Ketahuilah oleh mu wahai sahabat bahawasanya hendaklah kita mengenal diri kita supaya dapat kita mengenal Tuhan seperti sabda Nabi Sholallahu Alaihi Wasallam. Yakni barang siapa mengenal dirinya bahawasanya ia akan mengenallah ia akan Tuhannya. Maka adapun diri itu ada dua martabat, satu martabat diri yang Zahir nama ia dan satu itu diri yang Bathin nama ia. Maka adapun diri yang Zahir itu iaitu tubuh kita yang kasar yakni jasad, maka dapat kita lihat dengan mata kepala kita kerana ada padanya rupa dan warna dan besar atau kecil serta berat dan ringan.
Diri yang Bathin itu adalah nyawa kita maka tiadalah dapat kita lihat dengan mata kepala kita kerana tiada ada warna padanya serta tak dapat dicapai dengan indera dan tidak kelihatan pada zahir seperti bagaikan khayal tetapi kita ketahui diri yang Bathin itu adalah kenyataannya pada diri yang Zahir, tatkala kita lihat sifat yang Zahir itu seperti hidup dan tahu dan kuasa dan berkehendak dan mendengar dan melihat dan berkata-kata dan gerak dan diam itu iaitu nyatalah pada diri kita yang Zahir, maka itulah sifat diri kita yang Bathin yang kita dapat merasai rohani itu dengan sempurna akan wujudnya.
Maka tatkala kita lihat nyata pada diri kita yang Zahir ini akan sifat diri kita yang Bathin itu namun kelihatan tidak diketahui keberadaannya bagaimana dan dimana, tiada didalam dan tiada di luar dan tiada di atas dan tiada di bawah dan tiada di kiri dan di kanan namun hendaklah kita ketahui dengan yakin bahawa ada diri kita yang Bathin itulah Nyawa kita, yakni merupakan bayang-bayang Sifat Tuhan (sifat maknawiyah). Maka adalah kelakuan Sifat Tuhan itu nyatalah pada diri kita yang Bathin dan bagaimana kelakuan sifat diri kita yang Bathin itu nyata pada diri kita yang Zahir. Maka jikalau kita hendak melihat kelakuan diri kita yang Bathin maka hendaklah kita masuk kepada Alam Khayal ataupun Alam Misal dan dapatlah kita melihat kepada kenyataan Sifat Tuhan dan merasainya dengan rohani dengan sempurna.
Maka apabila kita faham akan yang demikian itu maka kita ketahuilah bahawa hidupnya (hayat) badan itu dengan sebab hidupnya Nyawa dan juga tahu (sifat ilmu)nya dadan itu dengan sebab tahunya Nyawa dan kuasa(sifat kudrat) badan itu dengan sebab kuasa Nyawa dan berkehendak(sifat iradat) badan itu dengan sebab berkehendak Nyawa dan mendengar(sifat sama) badan itu dengan sebab mendengar Nyawa dan melihat(sifat basar) badan itu dengan dengan sebab melihat Nyawa dan berkata-kata(sifat kalam) badan itu dengan sebab berkata-kata Nyawa dan gerak diam badan itu dengan sebab gerak diam Nyawa.
Maka apabila sudah engkau faham seperti yang tersebut itu engkau ketahuilah hidup(hayat) Nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Hayat (hidup) Tuhan dan tahu Nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat ilmu Tuhan dan kuasa Nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Qudrat Tuhan dan berkehendak Nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Iradat Tuhan dan mendengar nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Sama’ Tuhan dan melihat Nyawa itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Bashar Tuhan, berkata-kata Nyawa itulah itulah tempat menzahirkan bayangan dari sifat Qalam Tuhan dan nyatalah sifat yang tujuh itu pada diri kita yang bathin itu seperti nyatalah sifat diri kita yang Bathin dan diri yang Bathin itu sepertilah pada diri kita yang Zahir ini, maka engkau ketahuilah dan engkau kenalilah bahawa diri kita yang Bathin itulah Nyawa kita tempat nyata bayangan Sifat Tuhan dan diri kita yang Zahir ini tempat nyata Sifat diri kita yang Bathin.
Maka janganlah engkau cari Tuhan mu itu ditempat yang lain selain pada diri kamu itu sebab sangat nyata dan engkau dapat merasai sendiri dengan rohanimu kerana sekelian alam ini seperti keadaan engkau jua, tetapi penyataan akan Tuhan mu itu pada diri kamu itu terlebih-lebih nyata daripada yang lain kerana manusia itu tempat himpunan (jamiyah) menerima dan menzahir Sifat-Nya dan Asma’-Nya dan Af’al-Nya.
Sifat pun Sifat Zat, Asma pun Asma Zat dan Af’al pun Af’al Zat. Qadim keempat-empat itu Sa pada pihak tanzal dan taqrop inilah rahsia orang yang mengenal diri yakni kenal diri yang Zahir dan diri yang Bathin itu tiada mempunyai wujud pada haqiqatnya segala sifat yang tersebut itu sekali-kali melainkan sebagai mazhar yakni shurah pada menjadi tempat bagi menghantarkan kepadanya segala kehendak-Nya, maka jadilah terhasilnya ma’rifat kita pada tiga martabat. Pertama-tamanya kenal diri yang Zahir dan kedua kenal diri yang Bathin dan ketiga kenal akan Tuhannya. Maka apabila sudah engkau fahami segala yang tersebut itu, melainkan hendaklah engkau mengEsakan dan mengShahadah kan dan Mujahadah dan Markibah dan Mengabalah dengan Tuhan mu itu pada diri kamu itu.
Permulaan nyata pada kita melainkan hendaklah kita senantiasa hadir hati(banyak ingat) kita kepada Tuhan kita itu jangan sekali-kali lalai ketika duduk dan berjalan dan gerak dan diam kita dan barang bagaimana pun. Maka segala yang tersebut itu seperti berlaku di atas kitanya itu semuanya perintah Tuhan diatas hambanya.
Maka perintah itu adakalanya baik dan adakalanya kelihatan buruk dan ada kala nikmat dan adakalanya merupakan rahmat, maka ketika jatuh perintah-Nya itu diatas hambanya, melainkan wajiblah diatas hamba itu membayar hak-Nya.
Tatkala datangnya nikmat Allah pada kita melainkan wajiblah membayar hak-Nya dengan segera atas anugerah daripada-Nya. Maka apabila datang bala diatas kita maka hendaklah kita pandang dengan haqiqat bahawa bala itu daripada-Nya jua. Maka wajiblah keatas kita membayar hak-Nya dengan sabar dan redha serta taat, maka tatkala datang kebajikan diatas kita maka kita pandanglah kebajikan itu daripada-Nya jua, maka wajiblah diatas kita membayar hak-Nya dengan segera akan segala anugerah-Nya.
Maka tatkala datang kejahatan maksiat diatas kita maka kita pandang dengan mata hati kita bahawa Dia jua yang menjadikan maksiat itu diatas hambanya melainkan wajiblah keatas kita membayar hak-Nya dengan banyak-banyak beristighfar Astaghafirul Allah Alazhim dan bertaubat serta kita minta ampun kepada-Nya dan kita minta berlindung kepada-Nya jua kerana Dia jua yang menjadikan segala jenis yang tersebut itu dan Dia jua yang akan mengampunkan dosa kita dan Dia jua Tuhan mengasihi akan hamba-Nya, maka jika tiada hal yang demikian itu dimakrifati akan hal tersebut akan kita niscaya sia-sialah hidup kita dalam dunia ini dan akan menyesallah kita didalam akhirat dengan tiada lagi berguna hidupmu kerana sekeliannya itu akan kembali kepada dirimu jua, baik dan jahatnya.
Cpf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan