"Barangkali Allah membukakan untukmu pintu ketaatan, tetapi Allah tidak membukakan untukmu pintu penerimaan(al-Qobūl)..
Dan barangkali Allah telah menentukan kamu berbuat dosa, tapi hal itu lalu menjadi sebab kamu sampai(wusūl) kepadaNYA.." -hikam al-Imam Ibnu Atha'illah as-Sakandari r.a.(96)
Janganlah rasa bangga diri dengan amalan yang dilakukan dan rasa diri lebih baik dari orang lain kerana rasa diri banyak beramal. Atau rasa lebih faham dan tinggi maqam dari orang lain. Ini kerana belum tentu amalanmu itu telah diterima Allah. Atau kefahaman dan maqammu itu dipandang dan diredhai Allah. Yang diiktibar hanya pandangan Allah. Bukan pandangan makhluk.
Ketahuilah setiap amalan yang dilakukanmu adalah dengan taufiq Allah. Jika kamu anggap diri mulia dan tinggi kerana amalanmu, dan menganggap selainmu dan para pendosa itu lebih hina darimu, terhapuslah pahala amalanmu kerana hilangnya keikhlasan dan sidiq.
Ya, mungkin seseorang itu berbuat maksiat dan dosa, tetapi ianya boleh menjadi sebab ia menjadi makin dekat kepada Allah jika ia menyebabkan seseorang itu sedar akan kewajipannya , dan disusuli taubat dengan sungguh-sungguh..
Pandanglah dirimu dengan rasa hina, jahil, faqir, lemah dan memerlukan.
Pandanglah diri pendosa dengan rahmah, harapan dan hidayah.
Janganlah pandang dengan ketaatan itu boleh sampai kepada Allah sedangkan kamu berbangga diri dan merasa diri bagus dan betul, dan janganlah pandang dengan dosa itu boleh menjauh dari Allah dan menjadi terhina sedangkan ia boleh menjadi penyebab untuk sampai kepada Allah dan menjadi jauh lebih mulia dari kita jika benar-benar bertaubat dan kembali kepada Allah.
Pintu makrifat itu hanya terbuka bagi mereka yang menundukkan dan merendahkan dirinya serendah-rendahnya, meyakini bahawa diri lebih hina dan jahil dari semua orang.
Di dalam kitab Rashahāt Ainil Hayāh disebutkan, para al-Arifin ada menyatakan, pandanglah dan anggaplah setiap insan yang dijumpaimu seolah2 dia adalah Sayyiduna Khidhir a.s.. Kerana Allah menyembunyikan para waliNya dikalangan hamba-hambaNya.
Moga Allah terima segala amalan dan mengampunkan segala dosa kita serta memberi hidayah kepada setiap pendosa..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan