Isnin, 22 April 2024

RINGKASAN SYAMAIL MUHAMMADIYAH. BENTUK BADAN RASULULLAH SAW.

Agar lebih khusyuk berselawat kepada Rasulullah saw maka hadirkan bentuk tubuh baginda saw seperti yang diriwayatkan dalam hadis-hadis. Mudah mudahan kita tenggelam dalam kecintaan zahir dan batin kepada baginda Rasulullah saw.

Pandangan Para Sahabat
Di antara kata-kata apresiasi lain para sahabat ialah:

 .

1.     Wajah

Wajahnya seperti bulan purnama.
Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
Kedua pipinya menurun, tidak meninggi, tidak bermuka panjang.
Wajah Baginda tenang dan bercahaya apabila ketawa atau tersenyum.
Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama.
Baginda seolah-olah tidak dimamah usia, Baginda muda sehinggalah ke akhir hayat.
Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Wajah baginda adalah wajah yang tercantik malah lebih cantik dan kacak daripada Nabi Allah Yusof a.s.
 .

2.     Susuk Tubuh

Perutnya tidak buncit.
Badannya tidak gemuk.
Bahunya terletak dan segak.
Tubuhnya nampak tinggi semasa berada di kalangan orang ramai.
Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
Badannya tidak tinggi, tidak rendah atau kecil tapi berukuran sederhana besar.
Tubuhnya tidak banyak bulu kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
Baginda kelihatan lebih tinggi daripada para sahabat, tetapi apabila Baginda berjalan sendirian, Baginda nampak sederhana ketinggiannya.
“Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa orang yang bertubuh sederhana dikurniakan banyak kebajikan.”

 .

3.     Kulit

Kulitnya putih lagi bercahaya.
Warna kulit putih kemerah-merahan.
Warna putihnya lebih banyak tapi sihat.
Warna kulitnya campuran coklat dan putih.
Warna kulit Baginda tidak terlalu putih seperti kapur.
Warna kulit Baginda adalah azharul-laun – putih gemilang.
Keringat baginda seperti mutiara dan berbau lebih harum dari kasturi.
 .

4.     Rambut Kepala

Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
Rambutnya sedikit ikal.
Rambutnya terbelah di tengah.
Ada kalanya rambutnya mencecah bahu tapi disikat rapi.
Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga.
Berambut ikal yang tidak terlalu lurus dan tidak terlalu keriting.
Apabila baginda menyikat rambut, jadilan seakan-akan jalinan pasir.
Uban pada kepala dan janggutnya masing-masing berjumlah 17 helai.

5.     Kening

Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
Ke dua-dua  belah bulu keningnya melengkung.
Ada yang menyatakan kedua-dua keningnya bersambung.
Ruang putih (ablaj) yang kecil di tengah-tengah keningnya seolah-olah perak yang putih bersih.
Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa Baginda murka.
.

6.     Mata

Mata Baginda hitam pekat.
Bulu matanya tebal, panjang dan lentik.
Kedua matanya adalah lapang dan jernih.
Di bahagian mata putih  terdapat garis-garis merah,
Kelopak matanya luas dan kebiruan di bahagian tepi.
.

7.     Hidung dan Mulut

Hidungnya mancung, bercahaya penuh misteri dan kelihatan sedikit luas.
Mulut Baginda sederhana luas dan cantik.
Aku melihat cahaya dari lidahnya.
Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
Giginya kecil indah tersusun, gigi serinya sedikit renggang dan bercahaya.
.

8.     Dagu

Dagunya tidak runing dan tirus.
Janggutnya penuh dan tebal menawan.
Dipenuhi dengan janggut dan tidak bermisai.
 .

9.     Leher

Tidak dapat dikatakan panjang atau pendek.
Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
Lehernya adalah yang terbaik dari semua hamba Allah SWT.
Lehernya kecil dan jinjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
Gambarannya seolah-olah cerek perak yang bercampur emas yang berkilauan dalam keputihan perak dan kemerahan emas.
 .

10.     Bahu dan Dada

Dadanya bidang dan selaras dengan perut.
Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa.
Seimbang antara kedua bahunya.
Berdada lebar/agak sasa seperti cermin rata dan seperti bulan putihnya.
Tidak berbulu dada kecuali pada sedikit bulu lurus antara dada dan pusat Baginda.
Kedua bahu Baginda besar/agak sasa dan terdapat ‘Cap Kenabian’ di antaranya. (Tanda hitam bercampur kuning sedikit)
.

11.     Tangan

Jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik.
Jari-jemarinya seolah-olah ranting-ranting perak.
Pergelangan tangan dan tapak tangannya lebar.
Tapak tangan dan kakinya berisi dan terasa tebal.
Tapak tangan baginda lebih lembut dari sutera dan berbau harum.
Apabila tangannya diletakkan di atas kepada anak-anak kecil, nescaya dikenali anak-anak kecil berkenaan bahawa itu adalah baginda SAW menerusi keharuman tangannya.

12.     Kaki

Kakinya besar, berisi dan agak sasa.
Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
Baginda berjalan seolah-olah menuruni batu besar.
Tapak kakinya sangat halus dan licin sehingga tidak melekat air.
Langkahnya condong dan ‘al-huwaina’ – langkah kaki berdekatan tanpa berlenggang.
Baginda bersabda bahawa rupa paras/bentuk tubuh/budi pekerti/akhlak Baginda adalah menyamai Nabi Allah Adam a.s. dan Nabi Allah Ibrahim a.s.
.

.

.

Bentuk ‘Khatamun Nubuwah’
.

“Aku pernah melihat ‘khatam’ (kenabian)… Ia terletak di antara kedua-dua bahu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Bentuknya seperti sepotong daging berwarna merah sebesar telur burung dara.”  (Diriwayatkan oleh Sa’id bin Ya’qub at Thalaqani dari Ayub bin Jabir, dari Simak bin Harb yang berpunca dari Jabir bin Samurah ra)

.

Apabila Ali menceritakan sifat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. maka ia akan bercerita panjang lebar. Dan ia akan berkata: “Diantara kedua bahunya terdapat Khatam kenabian, iaitu khatam para Nabi.”  (Diriwayatkan oleh Ahmad bin Ubadah ad Dlabi` Ali bin Hujr dan lainnya, yang mereka terima dari Isa bin Yunus dari Umar bin Abdullah, dari Ibrahim bin Muhammad yang berpunca dari salah seorang putera Ali bin Abi Talib)

.

Dalam suatu riwayat, Alba bin Ahmar al Yasykuri mengadakan dialog dengan Abu Zaid Amr bin Akhthab al Anshari r.a.; Abu Zaid berkata:  “Rasulullah SAW. bersabda kepadaku: “Wahai Abu Zaid datanglah kepadaku dan usaplah belakangku.” Maka belakangnya kuusap dan terasa jari jemariku menyentuh Khatam. Aku (Alba bin Ahmar al Yasykuri) bertanya kepada Abu Zaid: “Apakah Khatam itu?” Abu Zaid menjawab: “Kumpulan bulu-bulu*.” (Diriwayatkan oleh Muhammad bin Basyar, dari Abu `Ashim dari` Uzrah bin Tsabit yang bersumber dari Alba’bin Ahmar al Yasykuri)

.

Rujukan:

*Beliau berkata kumpulan bulu-bulu kerana ia hanya dapat merasakan dengan rabaan tangannya saja, tidak melihat dengan mata kepala. Jadi yang dikatakan itu hanya berdasar rabaan belaka, yang teraba olehnya adalah bulu yang tumbuh di sekitar Khatam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan