Namun, setelah meningkat dewasa dan mendengar dendangannya setiap tahun, saya mendapati kesalahan yang berlaku adalah dari sudut kefahaman masyarakat terhadap peristiwa tarikh berlakunya hijrah, bukan lirik lagu tersebut.
Saya secara peribadi melihat lirik yang ditulis bukanlah sebuah kesalahan, kenapa? Perhatikan rangkap di bawah.
“Satu Muharam Detik Permulaan;
Perkiraan Tahun Islam Hijrah,
Perpindahan Nabi dan Umat Islam,
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah.”
1. Sesuatu lirik atau bait gurindam ditulis bukanlah untuk menceritakan peristiwa secara detail, tetapi hanya untuk memberi gambaran umum berkaitan peristiwa yang berlaku.
Justeru, jika kita perhatikan lirik di atas, yang ingin disampaikan adalah 1 Muharam merupakan perkiraan hari pertama dalam kalendar Hijrah.
2. Peristiwa penghijrahan Nabi ﷺ berlaku pada tahun tersebut, namun para sahabat telah berhijrah jauh lebih awal dari Nabi ﷺ pada tahun sebelumnya.
Maka, jika kita nak terlalu detail dengan mengatakan "tukar kepada Safar atau Rabiulawal”, kita wajib juga tukar perkataan "Umat Islam" di dalam lirik, kerana Sahabat Nabi ﷺ telah berhijrah lebih awal daripada Baginda ﷺ.
3. Sebahagian orang menyangka Bulan Muharam tidak terlibat dalam peristiwa hijrah. Mereka sangka bahawa hanya Safar dan Rabiulawal sahaja bulan yang terlibat dalam peristiwa ini.
Sebenarnya, sangkaan ini tersilap, Bulan Muharam merupakan 'detik permulaan' perancangan hijrah Nabi ﷺ. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam syarahnya terhadap Sahih al-Bukhari;
وَإِنَّمَا أَخَّرُوهُ مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ إِلَى الْمُحَرَّمِ لِأَنَّ ابْتِدَاءَ الْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ كَانَ فِي الْمُحَرَّمِ إِذِ الْبَيْعَةُ وَقَعَتْ فِي أَثْنَاءِ ذِي الْحِجَّةِ وَهِيَ مُقَدِّمَةُ الْهِجْرَةِ فَكَانَ أَوَّلُ هِلَالٍ اسْتَهَلَّ بَعْدَ الْبَيْعَةِ وَالْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ هِلَالُ الْمُحَرَّمِ فَنَاسَبَ أَنْ يُجْعَلَ مُبْتَدَأً
“Diganjakkan (bulan pertama hijrah) daripada Bulan Rabiulawal (iaitu bulan Nabi ﷺ tiba di Madinah) kepada Bulan Muharam.
Hal ini kerana Bulan Muharam adalah permulaan hasrat (rencana) Nabi ﷺ untuk berhijrah selepas Perjanjian ‘Aqabah (Bai‘at ‘Aqabah) yang berlaku pada Bulan Zulhijah yang menjadi pencetus untuk Nabi ﷺ berhijrah.
Oleh itu, Hilal (anak bulan) pertama selepas Bai‘at dan hasrat hijrah adalah Hilal Muharram. Justeru, Hilal Muharram sesuai untuk menjadi titik permulaan (tahun baru hijrah)”.
(Kata ibn Hajar al-‘Asqalani)
وَهَذَا أَقْوَى مَا وَقَفْتُ عَلَيْهِ مِنْ مُنَاسَبَةِ الِابْتِدَاءِ بِالْمُحَرَّمِ
“Ini adalah penjelasan yang paling kuat yang saya temui mengenai kaitannya (pemilihan) permulaan (bulan hijrah) pada bulan Muharram”.
(Fath al-Bari: 7/268).
4. Kesimpulannya, pemilihan rangkap lagu ini bukanlah sesuatu yang tidak tepat. Tetapi kefahaman masyarakatlah yang perlu diperbetulkan.
–Syaiful Izhan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan