بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ إهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين
Maka telah mensyarahkan kepada kami oleh Murobbina Al Arifbillah Sayidi Ahmad Al Hadi Al Hasani Al Maghribi At Tijaniy Hafizahullahu Ta'ala pada perkara diatas;
Maka ketahuilah semua bahawa, satu kebesaran bagi ahli Selawat Al Fatih itu adalah, mereka menggunakan Selawat Allah itu secara terus, tanpa ada perantaraan lain. Dan dari sebab itulah kita mengatakan bahawa Selawat Al Fatih itu telah mencukupi daripada segala selawat-selawat yang lain, kerana itulah Selawat Allah ke atas Nabi-Nya.
Dan dari sebab itu jugalah, kita mesti menjaga, tidak boleh menambah atau tidak boleh menukar sesuatu apapun dari selawat ini semata-mata kerana ingin meraikan orang lain.
Ingin dimaklumkan bahawa ramai para ulama datang kepada saya dan bertanya, “Ya Sidi, sebab apa tidak ada Wasahbihi? Sebab apa tidak ada Wasallimu Taslima?”.
Saya menjawab, “Itu permata Ilahi, keluar dari hadrah Allah dengan sedemikian”. Tidak ada Wasallimu Taslima kerana hanya Allah sahaja yang berselawat ke atas Nabi-Nya, jadi tidak ada Wasallim. Wasallim itu adalah perintah amal kepada orang-orang Ya Aiyuhallazi Na-amanu Sollu, dan Sallimu itu Allah berselawat sahaja.
Pada persoalan yang lain pula, mengapakah tidak ada perkataan Wasahbihi? Adakah selawat ini berasal dari Syiah? Mengapakah tidak disebutkan sahabat?
Jawaban kita, Alhamdulillah dari sudut syariat, sememangnya Nabi ﷺ tidak mewajibkan atas kita untuk berselawat ke atas sahabatnya. Maksud sabdaan Nabi ﷺ, “Janganlah berselawat keatasku dengan selawat Batra’” yakni selawat yang terputus. “Apakah ya Rasulullah selawat yang terputus?”. Nabi ﷺ menjawab, “Kamu menyebut Allahumma Solli ‘ala Muhammadin Wasallim tanpa menyebut Aali Muhammadin, itulah terputus”. Yakni penambahan Aali tanpa Wasahbihi.
Adapun pada penambahan kalimah Sahbih itu adalah ianya daripada amalan para Tabien dan para Salaf. Penambahan Sahbih atau memasukan perkataan sahabat dalam lafaz selawat itu adalah dari sudut menjaga adab dengan para sahabat.
Adapun Nabi ﷺ itu apabila menyuruh menambahkan kalimah Wa-aalihi bukanlah bermaksud Aalihi itu yakni Fatimah dan Hassan dan Hussein dan Ali. Aalihi di sini membawa maksud saudaranya akan cara jasmani dan cara rohani. Itulah maksud Aalihi. Aalihi disini merangkumi ianya dari kalangan Rasulullah ﷺ, jemaah Rasulullah ﷺ, ahlilbait, sahabat, cucu, keturunan, mereka itu semua adalah Aalihi.
Maka itu, Selawat Al Fatih ini adalah ianya Selawat Irfaniah, iaitulah selawat bangsa-bangsa makrifat. وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ - Aalihi itu kembali kepada apakah yang keluar daripada cahaya Nabi ﷺ itu, yakni seluruh alam.
Adapun sebenarnya apabila kita membaca akan selawat itu, secara tidak langsungnya pada Aailhi itu, kita telah menyebut akan seluruh alam ini, yakni pada pokok yang telah tumbuh daripada benihnya hakikat Nabi ﷺ. Maka inilah yang dikatakan alam semuanya, termasuklah perkara yang tidak elok kerana perkara yang tidak elok itu juga adalah alam.
Perumpamaannya adalah seperti pokok yang berbuah. Pokok tersebut mempunyai buah yang wangi, sedap dan manis. Tetapi dalam masa yang sama juga pokok tersebut mempunyai buah yang rosak, dah berulat, busuk dan pahit. Akan tetapi adakah buah yang busuk dan rosak itu dinafikan nisbahnya kepada pokok tersebut? Tentu tidak sama sekali, kerana ianya telah maklum bahawa buah itu adalah kepunyaan atau datangnya dari pokok tersebut. Jadi, ini adalah misalannya.
Justeru itu, bahawasanya apa yang keluar dari pokok alam ini, memang semuanya akan kembali kepada hakikat Rasulullah ﷺ, samada yang elok atau yang tidak elok. Syaitan dengan Malaikat, Kafir dengan Muslim - semuanya adalah tumbuh dan keluar, dan dijadikan dari Nur Nabi ﷺ yang pertama, yang mana ianya adalah ibu dan asal kepada seluruh alam.
Maka dari sudut ini, dan melalui pandangan ini, dengan sebab itulah kita melihat orang sufi itu sangat hormat, membesarkan alam secara keseluruhan, dalam diri dan dalam hati. Kerana, itu adalah bab pandangan daripada sudut hakikat dan makrifat.
Disisi syariatnya, kita memerangi orang kafir dan membenci orang kafir - itu adalah syariat. Tetapi, dalam diri kita, batin kita, orang sufi itu tidak boleh membenci sesuatu apapun di dalam alam ini. Membenci sesuatu itu akan menyebabkan terlupusnya akan makrifah. Itulah yang kita panggil sebagai Wehdah Wujud, yakni wujud ini adalah satu, adalah kesemuanya kembali kepada hakikat Rasulullah ﷺ jua.
Bolehkah membenci sesuatu? Adapun membenci akan sesuatu itu membawa padanya akan maksud benci kepada punca asalnya yakni Rasulullah ﷺ jua.Maka adalah pada yang demikian itu, membenci sesuatu daripada alam ini, maknanya adalah membenci jua kepada Baginda ﷺ yang adalah ianya asal kepada seluruh alam, secara keseluruhan dan secara perincian (secara terperincinya).
Dan daripada itu jualah, maka kita telah mempernamakan keibuan Rasulullah ﷺ atau kebapaan Rasulullah ﷺ itu kepada alam ini. Maka daripada itu jualah, Aali itu adalah kebapaan Rasulullah ﷺ itu kepada seluruh makhluk.
Dan tambahan lagi, adalah Nabi ﷺ itu tidak suka kepada orang yang menyakiti akan anak-anaknya. Apakah anak-anaknya itu? Adapun yang lahir dari Nur Nabi ﷺ yang pertama itu, semuanya adalah Aali nya, keseluruhan makhluk (adalah anak-anak Baginda ﷺ), bukan Hassan dan Hussein sahaja.
Hassan dan Hussein itu adalah bangsa syariat. Hassan dan Hussein itu adalah dari keturunannya Muhammad dari bangsa tanah, yang bernama Muhammad Ibni Abdillah Ibni Hashimi Al Makki Al Quraisyi.
# Petikan Syarahan Selawat Al Fatih
Semoga Allahﷻ melimpahkan RahmatNya dan BarakahNya keatas Murobbina Sayidi Ahmad Al Hadi Hafizahullahu Ta’ala dan menempatkan beliau dikalangan orang-orang yang terpuji bersama kekasihNya Sayidina Muhammad ﷺ.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۞ سُبحَانَ رَبِّكَ رَبِّ اْلعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ ۞ وَسَلامٌ عَلَى اْلُمرْسَلِيْنَ ۞ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ۞
cpf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan