Khamis, 9 Februari 2023

SIRI SYARAH SYAMAIL



             بسم الله الرحمن الرحيم 

Bab hadis-hadis mengenai rupa fizikal Rasulullah SAW

3 [3] : al Bara' bin Azib berkata :

Rasulullah SAW merupakan lelaki yang sederhana (ketinggian), jarak antara kedua bahunya jauh, rambutnya lebat (terurai ke bahu) sampai ke telinganya. Memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun lebih tampan daripadanya

Takhrij Ringkas

Al Bukhari (Sahih Bukhari. No. 3551), Muslim (Sahih Muslim. No. 2337), Ahmad (al Musnad. No. 18473), Abu Ya'la (al Musnad. No. 1714), Ibnu Hibban (Sahih ibnu Hibban. No. 6283), Abu Awanah (al Mustakhraj. No. 10312) dan lain lain. Hadis sahih disepakati oleh Bukhari dan Muslim. 

4 [4] : al Bara bin Azib berkata :

aku tidak pernah melihat seorang yang memiliki rambut menyentuh cuping telinga, memakai pakaian berwarna merah, lebih tampan daripada Rasulullah SAW. Baginda memiliki rambut yang menyentuh kedua bahunya. Jarak antara kedua bahunya jauh. Baginda bukanlah seorang yang rendah dan bukan tinggi

Takhrij Ringkas 

Muslim (Sahih Muslim. No. 2337), Ahmad (al Musnad. No. 18558, 18666), Abu Daud (al Sunan. No. 4183), al Termizi (al Jami'. No. 1724, 3635). Hadis sahih. Kata al Termizi : hadis ini hasan sahih. 

Penjelasan Hadis

Kedudukan hadis ini dalam bab rupa fizikal Rasulullah SAW menunjukkan satu lagi sifat fizikal Nabi SAW. 

📌 Nabi SAW digambarkan oleh sahabat al Bara bin Azib mempunyai dada yang lebar atau bidang. Ibarat yang digunakan oleh al Bara ialah jarak yang jauh antara dua bahunya. Manakala hadis dari sahabat yang lain menggunakan lafaz 'dada yang lebar' atau 'dada yang luas'. Kesemuanya membawa maksud yang sama. 

Dada Nabi SAW yang bidang sesuai dengan ciri fizikal lain seperti lengan, tapak tangan dan tulang sendi yang disifatkan dalam beberapa hadis lain sebagai besar dan berisi. Keadaan ini bertepatan dengan sifat tubuh Nabi SAW yang bagus, seimbang dan munasabah seperti yang dinyatakan oleh al Haitami dalam Asyraful Wasail. 

📌 Hadis al Bara juga menyebut bahawa Baginda SAW sederhana tingginya. Lafaz riwayat kedua menggunakan 'tidak rendah dan tidak tinggi'. Pengertian kedua riwayat ini hendaklah difahami dengan maksud bukan terlalu tinggi seperti yang dijelaskan sebelum ini berdasarkan hadis Anas, Abu Hurairah dan Ali RA. 

📌 Hadis juga memperihal sifat rambut Nabi SAW. Rambut Baginda SAW disifatkan sebagai lebat dan agak panjang hingga mencecah cuping telinga. Dalam riwayat Yusuf bin Ishaq, mencecah cuping telinga ke kedua bahu. Menurut ibnu Hajar (Fathul Bari), kebanyakan rambut Baginda SAW berada pada cuping telinga. Baki rambut yang terurai menyentuh bahu. Ibnu Hajar juga mengandaikan perbezaan lafaz hadis kerana perbezaan situasi yang berlaku. Terdapat beberapa keadaan rambut Nabi SAW sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat. Ia akan diperjelaskan panjang lebar insya Allah pada bab rambut Nabi SAW. 

📌 Pemakaian pakaian warna merah akan disentuh pada bab pakaian nanti

Faedah dan Pengajaran Hadis

📌 Diharuskan memakai pakaian berwarna merah semata-mata. Ini pendapat mazhab Syafie dan Maliki. Dalil mereka antaranya ialah hadis al Bara ini. 

📌 Pakaian warna merah menyerlahkan kebagusan dan ketampanan Nabi SAW. Nabi SAW mempunyai warna kulit putih kemerahan yang dipadankan dengan pakaian merah. Keserasian ini ditunjukkan oleh bagaimana al Bara mengaitkan keduanya. 

📌 Hadis ini salah satu dalil keelokan dan keindahan fizikal Nabi SAW di samping riwayat sahabat lain seperti Abu Hurairah, Ummu Ma'bad, Jabir bin Samurah, Anas bin Malik, Abu Qirsofah dan seorang sahabat yang tidak dinamakan dalam riwayat Abu Ya'la (al Musnad). Para ulama yang menjelaskan sifat dan ciri fizikal Nabi SAW juga bersetuju bahawa fizikal Nabi SAW secara umumnya adalah elok. Kesimpulannya, hadis-hadis tadi serta hadis lain mengenai sifat fizikal Nabi SAW memberi gambaran mutawatir secara makna tentang keelokan dan keindahan rupa bentuk badan Baginda SAW.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليماً كثيراً. والحمد لله رب العالمين. 

📝 Penyusun:
Muslim
Hamba Allah yang memerlukanNya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan