Selasa, 27 Oktober 2020

KEMATIAN PENCINTA SELAWAT


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

Imam Jazuly rah. atau nama sebenarnya Abu Abdillah Muhammad Ibn Sulaiman Al Jazuly Al Samlaly adalah dari nasab Sayidina Hasan r.a Binti Sayidah Fatimah r.ha yang terpuji akan kemuliaannya. Beliau adalah terkenal dengan Kitab Dalail Al Khairat dan bahkan beliaulah pengarang kitab yang agung ini, yang menghimpunkan pelbagai jenis Selawat keatas Sayidina Wamaulana Muhammad ﷺ. 

Beliau merupakan salah seorang Ulama yang besar dan Waliyullah dibumi Maghrib khususnya di Kota Afrighal. Beliau juga merupakan seorang Ulama Tasawuf yang mempunyai murid yang ramai sekitar 12 ribu orang dan telah meninggal pada tanggal 16 Rabiul Awwal 871 Hijrah ketika bersujud menunaikan solat Subuh. 

Menurut Murobbina Sayidi Ahmad Al Hadi Hafizahullahu Ta'ala yang menceritakan bahawa jasad beliau telah dikebumikan di Kota Sus, dan setelah 60 tahun selepas kematian beliau, pihak kerajaan telah memerintahkan agar jasad beliau yang disemadikan di Kota Sus dipindahkan ke suatu tempat yang dinamakan Rayad Al Arus, berhampiran dengan Kota Marakesh yang terkenal dan yang terbesar di bumi Morocco. 

Menurut Murobbina lagi, sewaktu penggalian Maqam beliau dilakukan, terjadilah suatu perkara yang menakjubkan dimana kelihatan jasad beliau masih lagi segar dan wajahnya kemerahan seperti mana beliau baru dikebumikan. Bahkan dengan wajahnya yang tersenyum. Dan yang lebih menakjubkan lagi adalah sebelum beliau meninggal, beliau telah mencukur sedikit bahagian janggutnya dan memotong sedikit tepi rambutnya, dan bekas kesan potongan serta cukuran ini masih kelihatan nampak, seperti baru dilakukan ketika jasad beliau dikeluarkan dari Maqam.

Imam Jazuli rah. yang dikenali sebagai Tuan Selawat ini, apabila terbuka Maqamnya, bauan Kasturi yang wangi telah keluar dari kubur beliau dan wangian Kasturi ini semerbak tersebar tercium keseluruh bandar. 

Jadi, demikianlah berita kematian seorang pencinta Selawat yang telah mengabdikan segala Selawat dalam sebuah kitab karangannya yang diberi nama Dalail Al Khairat wa Syawariq al-Anwar fi Zikr al-Salat ‘ala al-Nabi al-Mukhtar (Petunjuk Kebaikan dan Pancaran Cahaya dalam Berselawat ke atas Nabi Yang Terpilih).

Ianya merupakan sebuah kitab yang mengandungi segala jenis selawat, puji-pujian dan doa-doa ke atas Sayidina Muhammad ﷺ yang dikarang di Maghribi pada abad ke-15 masihi oleh seorang ahli sufi terkenal ketika itu, al- Imam Sayyid Abu Abdillah Muhammad Bin Sulaiman al-Jazuli (Imam al-Jazuli). Semoga Allah menempatkan beliau disisi kekasih-kekasihNya yang mulia dan terpuji beserta Sayidina Wamaulana Muhammad ﷺ.

Wallahu a'lam

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

# Kisah asal adalah daripada Tausiyyah Murobbina Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani Hafizahullahu Ta'ala dengan sedikit penambahan gaya bahasa untuk lebih mudah difahami oleh pembaca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan