Sabtu, 9 Mac 2024

Menagih Rahmat Ilahi

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩

Mohon maaf Ustz, sebab lewat nak bagi respon. Semalam saya memang agak banyak urusan hingga ke malam. 

Jadi, saya nyatakan jawapan ini sebagai MENSEPAKATI HIMMAH SEORANG SYEIKH.

Saya mulakan jawapan ini dengan kalam Murobbina; 

Maka, jika amat berkeinginanlah nafsu itu (untuk berada di jalan Allah) dengan mendapat redha Allah, maka Allah Ta’ala itu adalah disisi himmah hamba itu yang mendapat keizinan dari Allah. 

Iradah Allah, pertolongan Allah, adalah (beserta) dengan himmah hambaNya yang diizinkan. Bukan semua himmah-himmah orang yang ada izin (yakni bukan semua orang yang ada himmah adalah Allah turut beserta dengan himmahnya itu) . 

Himmah orang yang ada izin (yang mendapat izin Allah), himmah itu adalah himmah Tuhan, bukanlah himmah dirinya sendiri, sebab himmah yang ada izin (izin Allah) maka Allah turut serta dengan himmah orang itu, (Oleh itu, himmah Tuhan) bukan turut serta dengan mana-mana manusia kerana sesungguhnya himmah itu disisiNya (yakni himmah yang ada izin itu adalah himmah Allah). 

Pada himmah hamba yang beserta dengan izin Allah, maka setiap jawarihnya (pergerakan anggotanya) adalah dengan izin Allah. Segalanya yang dibuat (oleh jawarihnya), bukanlah dibuat dengan sendiri, tetapi dengan kehendak ilahi, digerakkan oleh Allah, dibawah iradah Allah, seumpama orang yang mati (sebab orang yang mati, jawarihnya bukanlah dibawah pentabiran dirinya, dia tidak ada kuasa langsung atas jawarihnya), (bahkan hamba itu) tidak ada keakuan langsung. 

Dan daripada itu juga, hal keadaan yang dapat menenggelamkan akan kita, dan mereka semua di dalam lautan-lautan, rahsia-rahsia Hakikat Muhammaddiah sepanjang zaman.

Bahawasanya Makrifah akan rahsia-rahsia Hakikat dan menyelam di dalam lautan cahaya-cahayanya, bukanlah dengan getaran bibir dan pergerakan lidah, dan hanyasanya sesungguhnya untuk mendapatkan Rahsia Makrifah itu dengan cara bersuhbah, berdamping dengan pimpinan Ahli Irfan Al Aarifin, yang disingkap dari rahsia-rahsia mereka, dan roh-roh mereka, setiap hijab-hijab, dan setiap kabus, sehinggalah mereka itu dipandang daripada Penghulu Ciptaan ini dengan cara Musyahadah dan dengan cara Muayanah. 

Adapun perkara yang memutuskan seseorang itu daripada rahsia perjalanan ini adalah melalui diantaranya usikan-usikan syaitan, seperti memalingkan akan himmah seseorang itu untuk mendapatkan sir, mencari sir, rahsia dan martabat, dan juga untuk menarik manfaat dan menolak akan mudharat, dan juga untuk menundukkan akan Jin Rohani dan juga segala jenis jin. 

Itulah himmah seorang murid yang tidak sepakat dengan himmah seorang Syeikh. Dan himmah seorang murid beginilah yang menjadi perkara yang memutuskan, yang akan menghalang akan seseorang murid itu untuk sampai dan masuk ke dalam hakikat-hakikat rahsia suluk kesufian.

Bahawasanya telah mensyarahkan Murobbina Sayidi Ahmad Al Hadi Hafizahullahu Ta’ala akan maksud hadis qudsi; 

“Maka apabila Aku mencintainya, Akulah baginya pendengaran, penglihatan, tangan, dan menguatkannya dengan bantuan. Jika dia memohon kepada Ku, maka Akulah yang akan mengurniakan kepadanya”. 

Ini adalah hadis Qudsi yang mempunyai isyarah (ditujukan) kepada orang Robbani, yang mana Himmahnya telah menjadi Himmah Tuhan. Jawarihnya (anggota badannya) bergerak dengan kehendak Allah. Oleh itu, secara majazinya, boleh dikatakan “Sesungguhnya orang yang membai’ah kamu, sesungguhnya mereka itu membai’ah akan Allahﷻ” - jadi, tangan itu (yang membai’ah itu) adalah tangan Nabiﷺ yang membai’ah (para) sahabah itu. (Dinamakan juga sebagai) Tangan Na’ibah, (yakni) tangan ganti yang telah suci bersih dari sebarang keakuan dan pentadbiran-pentadbiran sendiri (yakni orang yang membai’ah itu jawarihnya telah suci dan bersih atau dipanggil Mahfuz). 

Jadi, tangan itu (tangan yang membai’ah itu) bukanlah tangan manusia biasa, (tangan) ini (adalah kepunyaan) orang yang (telah) sempurna (zahir, batin dan rohnya), anggota dia telah menjadi izin ilahi, bukan dengan kehendaknya sendiri, semuanya (adalah) dengan izin ilahi. 

Bagaimana (seseorang itu) nak (atau boleh) sampai ketahap ini? (Yakni hendaklah seseorang itu) Dengan menjaga jawarihnya sehingga Allahﷻ akan menyampaikan kamu kepada apa yang sampai (ketahap) orang yang sempurna. 

Jadi, anggota dia (orang Robbani) langsung tidak ada pentadbiran sendiri. Matanya, telinganya, hatinya, tangannya, kakinya dan semua (jawarihnya) bergerak bukan dengan izin (Allahﷻ) sahaja, bahkan lebih daripada izin (yang dibenarkan) kerana Allahﷻ yang menggerakkannya (mentadbir jawarihnya). 

Maksudnya, orang tersebut (orang yang sempurna tersebut) macam orang mati, tidak ada keakuan langsung, tidak ada iradat langsung. (Justeru itu) bila kita keluar daripada keakuan diri sendiri (dan masuk/berpindah) kepada keakuan ilahi, barulah kita akan jadi orang Robbani. Itu maksudnya (hadis Qudsi di atas), tetapi awal (usaha untuk menjadi orang Robbani) mestilah kita menjaga jawarih. 

Jalan untuk sampai kemartabat itu (martabat orang Robbani) adalah (dengan) meninggalkan perkara yang sia-sia. Itulah jalan asas untuk meniti jalan Allahﷻ. Keelokan (kebaikan-kebaikan) dalam islam itu adalah dengan meninggalkan (semua) perkara yang sia-sia, yang tidak dikehendaki, yang tidak ada makna. Jadi tinggalkanlah perkara yang sia-sia.    

Inilah himmah sebenar seorang murid yakni mensepakati himmahnya dengan himmah Syeikhnya.

Dan telah berkata Sidi Bakri Al Faasi pada orang yang terpedaya dengan himmahnya tanpa mensepakati akan himmah Syeikhnya, bahawa maksud GHURUR (terpedaya) ialah pegangan/iktikad atas sesuatu perkara menyalahi hakikat sebenar. Sesungguhnya orang yang terpedaya ialah orang yang meyakini bahawa pembukaan yang dia perolehi adalah berdasarkan khasiat, umpamanya zikir. 

Maka dia akan mengerahkan keseluruhan himmahnya dan umurnya untuk tujuan seumpama yang tersebut, dan menyangka amalannya itu adalah ibadah terhadap Tuhannya, dan mengira dirinya daripada kalangan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah SWT dan dia berlazat-lazat dengan zikir-zikir tersebut pada keseluruhan waktu-waktunya. 

Apabila semakin bertambahnya amalannya maka semakin jauh dirinya daripada hadrah Tuannya kerana sesungguhnya dia telah menebalkan hijab dirinya dengan himmah dan niatnya. 

Wallahu a'lam.. 
Maafkan saya Ustz sekiranya ada kekhilafan..

#Nukilan sidi Nazrul Attijani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan