Rabu, 20 Februari 2019

SYURGA

*SYURGA*

"Akhirnya di hari akhirat nanti, di manakah Allah akan menempatkan manusia-manusia yang beriman jika tidak di dalam syurgaNya?" Demikianlah pertanyaan seorang Guru Mursyid ketika saya berkuliah di sebuah madrasah pada masa zaman remaja dahulu.

Bagi fahaman di kalangan orang syariat, syurga bermaksud tempat menikmati kesenangan abadi daripada balasan amal ibadat semasa hidup di fasa dunia yang fana. Kesenangan nikmat itu seperti mempunyai isteri-isteri bidadari, makan-minum yang lazat-lazat, memiliki kebun-kebun dan sungai-sungai mengalir yang perairannya berbagai jenis iaitu susu, madu dan arak. Namun bagi kalangan Arif  Billah, syurga mempunyai makna yang lebih luas lagi, tidak semestinya tempat yang bernama syurga itu penuh dengan segala nikmat yang berupa kebendaan.

Ada para ulama mengatakan syurga itu mempunyai 8 tingkatan yang berbeda jenisnya. Ada pula yang mengatakan 7 tingkatan. Di antara nama-nama syurga yang di antaranya tersebut di dalam kitab suci Al-Quran dan Hadis ialah:

1. Syurga Maqam Al-Mahmud
2. Syurga Illiyiin
3. Syurga Firdaus
4. Syurga Aden
5. Syurga Naim
6. Syurga Ma'wa
7. Syurga Darussalam

Para ulama sufi mempunyai huraian yang mendalam mengenai syurga-syurga yang tersebut sebagaimana yang terungkap dalam Kitab Insan Al-Kamil karya Sheikh Abdul Karim Al-Jili.

•Syurga Darussalam adalah syurga selamat datang bagi mengalu-alukan kedatangan para penghuni syurga.

•Syurga Darul Ma'wa adalah syurga yang dimasuki oleh para penghuni yang bukan kerana sesuatu sebab atau alasan kebaikan seperti balasan pahala amal yang dilakukan. Tiada sesiapa pun yang mengerti, mengapa Allah menyediakan syurga ini untuk para penghuninya kecuali Allah sahaja yang amat mengetahuinya.

•Syurga Naim adalah syurga yang tersedia segala macam kenikmatan yang merupakan nikmat kebendaan sesuai dengan keinginan makhluk-makhluk manusia dan jin. Syurga ini disediakan bagi mereka yang pernah membuat amal kebaikan semasa hidup di dunia. Justru itu, Allah telah berjanji untuk membalas amal kebaikan mereka itu dengan balasan pahala yang merupakan anugerah syurga.

•Syurga Aden adalah syurga yang terbuka luas pintu-pintunya. Para penghuninya boleh memasuki ke dalam syurga ini melalui pintu-pintu yang mana mereka sukai. Syurga ini disediakan terutamanya untuk isteri-isteri yang taat kepada suaminya dan menjaga kehormatan dirinya semasa si suami tiada di sisi mereka sejak hidup berpasangan di dunia lagi. Namun tidak pula terdapat ramai wanita yang bergelar isteri yang mampu memiliki syurga ini kerana ada hadis mengatakan bahwa penghuni neraka itu kebanyakannya adalah para isteri yang menderhaka pada suami, selingkuh dan suka menceritakan keburukan tentang peribadi suaminya pada orang lain. Di akhir zaman ini, betapa banyak hal seperti ini yang tidak sepatutnya terjadi, si isteri sering memperagakan wajah kecantikannya di media sosial ketika si suami tiada di sisinya atau tiada di rumah.

•Syurga Firdaus disediakan khas hanya untuk mereka yang rindu hendak berjumpa dengan Allah. Arif Billah mengata bahwa inilah syurga orang-orang makrifat. Di dalamnya tidak ada apa-apa nikmat yang berupa kebendaan, tidak ada para bidadari, kebun-kebun menghijau dan sungai-sungai mengalir kecuali para penghuninya dapat nikmat memandang Wajah Allah Azzawajalla. Syurga ini lebih luas daripada syurga-syurga lain yang dihuraikan tadi. Syurga ini juga dikatakan syurga yang kekal abadi. Sesiapa yang memasuki syurga ini tidak mahu berpindah lagi ke syurga-syurga yang lain. Justeru itu, untuk memasuki syurga ini seseorang itu harus menghapuskan segala perkara yang menjadi syirik, terutama syirik dalam beribadah yakni tidak boleh menduakan Allah dengan segala sesuatu hatta mengharapkan balasan pahala sekali pun. Maka itu di kalangan ahli sufi Arif Billah tidak pernah bercita-cita untuk mendapatkan syurga yang penuh segala nikmat kebendaan ini. Mereka hanya mahukan Allah sahaja. Mereka menafikan beribadah kepada Allah itu dari daya dan usaha mereka sendiri. Bagi mereka pelaku sebenar yang beribadah adalah Allah. Lamaujud illallah. Lahaula wala quwata illa billah.

•Syurga Illiyiin ialah syurga dimana menjadi tempat berhimpunnya ruh-ruh yang mulia seperti ruh-ruh orang-orang sholeh, para wali Allah, Nabi-nabi dan Rasul-Rasul. Di sinilah ruh-ruh yang mulia itu dapat melihat khazanah kitab-kitab yang mencatatkan amal kebaikan mereka. Syurga ini dikatakan juga sebagai Langit Ke7 yang berhampiran dengan Sidratul Muntaha.

•Syurga Maqam Al-Mahmud adalah syurga hanya disediakan istimewa untuk KekasihNya Nabi Muhammad saw. Lantai syurga ini di bawahnya adalah Syurga Firdaus. Tidak ada sesiapa pun yang layak untuk memiliki syurga ini kecuali Nabi Muhammad saw. Namun demikian, umatnya yang rindu hendak bertemu dengan Nabi Muhammad saw dapat bertemu Baginda saw di dalam syurga ini sebagai tetamu istimewa Baginda saw. Insya-Allahu ta'ala minal aminin.

Wallahualam bissawab

Tulisan asal dan Salam Kasih
🌺 H.B. Johar
5 januari 2019

Tiada ulasan:

Catat Ulasan