Umar Ibn al-Khattab r.a pernah berkata :
"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang Alim Pada Lisan Tetapi Jahil Pada Hati."
Ini bukanlah ciri-cirinya Pewaris Para Nabi !
Kerana pada Hakikatnya Pewaris Para Nabi itu akan memiliki Sifat Zuhud yang tinggi terhadap duniawi, pandangan utamanya hanyalah Akhirat semata-mata, Ikhlas didalam menyampaikan Amanah Ilmu dan sangat-sangatlah Bertaqwa.
Insan-Insan yang telahpun memiliki ILMU YANG BERMANFAAT, maka ia tidak akan sesekali memiliki sifat ;
Riak, bongkak atau sombong, takkabur, tidak suka mencaci hina atau memandang rendah akan orang-orang lain, sentiasa berlapang dada, mudah diajak berbincang juga bertukar pendapat dan tidak cepat melatah.
Sahl Ibn Abdullah r.a pernah berkata :
"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan Agama kecuali setelah berbincang dengan Ulama. Maka kesudahannya akan dipuji disisi Allah SWT."
Abu Muhammad r.a pernah ditanya :
"Wahai Abu Muhammad ! Siapakah Ulama ?"
Jawabnya : "Orang-orang yang mengutamakan Akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri."
Saidina Umar Ibn al-Khattab r.a pernah Mewasiatkan :
"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah."
Al-Wasiti r.a pernah berkata :
"Manusia yang paling Pengasih ialah Ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajarkan oleh Allah SWT."
Banyaknya ayat-ayat dan hadis-hadis yang menyebutkan tentangnya Kemuliaan ILMU atau ULAMA YANG HAQ...
Rasullullah SAW pernah bersabda :
"Penuntut Ilmu dijamin oleh Allah Rezekinya."
Disebutkan juga, bahawa ILMU YANG BERMANFAAT itu ialah Ilmu yang akan membantu para pemiliknya untuk Mentaati Allah SWT, dan berdiri diatas Landasan Kebenaran-Nya.
Sebahagian Salaf berkata :
"Sesiapa yang bertambah Ilmunya, maka bertambah jugalah Kekhusyukannya (Kerendahan Hatinya)."
Seorang lelaki telah bertanya kepada Sheikh Junaid al-Baghdadi r.a :
"Apakah Ilmu yang paling berguna ?"
Jawabnya :
"Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menuruti Hawa Nafsu."
Beliau (Syeikh Junaid) berkata lagi :
"Ilmu Yang Bermanfaat itu ialah Ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat ;
Tawaduk, sentiasa Bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada didunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama-sama golongan Fuqara, Memuliakan Kekasih-Kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.
Apabila orang-orang Alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya. Maka dia akan Lalai daripada Akhirat dan Ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia."
Allah SWT berfirman yang maksudnya :
"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari Akhirat."
(QS. al-Rum : 7)
Rasulullah SAW bersabda :
"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan Akhiratnya dan siapa yang kasihkan Akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang Kekal (Akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)."
(Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim)
ILMU YANG BERMANFAAT ITU IALAH ILMU YANG DIAMALKANNYA...
Para Ulama terdahulu telah mengumpamakan orang-orang yang banyak menghabiskan waktunya hanya untuk menuntut Ilmu sahaja.
Yang duduk selama 40 tahun atau 50 tahun hanya dengan Belajar tanpanya Beramal.
Ianya sepertimana orang-orang yang asyik Bersuci selama waktu itu sahaja dan sentiasa memperbaharui akan Wuduknya, namun ianya tidak Solat walaupun satu Raka'at.
Ini kerana, Maksud ataupun Tujuan sesuatu Ilmu itu pada Hakikatnya adalah untuk Beramal dengannya.
Sebagaimana pula tujuannya Berwuduk adalah untuk melakukan Solat.
Berkatalah sebahagian Para Ulama terdahulu :
"Kalaulah Ilmu tanpa Taqwa itu penentu suatu Kemuliaan, nescaya semulia-mulianya makhluk Allah ialah Iblis."
Ilmu itu hanyalah sebagai Alat sahaja, maka janganlah sekadar :
"ALIM DI AKAL, TETAPI JAHIL DI HATI..."
Bermaksudnya :
Jadikanlah Ilmu itu adalah sebagai Alat bagi 'Membentuk Jiwa Rohani' yang Syuhud MENYAKSIKAN ALLAH SWT.
Sehinggalah Hati dapat MENYAKSIKAN KE-ESA-AN dan KEWUJUDAN ALLAH SWT yang NYATA pada setiap Martabat Wujud.
Sehinggakan ianya akan Berakhlak dengan Allah SWT disetiap Gerak dan Diamnya.
Jikalau Ilmu tersebut tidak menjadi asbab, maka seseorang itu tidak akan dapat Membersihkan Hatinya dengan segala Amalan-Amalan Kerohanian, agar Hatinya itu sentiasa Mikraj bersama-sama Allah SWT.
Jikalau Ilmu itu masih sebagai Alat yang tidak dapat mengubah Jiwa Rohaninya.
Maka itu akan menyebabkan Hatinya tetap tidak dapat MENYAKSIKAN ALLAH SWT.
Pada Hakikatnya, Hatinya itu tetaplah Jahil !
"Ilmu itu hendaklah Diamalkannya dengan bersungguh-sungguh sehinggalah ia sebati menjadi Darah Daging..." - Syeh Haqtullah.
Daripada Aisyah r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda :
“Amalan yang paling Dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”
(HR. Bukhari)
al-Imam al-Ghazali rahmatullah alaih berkata :
"Orang yang tidak Berilmu mendapat seksaan, orang yang Berilmu tanpa Amalan juga menerima seksaan, orang yang Beramal tanpa Keikhlasan turut diseksa."
al-Imam al-Ghazali rahmatullah alaih berkata :
”Ilmu tanpa Amal adalah gila, dan Amal tanpa Ilmu tiada nilainya."
cpf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan