Selasa, 5 Februari 2019

Fahami jalan kehambaan

Jalan kehambaan dan jalan nafsu (iradat sendiri)

Jalan kehambaan itu jalan yang benar manakala jalan nafsu itu jalan yang sesat

Sebanyak mana usaha yang kamu kerahkan walaupun pada zahirnya tampak baik pada jalan nafsu itu akan membawa kamu kepada sesat jua

Seumpama orang yang menyediakan tenaga, kenderaan serta bekalan untuk menuju ke jalan yang sesat, dia tidak akan sampai ke jalan yang benar

Itulah jalan yang diasaskan oleh Iblis yang akhirnya dilaknat oleh Allah, walaupun asal hidupnya penuh dengan ibadah dan dia beribadah kepada Allah dengan tujuan sendiri selama 220 ribu tahun, tapi dia atas jalan yang salah, sesat akhirnya membawanya kepada laknat kerana jalannya penuh dengan kehendak sendiri iaitu nafsu. Dia merasa layak atas kurniaan Allah lalu membina keakuan sendiri dan kesombongan diri, maka jauhlah dia dari rahmat Allah

Berbeza dengan jalan kehambaan iaitu jalan Rasulullah, para rasul, Anbiya', para Sahabat, para auliya, para solih. Mereka beribadah semata-mata kerana Allah dengan penuh rasa kehambaan, rasa tak layak atas kurniaan, rasa diri banyak kekurangan dan kelemahan. Mereka beribadah bukan kerana tujuan dan habuan sendiri tetapi hanya kerana Allah semata-mata.

Telah berkata Al Arifbillah, Sidi Ahsan Al Ba'qili Al Hadani Al Maghribi Attijani,
كما خلقك الله من غير غرض
فاعبده من غير غرض
Sebagaimana Allah menciptakan kamu tanpa tujuan, maka sembahlah Allah tanpa tujuan.

Dan ketahuilah bahawa tujuan serta Allah itu sampah iblis, selama mana ada tujuan dalam ibadahmu selama itulah sampah iblis seumpama lalat akan tetap ada selama mana ada sampah, maka iblis yang ada pada dirimu akan mendorong kamu kepada keburukan walaupun pada zahir manusia kamu berbuat kebaikan.

Maka betulkanlah perjalananmu pada jalan kehambaan, jalan keselamatan, jalan yang lurus bebas dari belenggu nafsu dan syaitan. Perkemaskanlah amalmu dengan tiada memandang kepada hebatnya amalmu tapi  pandanglah kepada kurniaan Allah semata-mata yang mengizin, menggerakkan dan memudahkan kamu untuk beramal kepadaNya. Semoga Allah menerima kita semua sebagai hambaNya walaupun kita penuh dengan kesalahan, kekurangan, kehinaan di hadapan hadratNya Yang Maha Mulia.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

Tiada ulasan:

Catat Ulasan