"Telah berkata al-‘Ārif Billāh Sayyidī Aḥmad bin ‘Ajībah Al-Ḥasanī Asy-Syadzulī QaddasAllāhu Sirrahu;
(Pembahagian golongan/martabat) manusia di dalam berselawat ke atas Rasūlullāh صلى الله عليه وسلم terbahagi kepada tiga bahagian :
1. Golongan/Martabat Pertama : ( 'Awwām : Awam di kalangan Muslim )
Mereka yang berselawat ke atas Ṣūrah Basyariyyah (rupa paras ẓāhir Rasūlullah s.a.w) ;
Mereka ini adalah golongan Ahli Dalīl dan Burhān (orang awam, ahli ilmu, dan para ulama’ zahir yg tiada sulūk) ;
Mereka ini (membayangkan/menghadirkan) rupa paras ẓāhir Rasūlullāh s.a.w di dalam hati-hati mereka ketika berselawat ke atas Baginda Nabi s.a.w. Bilamana mereka telah banyak berselawat dengan hati yang ḥuḍūr (hati yang penus fokus/penuh dgn zikir/syuhūd/tidak lalai) maka gambaran rupa paras ẓāhir Baginda s.a.w menjadi teguh (tetap/mantap/stabil) di dalam hati-hati mereka, maka mereka akan banyak kali melihat Baginda Nabi s.a.w di dalam tidur (mimpi) mereka.
Adakalanya roh Baginda Nabi s.a.w yang mulia membentuk (seperti) rupa jasad (rupa paras ẓāhir) Baginda s.a.w yang indah, maka mereka akan melihat Baginda s.a.w secara sedar (dalam keadaan jaga/bukan mimpi).
2. Golongan/Martabat Kedua : ( Khawāṣ : Ahli Khusus/Ahli Tarīq/Murīdīn )
Mereka yang berselawat ke atas roh nūrānīyyah Baginda Nabi s.a.w ;
Mereka ini adalah Ahli Syuhūd (mereka yang hatinya hidup mengingati Allāh s.w.t dan melihat Allāh pada setiap keadaannya) dikalangan Para Sā’irīn (sālikīn/murīdīn di dalam tarbiyyah tarīqah ṣūfiyyah) ;
Mereka ini berselawat ke atas nūr roh Baginda s.a.w yang mengalir/melimpah daripada Alam Jabarūt (Alam Asmā’ & Sifat Al-Ilāhiyyah).
Maka mereka akan melihat nūr roh Baginda s.a.w di dalam kebanyakan waktu mereka bergantung kepada kadar ḥuḍūr dan syuhūdnya hati mereka.
3. Golongan/Martabat Ketiga : ( Khawāṣ-Al-Khawāṣ: Khusus Yang Khusus / Para Auliyā' )
Mereka yang berselawat ke atas nūr asli (nūr asal) Baginda Nabi s.a.w : itulah nūr bagi segala nūr ;
Mereka ini adalah Ahli Rusūkh (mereka yang mendalam keilmuan zahir, bāṭin dan ma’rifah) dan Ahli Tamkīn (mereka yang telah mantap kukuh aḥwāl kerohanian mereka) dan Ahli ‘Iyān (mereka yang telah terẓāhir padanya segala yang ghaib, dan keyakinan mereka sudah tidak lagi bercampur keraguan).
Mereka ini adalah (hamba-hamba Allāh s.w.t) yang sudah tidak ghaib daripada mereka Baginda Nabi s.a.w walau sekelip mata pun.
Kerana itulah telah berkata Asy-Syaikh Abū Al-‘Abbās Al-Mursī r.a (Syaikh Ṭarīqah Syadzulī/anak murid kepada Al-Imām Asy-Syadzulī) :
“Sekiranya ghaib daripadaku Rasūlullāh s.a.w sekelip mata pun, jangan golongkan diriku ini dikalangan para muslimīn.”
Ini adalah isyarat kepada rusūkh-nya (teguhnya) dan tamkīn-nya (kukuhnya) kerohanian Asy-Syaikh Abū Al-‘Abbās Al-Mursī r.a di dalam ḥaḍrah (berada di kehampiran Allāh s.w.t dan Rasūlullāh s.a.w), dan kembalinya (roh) Beliau kepada Al-Baqā’ (Allāh s.w.t) melalui syuhūd kepada Al-Wāsiṭah (perantara : iaitu Rasūlullāh s.a.w).
Mereka ini adalah (hamba-hamba) Allāh s.w.t yang mana fikiran-fikiran mereka mengembara di Alam Malakūt (Alam Ghaib/Alam Arwāḥ), dan roh-roh mereka (sentiasa) berhubung dengan Alam Jabarūt (Alam Asma’ dan Sifat Al-Ilāhiyyah).
Sesungguhnya telah bersatu pada diri mereka pada apa yang telah terpisah pada diri orang lain. (segala kelalaian telah tenggelam dengan keḥuḍūran hati mereka, segala kejauhan telah dekat disisi mereka, segala yang ghaib telah terzahir disisi mereka, dan segala yang samar telah jelas disisi mereka,).
wAllāhu a’lam."
Terjemahan Ustaz Raja Mahadi Raja Ahmad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan