertai beliau dalam perjalanan serta keluarga beliau yang ditinggalkan.

Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadits Nabi SAW yang zahirnya bermakna Allah berada bukan hanya di langit, tetapi juga di bumi, namun para ulama Islam bersepakat memahami nas-nas syara’ tersebut tidak dengan makna zahirnya, tetapi mentakwilkannya sesuai dengan kesucian dan keagungan Allah SWT.

Seandainya kaum Mujassimah tetap berkeras memaknai ayat-ayat yang menyatakan secara zahir bahwa Allah berada di langit dan menolak pentakwilan dengan takwil yang sesuai dengan kemahasucian Allah SWT, maka kita minta mereka bersikap jujur dan objektif memaknai nas-nas syara’ yang kita sebutkan di atas yang menegaskan bahwa Allah tidak di langit.

Bukankah nas-nas syara’ yang kita sebutkan itu secara zahir menentang ayat-ayat yang mereka jadi dalil bahawa Allah berada di langit?  Jika mereka mentakwilkannya dengan takwil tertentu, maka kita katakan, “Apa yang membenarkan mereka mentakwilkan nas-nas yang itu dan menolak takwil pada Q.S. al-Mulk :16-17 ini?”

Tafsir yang Benar Q.S. al-Mulk: 16-17
Setelah kita tetapkan dengan keyakinan yang pasti bahwa Allah tidaklah mungkin berada di suatu tempat, baik di langit mahupun di bumi ataupun di suatu yang lain yang bernama tempat, maka para ulama berusaha menafsirkan Q.S. al-Mulk: 16-17 sesuai dengan kemahasucian dan keagungan-Nya.

Diantara tafsir ayat di atas adalah bahawa apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang kekuasaan-Nya Maha Agung lagi Dahsyat dan itu tidak menunjukkan bahawa Allah berada dan bertempat di langit. Sebab orang-orang Arab jika hendak mengagungkan sesuatu perkara biasa menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi. Kerana itu, kira-kira makna ayat itu adalah : “Apakah kamu berasa aman terhadap Zat Yang Maha Agung dan Maha Kuasa yang dapat menggoncangkan bumi dan mengirimkan badai batu yang dapat membinasakan kamu ?”[18]

Syair-syair klasik orang-orang Arab membuktikan bahawa mereka terbiasa jika hendak mengagungkan sesuatu perkara menyifatkannya dengan sesuatu yang tinggi, seperti bait syair yang digubah pujanggga kenamaan Arab di masa jahiliyah, `Antarah ibn Syaddâ al-Absi:

مقامك في جو السماء مكانه * وباعي قصير عن نوال الكواكب

“Kedudukanmu di awang-awang langit tempatnya * sedangkan lenganku pendek untuk menggapai bintang-bintang.”[19]

Akhthal salah seorang penyair terkenal pada zaman Bani Umayyah juga menggubah bait syair berbunyi:

بنو دارم عند السماء وأنتم * قذى الارض أبعد بينما بين ذلك

”Suku Bani Darim di langit sedangkan kamu* debu bumi, duhai alangkah jauhnya antara keduanya.”[20]

Atau boleh jadi yang dimaksud dengannya adalah para malaikat yang dikirim Allah untuk menurunkan azab-Nya, sebab tempat para malaikat di langit,[21]

ALLAH BUKAN DI LANGIT (BAHAGIAN 1)
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1426954020785480&id=286184454862448

[1] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 34
[2] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. V, Hal. 33
[3] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. III, Hal. 215
[4] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 43
[5] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 299
[6] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VIII, Hal. 35
[7] Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, Darul al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Juz. VII, Hal. 371-372
[8] Al-Qurthubi, Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XV, Hal. 97
[9] Imam al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 307-308
[10] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 406
[11] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 388, No Hadits: 547
[12] Bukhari, Shahih al-Bukhari, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 90, No. hadits: 405
[13] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[14] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Barri, Maktabah Syamilah, Juz. I, Hal. 508
[15] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. IV, Hal. 2077, No Hadits: 2704
[16] Al-Nawawi, Syarah Muslim, Muassisah Qurthubah, Juz. XVII, Hal. 43
[17] Imam Muslim, Shahih Muslim, Maktabah Syamilah, Juz. II, Hal. 978, No Hadits: 1342
[18] Lihat Tafsir al-Qurthubi, Maktabah Syamilah, Juz. XVIII, Hal. 216
[19] Al-Khatib al-Tabrizy, Syarah Diwan ’Antarah, Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut, Hal. 35
[20] Mahdi Muhammad Nashiruddin, Syarah Dewan al-Akhthal, Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, Hal. 221
[21] Lihat Khatib Syarbaini, Tafsir Siraj al-Munir, Juz. IV, Hal. 344

Tuan Guru Kiyai Alizar Usman (MA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan