Baru-baru ini ada sebuah video yang mendakwa bahawa kisah para sahabat Nabi meminum air kencing Nabi Muhammad ﷺ adalah tidak sahih dan ia tidak sepatutnya diceritakan kepada orang awam.
JAWAPAN
Riwayat yang mengandungi kisah para sahabat minum air kencing Nabi Muhammad ﷺ datang dari berbagai jalur iaitu kisah Ummi Ayman, Barakah dan Ummi Yusuf. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam al-Suyuti menyatakan bahawa ketiga-tiga mereka adalah orang yang berbeza.
Salah satu riwayat yang menyebut kisah Ummi Ayman dan Barakah adalah da’if kerana ada perawi da’if iaitu Abu Malik al-Nakha’i dan Hukaymah binti Umaymah. Akan tetapi kedua-dua riwayat tersebut mempunyai sokongan hadith-hadith lain dari jalur yang berbeza tanpa melalui kedua-dua perawi tersebut sebagaimana yang direkodkan dalam Tarikh Dimashq li Ibni ‘Asakir (4/303), al-Bidayah wa al-Nihayah li Ibni Kathir (5/326) dan al-Isabah li Ibni Hajar al-Asqalani (8/171).
Adapun kisah Ummi Yusuf adalah sahih sanadnya yang dikeluarkan oleh Imam Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf.
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir menyatakan bahawa walaupun terdapat riwayat yang mempunyai perawi da’if dalam hadith mengenai sahabat minum air kencing Nabi Muhammad ﷺ , akan tetapi hadith mengenai perkara tersebut mempunyai syawahid dan mutaba’at (riwayat sokongan), maka kisah tersebut telah disahihkan oleh para Ulama seperti Imam al-Hakim, Imam Ibnu Dihyah dan lain-lain.
Dalam kitab al-Badr al-Munir (1/484-584), Imam Badr al-Din al-‘Ayni menyatakan bahawa oleh kerana hadith mengenai para sahabat datang dari berbagai jalur maka para Muhaddithin seperti Imam Daruqutni dan Imam Ibnu Salah telah mensahihkan riwayat Hukaymah binti Umaymah.
Antara Muhaddithin yang telah mensahihkan kisah sahabat Nabi meminum air kencing Rasulullah SAW ialah al-Hafiz al-Haythami, Imam Abu Nu’aym, Imam al-Tabarani, Imam al-Suyuti, Imam al-Nawawi, Imam Ibnu Mulaqqin dan lain-lain.
Imam al-Nawawi dalam Rawdah al-Talibin (Kitab al-Nikah: Bab fi Khasa’is al-Rasul) menyatakan bahawa air kencing RasuluLlah SAW adalah suci untuk diminum bagi tujuan mendapat syifa dan keberkatan. Demikian itu juga adalah pandangan Imam al-Rafi’i yang menyatakan bahawa semua yang keluar dari tubuh Nabi Muhammad SAW termasuk darah dan air kencing Nabi Muhammad SAW adalah suci hukumnya.
Imam Badr al-Din al-‘Ayni menjelaskan bahawa antara keistimewaan khusus Nabi Muhammad ﷺ ialah apa sahaja yang keluar dari tubuh Baginda adalah suci berdalilkan mukjizat air keluar dari tangan Baginda lalu digunakan para sahabat untuk berwuduk. Menurut beliau, meskipun terdapat perbezaan pendapat antara Ulama mengenai darah dan air kencing Baginda sama ada ia suci atau najis, akan tetapi pandangan yang paling tepat ialah ianya suci. Beliau menolak pandangan yang menyamakan apa yang keluar dari tubuh Baginda dengan manusia yang lain kerana telah sabit di dalam riwayat dari berbagai jalur bahawa para sahabat meminum darah dan air kencing Nabi Muhammad ﷺ untuk mengambil keberkatan.
Selanjutnya Imam Badr al-Din al-‘Ayni rahimahuLlah menegaskan bahawa meskipun RasuluLlah SAW adalah manusia, akan tetapi tidak boleh disebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah manusia biasa seperti manusia lain, seseorang yang menyatakan sedemikian rupa adalah orang yang jahil mengenai martabat Nabi Muhammad SAW, bahkan tidak ada manusia yang seumpama Baginda dan tiada siapa yang seumpamanya.
(‘Umdah al-Qari Sharh al-Bukhari li Badr al-Din al-‘Ayni (Kitab al-Wudu’, hadith no.169).
Imam al-Suyuti dalam al-Khasa’is al-Kubra menyatakan bahawa diperbolehkan untuk meminum air kencing dan darah RasuluLlah ﷺ untuk tujuan syifa’. Beliau telah memasukkan hal tersebut dalam bab keistimewaan khusus yang dimiliki RasuluLlah ﷺ .
Pengkaji hadith moden hendaklah memahami bahawa praktik Muhaddithin adalah menerima hadith da’if yang berkaitan dengan keistimewaan RasuluLlah ﷺ dan tanda-tanda kenabian Baginda, dan ia boleh disebarkan kepada masyarakat awam. Lebih-lebih lagi apabila ia ada penguat dan sokongan riwayat yang mensahihkannya seperti kisah yang dibincangkan dalam artikel ini. Pengkaji hadith moden tidak sepatutnya mencampur adukkan cara penerimaan Ulama Muktabar terhadap hadith yang berkaitan Aqidah/Ahkam dan keistimewaan RasuluLlah ﷺ.
Imam Ibnu Hajar al-Haytami al-Makki al-Ansari rahimahuLlah (w.973H/1566M) dalam kitabnya al-Minah al-Makkiyyah Fi Sharh al-Hamziyyah (ms.152) menegaskan bahawa seluruh Huffaz Hadith Muta’akhirin telah menetapkan bahawa hadith-hadith da’if adalah diterima untuk seluruh hal berkaitan keistimewaan Rasulullah SAW, mukjizat dan manaqib (biografi).
Dalam al-Maqāmat al-Sundusiyyah fi al-Nisbah al-Sharifah al-Mustafawiyyah, Imam al-Suyuti menyebutkan, “Para ahli ilmu dan Ulama Muhaddithin pada masa terdahulu dan muta’akhirin tidak putus-putus meriwayatkan khabar ini dan menjadikannya dalam sebahagian dari keistimewaan (al-khasa’is) dan mukjizat, serta memasukkannya dalam genre manaqib dan kemuliaan (al-mukramāt), dan mereka berpegang bahawa hadith yang da’if sanadnya adalah diterima dalam kedudukan ini, dan berpegang bahawa ianya diterima periwayatannya dalam ruanglingkup fadilat (kelebihan Rasul) dan manaqib (biografi)”.
Shaykh Nur al-Din al-‘Itr dalam Manhaj al-Naqd menegaskan bahawa selagimana sesebuah hadith tidak mencapai status palsu, maka hadith-hadith da’if pada berbagai peringkat yang tidak bersangkut paut dengan Aqidah dan hukum-hakam boleh digunakan dan diamalkan iaitu hadith-hadith yang bersangkutan bab fadilat amal, motivasi, nasihat, kalam hikmah, ilmu-ilmu yang halus lagi mendalam (al-daqa’iq), galakan dan ancaman (targhib wa tarhib), kisah-kisah (al-qisas), kerohanian (al-raqa’iq), ilmu ma’rifat (al-ma’arif), peradaban, tafsir, sirah dan biografi (al-manaqib).
iqbal Zain al-jauhari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan