~ Pegangan Tarikat Tijani
Oleh: Syeikh Muhammad alHafiz atTijani al Misri Hafizahullah..
Kata beliau selepas tahmid dan selawat:
Sesungguhnnya saya mengisytiharkan bahawa kami tidak beriktikad bahawa Rasulullah SAW telah menyembunyikan sesuatu daripada apa yang telah diperintahkan kepada baginda agar menyampaikannya. Dan mustahil baginda diperintahkan untuk menyampaikan sesuatu wirid, atau selawat al-Fatih, atau lain-lainnya, atau untuk menerangkan kelebihannya, tetapi baginda menyembunyikannya. Sesiapa yang percaya kenyataan sedemikian, maka dia adalah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya, tidak akan diterima daripadanya amalan yang fardu mahupun yang sunat.
Saya tidak tahu bagaimana boleh masuk akal yang baginda telah menyembunyikan wirid tersebut, iaitu istighfar, selawat ke atasnya SAW dengan mana-mana lafaz, serta kalimah la ilaha illaLlah. Sedang selawat al-Fatih telahpun wujud sebelum Syeikh Abu al-‘Abbas al-Tijani serta masyhur, maka tidak sahih sama sekali yang ianya telah disimpankan untuk beliau, malah tidak sabit perkara sedemikian daripada beliau. Kami tidak beriktikad bahawa di sana selepas Rasulullah SAW terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang tertakwil.
Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.
Dan kami tidak mengkhususkan seorang pun dari kalangan para solihin dengan kedudukan sedemikian, bahkan ia di sisi kami adalah umum pada setiap apa yang dinukilkan daripada mereka. Berapa banyak perkara-perkara samar dan syatahat (latahan) telah dinukilkan daripada para syeikh, sama ada dalam hal ini tariqat Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani mahupun lain-lainnya. Dan para ulama telah memberi keuzuran buat mereka serta menolak wajah yang bertentangan. Tidak sunyi kitab-kitab mana-mana tariqat pun daripada perkara-perkara samar dansyatahat ini. Kesemuanya adalah tertakwil. Kami tidak beriktikad bahawa hanya semata-mata dengan penyaksian salah seorang dari kalangan para solihin itu sudah mencukupi bagi keselamatan seseorang individu. Akan tetapi yang dapat menyelamatkannya ialah iman dan amalan soleh. Firman-Nya SWT: “Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya” (al-Najm: 39).
Kami berpendapat bahawa berkumpul dengan para solihin berserta mahabbah yang benar ikhlas itu akan mendorong kepada kebaikan pada kebiasaannya. Oleh yang demikian, syarak telah menggalakkan supaya sentiasa berdamping dengan mereka, dan menerangkan bahawa ia adalah di antara sebab-sebab taubat. Hadis tentang orang yang membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, dan kemudian dia meminta untuk bertaubat, lalu ditunjukkan oleh seorang pendeta kepada sekumpulan para solihin agar ia berdamping dengan mereka, lalu ia pun mati sebelum ia sempat sampai kepada mereka, namun Allah merahmatinya dan menerima taubatnya, adalah sabit di dalam kitab al-Sahih. Demikian juga hadis tentang sahabat yang baik/soleh.
Kami percaya bahawa di antara sebesar-besar kekufuran ialah seseorang itu mempercayai bahawa selawat al-Fatih, atau lain-lain selawat ke atas baginda SAW dapat menyamai kelebihannya dengan mana-mana ayat daripada al-Quran. Justeru, bagaimana ia dapat melebihinya?! Maka bagaimana pula dengan satu surah?! Dan bagaimana pula dengan keseluruhan al-Quran?! Kami tidak beriktikad bahawa selawat itu adalah daripada al-Quran sebagaimana yang didakwa oleh si-pendakwa, dan bukan juga daripada hadis qudsi, ataupun daripada mana-mana bahagian wahyu kenabian kerana yang demikian itu telah pun terputus dengan kembalinya baginda SAW ke al-Rafiq al-A’la. Apa yang dinyatakan tersebut di sisi kami, ianya adalah daripada ilham yang sabit bagi para awliya’.
Kami tidak beriktikad bahawa ianya menyamai kalimah yang mulia (لا إله إلا الله) “Tiada tuhan melainkan Allah”. Tidak mungkin Syeikh al-Tijani berpendapat dengan mansuhnya berzikir dengan al-asma’ (nama-nama Allah), maka yang demikian ini adalah batil. Sedangkan kami, dan bagi Allah segala pujian, mengingati Allah ‘azza wajalla dengan nama-nama-Nya, dan kami sentiasa memelihara tasbih dan tahmid, berqiamullail, dan semua perkara-perkara sunat serta zikir-zikir yang warid di dalam syariat, serta kami menggalakkan ia diamalkan.
Kami tidak beriktikad bahawa hanya semata-mata dengan mengambil wirid akan memasukkan seseorang itu ke syurga sama ada dengan hisab ataupun tanpa hisab. Ini kerana syaratnya ialah mesti memelihara kesemua perintah-perintah syarak dari segi ilmu dan juga amal. Apakah dia wirid itu? Iaitu beristighfar, berselawat ke atas Nabi SAW, dan kalimah (لا إله إلا الله) “tiada tuhan melainkan Allah”, sesudah melaksanakan kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh Allah SWT.
Dan tidak ada, sama ada Syeikh al-Tijani atau seseorang pun selain dari para sahabat Rasulullah SAW yang dapat mencapai martabat para sahabat baginda SAW. Maka bagaimana pula dengan para nabi AS? Dan bagaimana pula dengan nabi penghulu seluruh makhluk SAW?
Seseorang wali itu, walau bagaimana tinggi sekalipun martabatnya adalah mustahil ia dapat mencapai dalam ilmu ketuhanan ke puncak martabat mana-mana nabi pun. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah sesat lagi menyesatkan orang lain. Kami percaya bahwa termasuk di antara kesesatan ialah seseorang hamba itu berasa selamat dari azab Allah SWT walaupun datang berderet-deret kepadanya berita-berita yang gembira. Sesiapa yang bergantung kepada amalannya, atau sandarannya kepada mana-mana individu dan meninggalkan beramal, maka yang demikian itu adalah tanda kerugian yang nyata. Wal ‘iyazu biLlah, semoga mendapat perlindungan dari Allah Taala.
Kami percaya bahawa di antara syirik yang paling keji sekali ialah seseorang itu mempercayai bagi sesiapa pun bahawa ia mempunyai kuasa tadbir bersama-sama Allah, ataupun selain-Nya SWT.Bagaimanapun, apa yang kami nyatakan ialah seseorang hamba itu boleh sampai kepada suatu kedudukan mahbubiyyah (cinta) di sisi Tuhannya‘azza wajalla di mana al-Haq Taala bertindak padanya, lalu Dia mengikat hatinya. Maka dia tidak memohon kepada-Nya melainkan hanya apa yang telah didahului oleh kehendak-Nya yang azali SWT. Inilah yang kita fahami dalam sabdaan baginda SAW: “Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah itu ada orang yang jika ia bersumpah atas nama Allah, nescaya Dia akan memperkenankannya”. Juga dalam hadis qudsi: “Dan jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya”. Inilah yang biasanya berlaku (di kalangan wali-wali Allah). Namun adakalanya ia memohon kepada Tuhannya ‘azza wajalla, namun Dia tidak pun memberinya, kerana apa yang dikehendaki oleh Allah itu pasti akan berlaku, bukan menurut apa yang dikehendaki oleh yang selain-Nya.
Kami beriktikad bahawa Allah SWT tidak menyuruh melakukan perkara yang keji, zalim, mahupun kekufuran, meskipun memang tidak berlaku di dalam kerajaan-Nya kecuali apa yang Dia kehendaki. Dan sesungguhnya golongan kafir itu adalah musuh-musuh Allah sepertimana firman-Nya SWT: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir”, walaupun kewujudan dan pengazaban mereka itu adalah apa yang dikehendaki oleh-Nya SWT. Dan tidak mungkin pula pengazaban mereka itu adalah sia-sia, akan tetapi ia adalah intipati keadilan dan hikmah/kebijaksanaan. Sesungguhnya mereka itu telah hak ke atas mereka firman-Nya ‘azza wajalla: “Merekalah orang-orang yang berputus asa dari rahmat-Ku”, “Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, tidak akan diringankan daripada mereka dari azabnya”. Maka azab kekufuran itu tidak akan dikurangkan, firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia akan mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang Dia dikehendaki” (al-Nisa’: 48).
Tidak wajib sifat maksum itu melainkan hanya bagi nabi. Adapun para awliya’, maka harus berlaku ke atas mereka semua perbuatan-perbuatan maksiat (selain dari kekufuran). Allah juga boleh memelihara sesiapa yang dikehendaki-Nya dari maksiat dari kalangan mereka, namun tidak wajib yang demikian itu pada hak selain dari para nabi AS. Dan sesiapa yang mempercayai pada Allah ‘azza wajalla hulul (inkarnasi) atau ittihad (kesatuan makhluk dengan Khaliq), atau percaya bahawa sesuatu makhluk itu adalah zat Allah, atau padanya terdapat satu sifat daripada sifat-sifat-Nya, atau menyamakan-Nya dengan makhluk-Nya, atau menyamakan makhluk-Nya dengan-Nya, atau mengingkari suatu perkara penting yang mesti maklum diketahui dalam agama, atau mentakwilkannya dengan suatu gambaran yang menyalahinya seperti orang yang percaya dengan penjelmaan semula roh dan mendakwa bahawa itu adalah makna kebangkitan, atau mengikuti suatu pegangan daripada pegangan-pegangan golongan bidaah, maka dia adalah orang yang sesat lagi menyesatkan.
Kesimpulan bagi akidah kami dalam bab usul ialah apa yang dipegang oleh para salafussoleh dan juga para khalaf dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang terdiri dari kalangan fuqaha’, muhaddithin dan sufiyyah, serta apa yang dipegang oleh imam-imam yang empat; Malik, al-Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal dan pengikut-pengikut mereka dalam bab furu‘. Kita juga mengakui para ahli sufi secara keseluruhannya, di samping menimbang kata-kata, amalan-amalan dan hal keadaan mereka dengan syariat. Maka apa yang bertepatan dengannya, kami turut memperakukannya. Manakala yang membawa kemungkinan bertepatan dan bertentangan, kami baikkan sangka terhadap mereka, serta kami tafsirkan hal keadaan mereka menurut wajah yang bertepatan, dan kami serahkan urusan mereka itu kepada Allah yang maha mengetahui dengan apa yang tersirat di dalam hati. Memang ada dinukilkan dari mereka syatahat-syatahat (latahan) yang tidak boleh diikuti dan tidak boleh dicontohi sama sekali.
Manakala perkara yang tidak dapat dipertanggungkan pula, kami akan menolaknya, kerana sesungguhnya tiada lagi kenabian mahupun pensyariatan selepas Rasulullah SAW. Sesiapa yang mendakwa kemaksuman terhadap seseorang individu sesudah baginda, maka dia adalah dari kalangan ahli bidaah yang sesat. Kita tidak melakukan sepertimana yang dibuat oleh ahli bidaah dan khurafat yang mentakwilkan firman Allah ‘azza wajalla dan sabdaan Rasul-Nya SAW disebabkan kata-kata para pemimpin mereka. Lalu mereka menjadikan kata-kata mereka itu sebagai asal, serta merujukkan pula al-Quran dan sunnah kepadanya.
Sesunguhnya yang menjadi dasar asal di sisi kami ialah al-Quran dan Sunnah. Justeru, semua perkara yang menggambarkan bertentangan dengan kedua-duanya daripada kata-kata para ‘arifin, sekiranya ada didapati dalam buku-buku kami, maka ianya adalah tertakwil yang tidak membawa wajah yang bertentangan dengan kedua-duanya. Memang ada berlaku penyusupan dan pendustaan ke atas para nabi dan juga para solihin, ataupun orang tersalah dalam memahami kata-kata mereka, walaupun dari kalangan sahabat-sahabat mereka sendiri, lalu mereka pun menukilkannya dalam keadaan salah. Sedangkan para nabi dan para solihin itu telah memberi peringatan dari yang demikian. Namun, kita telah melihat para salafussoleh dari kalangan alim ulama bersifat cermat dan berhati-hati serta tidak cepat mengkafir dan menyesatkan.
Syeikh al-Tijani pernah ditanya: “Apakah berlaku pembohongan ke atas tuan?” Jawabnya: “Ya, jika kamu mendengar sesuatu daripadaku, maka timbanglah ia dengan neraca syarak. Maka apa yang bertepatan dengannya, amalkanlah olehmu, dan apa yang bertentangan dengannya pula, maka tinggalkanlah ia”.
Dan saya amat yakin bahawa semua pengikut Tijani berlepas diri kepada Allah SWT dari semua akidah-akidah yang menyeleweng itu dan juga yang seumpamanya. Kalaulah tidak kerana agenda-agenda peribadi dan pertelingkahan-pertelingkahan, nescaya tiada seorang pun dari kalangan ahli tariqat tersebut yang akan ditohmah dengan tuduhan sedemikian. Namun, Allah telah melepaskan diri mereka daripadanya, termasuklah juga golongan awam mereka. Maka bagaimana pula dengan seorang lelaki mulia yang mempunyai sumbangan dan jasa besar dalam berkhidmat kepada Islam yang diiktiraf sendiri oleh pihak lawannya?
Tiada seorang individu pun dalam tariqat ini sama ada yang besar ataupun yang kecil, melainkan ia mengumumkan kelepasan dirinya dari kebatilan-kebatilan tersebut. Kami sendiri telah menerima dari para syeikh tariqat ini – dan ia juga dinyatakan sendiri oleh pengasasnya (Syeikh al-Tijani) - bahawa semua yang dinisbahkan kepada syeikh dengan andaian sahih nisbahnya kepada beliau, sama ada yang didapati dalam kitab-kitab beliau ataupun tidak, dan zahirnya pula bertentangan dengan nas al-Quran, atau sunnah, atau ijmak umat Muhammad SAW, maka ianya adalah tertakwil, dan haram mengambil zahirnya, serta wajib menafsirkannya menurut wajah yang bersesuaian dengan syariat. Para ulama tariqat ini telah berusaha menerangkan takwilnya yang bertepatan dengan syariat supaya tiada seorang pun yang akan sesat dengan menafsirkannya menurut wajah yang bercanggah. Manakala apa yang tidak sahih nisbahnya kepada beliau, maka tidak boleh dipegang dengan suatu apa pun daripadanya dalam apa jua keadaan sekalipun.
Kami pernah mendengar bahawa ada seorang khalifah tariqat ini telah membakar suatu tulisan yang dinisbahkan kepada Syeikh al-Tijani daripada berbagai keistimewaan-keistimewaan yang bertentangan dengan sunnah Nabi SAW, malah beliau telah memerintahkan membakarnya di mana sahaja ianya ditemui. Apakah ada orang waras yang boleh menerangkan kepada kita suatu makna (faedah) bagi menyelidiki perkara-perkara samar sebegitu? Hinggakan seolah-olah tidak ada di dalam tariqat ini selain darinya? Sedangkan, tidak ada khilaf antara ahli tariqat ini bahawa ianya adalah tertakwil? Dan ia meninggalkan pula perkara yang cukup jelas seperti berdakwah kepada Allah ‘azza wajalla, beramal dengan Al-Quran dan Sunnah, serta berpegang teguh dengan kedua-duanya. Sedangkan itulah sahaja yang diamalkan di sisi setiap individu dari kalangan ahli tariqat ini? Oleh kerana kesemua akidah-akidah yang bertentangan tersebut tiada khilaf di antara kami tentang kebatilannya, dan kami bersepakat dalam berlepas diri dari setiap orang yang mempercayai kesemuanya itu, ataupun sebahagiannya. Maka tiada lagi sebab yang tinggal kecuali perselisihan-perselisihan peribadi, dan bukannya percanggahan pokok (substantif).
Jika perkara munkar itu, kerana kecintaan pada agama adalah benar, maka tiada seorang pun menurut apa yang kami tahu, mempercayai akidah-akidah berkenaan dari kalangan para pengamal Tijaniyyah. Maka ia adalah suatu jihad tanpa sebarang musuh. Sesiapa yang menyandarkan kepada Tariqat Tijaniyyah mana-mana doktrin daripada kepercayaan-kepercayaan tersebut atau lain-lainnya yang bertentangan dengan akidah Islam, maka dia adalah seorang pendusta. Telahpun sahih hadis dari baginda SAW: “Tidaklah seseorang itu mengkafirkan seseorang yang lain kecuali layaklah salah seorang daripada mereka itu dengannya, sekiranya ia seorang yang kafir, jika tidak ia kufur dengan mengkafirkannya”.
Adapun bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, maka ia telah diharamkan oleh Allah ‘azza wajalla. Tidak ragu lagi bahawa setiap da’i kepada Allah secara benar itu berlepas diri daripadanya. Jika benar ada seseorang daripada ahli tariqat ini bersekongkol dengan mereka, wal ‘iyazu biLlah, maka kesalahan itu hanyalah terbeban di atas bahunya seorang. Dan ia, jika begitu seorang yang menyalahi syeikh pengasas tariqat ini, malah dengan usul-usul ahli sufi dan juga kesemua ahli agama. Dan sesiapa yang mengiktiraf komplotnya dengan mereka itu pula, maka ia juga dikira bersekongkol dengannya.
Sesungguhnya kami menyeru umat Islam keseluruhannya supaya berpegang dengan kebenaran dan berusaha untuk mengukuhkan ikatan agama dan membuang punca-punca pertikaian di antara mereka dengan baik. Sesiapa yang tidak mampu dari kalangan kita mengisytiharkan permusuhannya terhadap musuh-musuh Allah ‘azza wajalla, maka janganlah pula terkurang dari bertakwa kepada Allah, maka ia tidak membantu mereka dalam menghina umat Islam.
Akhirnya saya menutup kata-kata saya dengan memohon kepada Allah SWT agar dapat memberikan taufik dari kalangan ulama ahli agama seseorang yang dapat menjadi utusan keamanan antara umat Islam, lalu menyatukan kalimahnya, dan mengarahkannya ke jalan pengorbanan demi Allah dan agama-Nya, agar kita semua dapat beramal di bawah panji-panji kebenaran secara berganding bahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan