Ahad, 28 Oktober 2018

JUJURLAH DALAM BERIBADAH

Berkata Sidi Ahsan Al Ba'qili Al Maghribi;

كما خلقك الله بغير غرض فاعبده بغير غرض

Maksudnya; sebagaimana Allah menciptakan kamu tanpa meminta tujuan/habuan daripada kamu, maka beribadahlah kepada Allah tanpa tujuan/habuan sertaNya

Maka ahli jalan kehambaan kepada Allah yang sebenar adalah mereka yang beribadah kepada Allah semata mata bukan kerana sebab atau tujuan tertentu.

Mereka mengosongkan hati mereka dari terpaut dengan habuan nafsu sama ada yang berkait dengan dunia ataupun akhirat, hati mereka hanya diserahkan kepada Allah semata mata. Lalu mereka beribadah semata mata menumpukan kehambaan kepada Allah sahaja bukan kepada habuan sendiri

Satu muhasabah, cubalah tanya diri sendiri, sekiranya Allah tidak memberikan habuan atas ibadah kita, adakah kita akan beribadah kepada Nya? Sekiranya Allah tidak memberikan pahala, adakah kita ingin beribadah kepadaNya? Sekiranya Allah tidak menciptakan Syurga atau Neraka, adakah kita ingin beribadah kepadaNya? Namun Allah memberikan semua kebaikan kepada kita atas dasar anugerahNya Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Dan ingatlah bahwa beribadah kepada Allah dengan tujuan tertentu merupakan punca semua penyakit hati pada hambaNya. Bila seseorang beribadah kepada Allah dengan tujuan maka dia telah jatuh ke lembah iblis yang telah beribadah kepada Allah dengan tujuan keakuan dirinya lalu menyangka dirinya lebih baik dari Nabi Adam Alaihissalam

Telah berkata seorang arif bahawa penyakit hati itu ada 10 ribu antaranya riya', sum'ah, cintakan kedudukan yang kesemuanya berpunca dari satu penyakit utama iaitu beribadat dengan adanya tujuan sendiri dengan Allah.

Oleh itu, marilah kita beribadah kepada Allah sebagai hamba yang jujur, yang beribadah kepada Allah semata mata kerana Allah, inilah hamba sebenar yang bebas merdeka dari belenggu nafsu sendiri

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan