4 peristiwa penting iaitu keIslaman Hamzah, kemudiannya keIslaman Umar, penolakan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam terhadap tawaran orang kafir Quraisy dan kesepakatan Bani al-Muttalib dan Bani Hashim yang terdiri daripada yang Muslim dan yang kafir untuk melindungi Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam benar-benar mencabar para pembesar Musyrikin Makkah.  Kesemua itu berlaku berturut-turut dalam masa kurang dari empat minggu.

Mereka tidak boleh membunuh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kerana mereka tahu akan berlaku pertumpahan darah yang besar disebabkan oleh Bani al-Muttalib dan Bani Hashim telah bersepakat untuk melindungi Baginda.  Justeru, kafir Quraisy mesti mencari jalan lain untuk membantutkan dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.

Kaum kafir Quraisy telah sepakat untuk memulaukan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.  Mereka telah membuat persepakatan di perkampungan Bani Kinanah untuk tidak boleh berkahwin dengan kedua-dua bani ini, tidak boleh berurusniaga, tidak boleh duduk semeja, tidak boleh bergaul dan tidak boleh diziarahi.  Pemulauan ini akan terbatal sehinggalah kedua-dua bani ini sanggup untuk menyerahkan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk dibunuh.

Mereka menulis kesepakatan itu di atas sehelai lembaran dan digantungkan di dalam Ka`bah.  Lembaran itu telah ditulis oleh Baghid bin `Amir bin Hashim di mana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam telah mendoakan kecelakaan buatnya, lalu tangannya menjadi lumpuh.

Pemulauan itu bermula pada suatu malam bulan Muharram tahun ke-7 kenabian.  Seluruh bani Hashim dan bani al-Muttalib samada yang Muslim atau yang kafir (kecuali Abu Lahab) telah menyisih diri dan berkurung di kampung Abu Talib.

Pengepungan dan pemulauan dijalankan dengan sangat ketat.  Segala bekalan makanan disekat sehingga Bani Hashim dan Bani al-Muttalib ada yang terpaksa memakan daun-daun kayu dan kulit-kulit binatang.  Kedengaran suara-suara rintihan kanak-kanak dan wanita di sebalik perkampungan itu akibat terlalu lapar.  Makanan hanya sampai kepada mereka melalui jalan-jalan sulit.

Mereka tidak dapat keluar dari kampung itu melainkan pada bulan-bulan Haram.  Pada musim haji, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan orang-orang Islam dapat keluar dari kampung tersebut untuk menyeru orang ramai yang datang ke Mekah kepada agama Islam.

Setelah 3 tahun berlalu, akhirnya perjanjian pemulauan itu dibatalkan pada bulan Muharram tahun ke-10 kenabian.  Hal ini terjadi lantaran terdapat di kalangan orang-orang Quraisy sendiri yang tidak setuju dengan pemulauan itu.  Mereka telah menjalankan usaha untuk membatalkannya.  Usaha tersebut telah dimulakan oleh Hisham bin `Amru dari Bani `Amir bin Lu’ay, iaitu seorang yang sering membekalkan makanan secara sembunyi kepada bani Hashim pada waktu malam.

Ketika Hisham bin `Amru dan beberapa orang lain yang setuju dengan beliau berdebat dengan Abu Jahal tentang perjanjian pemulauan itu, datanglah Abu Talib menghampiri mereka.  Abu Talib membawa berita dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang mengatakan bahawa kandungan perjanjian itu telah dimakan oleh anai-anai kecuali tulisan nama ALLAH sahaja yang tidak dimakan.  Apabila diperiksa, memang betul apa yang dikatakan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.  Walaupun penduduk Makkah telah melihat suatu peristiwa aneh yang merupakan mu`jizat Nabi, namun mereka tetap berdegil untuk menerima da`wah Baginda.

Utusan Quraisy Terakhir Berjumpa Abu Talib

Setelah pemulauan dibatalkan, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah keluar dari kampong Abu Talib dan meneruskan dak`wah Baginda.  Namun, usaha menyekat da`wah Rasulullah tetap diteruskan oleh orang-orang kafir Quraisy.

Ketika ini Abu Talib sudah pun dalam keadaan sakit dan melampaui umur 80 tahun.  Berita tentang uzurnya Abu Talib telah membuatkan orang-orang kafir Quraisy membuat keputusan untuk berjumpa dengan Abu Talib buat kali terakhir.  Tujuannya ialah supaya beliau meminta anak saudaranya berhenti menyeru agama Islam.  Mereka tidak mahu ditimpa malu jika Nabi Muhammad dibunuh atau diapa-apakan selepas kematian Abu Talib.  Ini akan menunjukkan sifat pengecut mereka terhadap Abu Talib dan mereka tidak sanggup digelar masyarakat sebagai pengecut.

Lalu beberapa orang kenamaan Quraisy telah bertemu dengan Abu Talib.  Antara mereka ialah `Utbah bin Rabi`ah, Shaybah bin bin Rabi`ah, Abu Jahal bin Hisham, `Umayyah bin Khalaf, Abu Sufiyan bin Harb dan lain-lain lelaki yang terhormat.  Rombongan ini terdiri dari 25 orang.

Abu Talib lalu memanggil Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam untuk menyatakan hasrat orang-orang kenamaan itu.  Nabi sallAllahu `alaihi wasallam menawarkan mereka dengan 1 kalimah yang mana jika mereka mengucapkannya, nescaya orang-orang Arab dan Ajam akan tunduk kepada mereka.  Kalimah itu ialah ‘Tiada Tuhan Selain ALLAH dan tinggalkanlah sembahan yang kamu sembah selain ALLAH.’  Mereka menolak seruan itu.

Tahun Dukacita

Sakit Abu Talib semakin berat.  Pada bulan Rejab tahun ke-10 kenabian, Abu Talib yang selama ini membela dan melindungi Baginda akhirnya meninggal dunia.  Datanglah kesedihan kepada Nabi Muhammad kerana Abu Talib tidak masuk Islam.  Hatta, di akhir hayat Abu Talib, Nabi telah cuba mengIslamkannya, namun disebabkan ketika itu Abu Jahal ada di sisi Abu Talib dan mempengaruhinya, maka Abu Talib telah mati dalam keadaan tidak beragama Islam.

Pada tahun yang sama, Khadijah Ummul Mukminin radhiAllahu `anha pula meninggal dunia.  Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan ketika usianya 65 tahun dan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ketika itu berusia 50 tahun.

Sesungguhnya Khadijah adalah antara satu nikmat terbesar yang ALLAH kurniakan buat Baginda.  Khadijah telah hidup bersama Baginda selama 25 tahun merasai saat-saat mencemaskan, membantu Baginda berdakwah dan menemankan Baginda tatkala suasana sukar dan getir.  Beliau telah banyak mengorbankan kepentingan dirinya dan hartanya untuk Islam.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah bersabda:  “Dia (Khadijah) beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketiak orang ramai menghalangku dan ALLAH mengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya.”  (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Kematian dua insan penting dalam kehidupan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ini betul-betul menyedihkan Baginda.  Apatah lagi ia berlaku secara berturut-turut pada tahun yang sama.  Setelah kematian Abu Talib dan Khadijah, kaum Quraisy Makkah semakin berani dan terbuka mengganggu dan menyakiti Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Disebabkan oleh tindakan yang melampau dilakukan oleh kaum Musyrikin, Nabi membuat keputusan untuk cuba untuk berdakwah di Ta’if pula.  Nabi ke sana dengan ditemani oleh Zaid bin Harithah.  Sampai di sana, layanan mereka lebih teruk lagi ke atas Nabi.  Nabi bukan sahaja diejek dan dihina, malah penduduk-penduduk Ta’if telah berbaris melemparkan batu kepada Nabi.

Kedudukan Ta'if dari Makkah

Semua ummat Islam telah dicengkam dengan dahsyat sekali.  Sehingga Abu Bakr pun terpaksa berhijrah ke Habsyah, tetapi dalam perjalanan beliau ke sana, beliau telah dibawa ke Makkah oleh Ibn al-Daghinah dengan berjanji untuk melindunginya.  Tahun ke-10 kenabian telah digelar sebagai Tahun Kesedihan lantaran bertubi-tubi kesedihan dan cabaran getir yang menimpa Rasulullah dan ummatnya.

Perkahwinan Dengan Sawdah radhiAllahu `anha

Pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkahwin dengan Sawdah binti Zam`ah.  Beliau adalah antara wanita yang terawal masuk Islam dan telah berhijrah bersama suaminya ke Habsyah pada penghijrahan kedua.  Suaminya, al-Sakran bin `Amru telah meninggal dunia ketika di Habsyah, atau selepas pulang ke Makkah.  Nabi melamarnya bagi melindungi kebajikannya dan beliau adalah wanita pertama yang dinikahi Baginda selepas meninggal dunianya Khadijah radhiAllahu `anha.

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala ali Muhammad…


Da`wah Islam ke Luar Kota Makkah

Ta’if

Setelah semakin kuat penentangan oleh orang-orang kafir Makkah, Baginda kemudiannya pergi ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan da`wah.  Baginda telah ke Taif pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian.  Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu.  Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.

Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di jalan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam.  Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut ajakan Baginda.  Apabila sampai di Ta’if, Baginda berjumpa dengan 3 orang bersaudara dari bani Thaqif.  Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Baginda tinggal di Ta’if selama 10 hari.  Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah Nabi jumpa.  Tetapi semua mereka telah menghina Nabi.  Malah mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika Nabi hendak keluar dari Ta’if.  Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah.  Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya. 

Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Ta’if sehinggalah Nabi masuk ke kebun `Utbah dan Shaybah yang merupakan 2 beradik anak lelaki Rabi`ah.  Di kebun itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri.  Lalu Baginda pun berdoa kepada ALLAH:

“Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia.  Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, ENGKAU adalah TUHAN orang-orang yang lemah, ENGKAU adalah TUHANku, kepada siapa ENGKAU serahkan aku ini?  Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan menyerangku?  Atau adakah kepada musuh yang ENGKAU serahkan urusanku kepadanya?  Jika ENGKAU tidak memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikannya, akan tetapi kesejahteraan daripada-MU adalah lebih luas untukku.  Aku berlindung dengan cahaya wajah-MU yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-MU menimpa kepadaku atau ENGKAU menjadi murka kepadaku.  Bagi-MU keredhaan sehingga ENGKAU benar-benar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-MU jua.”

Walaupun Baginda sangat sedih dengan apa yang berlaku di Ta’if, namun telah berlaku beberapa peristiwa menarik sepanjang perjalanan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ke Makkah.  Peristiwa dipeluk oleh seorang khadam yang beragama Nasrani di kebun tempat Nabi singgah, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga bukit ketika di Qarnul Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk mendengar ayat-ayat al-Qur’an ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah menaikkan semangat Baginda sallAllahu `alaihi wasallam untuk meneruskan da`wah dan merancang strategi baru.

Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu

Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10 kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah untuk memperbaharui seruan Islam kepada kabilah-kabilah dan individu-individu.  Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh kabilah-kabilah dari luar sempena musim haji pada bulan Zulhijjah.  Sebenarnya Nabi telah berdakwah kepada banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim haji sejak tahun ke-4 kenabian lagi.  Tetapi tidak satu kabilah pun menerima dakwah Baginda.  Namun terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan masuk Islam.

Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Nabi telah bertemu dengan 6 orang pemuda dari Yathrib.  Mereka tertarik dengan seruan Nabi kerana mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan keluar dari mulut-mulut orang Yahudi di Yathrib.  Mereka pulang ke Yathrib dalam keadaan masih belum masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang Nabi akhir zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib.  Jadi, seluruh penduduk Yathrib mula maklum berkenaan Rasulullah.

Perkahwinan Rasulullah SAW Dengan `A’isyah

Pada bulan Syawwal tahun ke-11 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkahwin dengan `A’isyah radhiAllahu `anha.

Isra’ Mi`raj

Pada saat dakwah Nabi kelihatan seperti samar masa depan, ALLAH telah menghadiahkan Nabi dengan suatu peristiwa agung iaitu Isra’ Mi`raj.  Ada beberapa pandangan tentang bila berlakunya  Isra’ Mi`raj.  Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri iaitu penulis ar-Rahiq al-Makhtum memilih samada ia berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.

Di dalam peristiwa yang agung ini, Nabi telah diperjalankan secara dari Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, lalu diangkat ke Sidratul Muntaha untuk mengadap ALLAH.  Setelah menerima pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam, Nabi pun pulang semula ke Makkah.  Peristiwa ini berlaku pada satu malam dan ia benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika itu.  Ada yang setelah mendengar peristiwa ini tetap beriman malah semakin teguh iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada yang terus murtad.  Abu Bakr digelar as-Siddiq kerana beliau adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata Nabi tanpa ragu.

Bai`ah Pertama

Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan 12 orang lelaki dari Yathrib, lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina pada tahun ke-11 kenabian.  Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk Islam dan berbai`ah dengan Nabi.  Nabi telah menghantar seorang pemuda bernama Mus`ab bin `Umair untuk mengikut rombongan 12 orang tersebut pulang ke Yathrib.  Tujuannya ialah supaya Mus`ab bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang masuk Islam di Yathrib tentang syari`at-syari`at Islam.

Sebelum tiba musim haji tahun ke-13 kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah bertemu Nabi dengan membawa berita yang menggembirakan.  Banyak penduduk Yathrib dari pelbagai perkampungan menerima ajaran Islam.

Bai`ah Kedua

Pada musim ke-13 kenabian, seramai 70 orang lelaki dan 2 orang wanita beragama Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji.  Mereka datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik.  Kali ini telah berlaku bai`ah kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius iaitu dalam hal taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi walau dalam keadaan apa sekali pun.  Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi memikul tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib.  Daripada 12 orang itu, 9 orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.

Permulaan Hijrah

Setelah Bai`ah `Aqabah kedua, Islam mula mendapat tapak yang kukuh untuk disebarkan di tanah Arab, iaitu di Yathrib.  Walaupun belum pasti dengan masa depan berhijrah ke Yathrib, namun atas keimanan yang sangat tinggi, penduduk Makkah yang beragama Islam sedikit demi sedikit telah berhijrah ke Yathrib.  Risikonya terlalu tinggi.  Nyawa, keluarga dan harta terpaksa dikorbankan demi penghijrahan ini.

Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah.  Sekatan dilakukan kerana Musyrikin Makkah khuatir dengan dengan perkembangan Islam yang mula diterima oleh penduduk Yathrib.  Antara yang masyhur diceritakan ialah bagaimana kisah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka.  Iaitu Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah.  Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya.  Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.

Kisah Suhaib yang ditahan oleh kafir Quraisy lalu dilepaskan Suhaib kerana Suhaib sanggup memberikan kesemua hartanya untuk melepaskannya.  Dan kisah `Iyash yang ditipu mengatakan bahawa ibunya mengugut untuk berjemur di tengah panas, apabila beliau pergi untuk menemui ibunya, lalu `Iyash ditangkap serta diikat lalu diarak di kota Makkah menunjukkan cara menghukum orang yang hendak ke Yathrib.  Begitulah besarnya pengorbanan para sahabat Nabi untuk menjaga aqidah mereka.

Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah (Parlimen Quraisy)

Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, bukan sahaja di Makkah malah untuk menghentikan terus dari terus merebak ke lain-lain tempat.  Ini kerana mereka mulai sangat risau dengan perkembangan terbaru iaitu penghijrahan orang-orang Islam ke Yathrib dan kesediaan orang-orang Yathrib membantu Nabi.  Kerisauan ini timbul kerana Yathrib merupakan lokasi strategik laluan perdagangan orang-orang Makkah.  Mereka risau perdagangan mereka tergugat dan amalan sembahan berhala mereka turut terencat.

Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu.  Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd.  Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu.  Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Nabi.  Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja diperangi oleh bani `Abdul Manaf.  Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi.  Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya.

Parlimen Makkah setuju sebulat suara lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.

Sekadar menyampaikan,
Shahmuzir