اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩
Syekh Ahmad Tijani (Pendiri Tarekat Tijaniy) mengembangkan tradisi sufisme yang tidak mengabaikan urusan duniawi. Beliau mempunyai pandangan positif terhadap dunia sehingga mendorong dinamika umat untuk kepentingan masyarakat yang meluas. Justeru itu, tidaklah menghairankan, walaupun ianya baru muncul pada abad ke-18, Tarekat Tijaniyyah telah berkembang dengan begitu pantas dan tersebar luas ke seluruh belahan dunia Islam.
Model tasawuf yang dikembangkan oleh Syeikh Ahmad Tijani tersebut dikategorikan oleh intelektual Muslim asal Pakistan, Fazlur Rahman , sebagai 'neosufisme', iaitu sufisme yang tidak hanya terfokus dalam urusan ukhrawi sahaja, namun ianya juga seimbang, mengambil berat pada urusan duniawi. Model tasawuf ini terdahulunya telah dicetuskan oleh Abu Hamid Al-Ghazali pada abad ke-11 Masehi. Al-Ghazali berhasil menyatukan antara sufisme dan syariat sehinggakan kaum sufi dan ulama syariat yang sebelumnya sering berselisih faham menjadi lebih akrab.
Dalam waktu yang singkat, Tarekat Tijaniyyah telah mula tersebar kepelbagai wilayah di dunia. Dari Maghribi ianya tersebar kepelbagai wilayah di Benua Afrika, antara lainnya di Tunisia, Libya, Sudan, Mesir, Nigeria, Guinea, Senegal, Afrika Selatan, Ghana, Mauritania, Mali, Cote d’Ivoire, dan Burkina Faso.
Xavier Coppolani dalam tulisannya yang bertajuk ''Les Confreries Religieuses Musulmans'' menyatakan, para pengikut Tarekat Tijaniyyah mensyiarkan Islam di kalangan pemeluk animisme, dengan persaudaraan-persaudaraan sufi dan senantiasa berada digarisan hadapan dalam melakukan penentangan terhadap perkembangan penjajahan. Maka tidak hairanlah ianya mendapat sambutan yang begitu hebat dikalangan penduduk benua Afrika yang terjajah.
Tidak berhenti di Benua Afrika sahaja, tarekat ini juga telah tersebar sehingga ke Benua Eropah, terutamanya di Albania dan Turki. Di Asia Tenggara, tarekat ini telah tersebar sehingga ke Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Tidak ketinggalan juga tarekat ini telah mula bertapak di Amerika Syarikat.
Salah satu negara di Benua Afrika yang menyambut baik kehadiran Tarekat Tijaniyyah adalah Senegal. Tiga puluh peratus umat Islam di negara itu merupakan ahli jamaah kepada tarekat ini. Pada abad ke-19, Tarekat Tijaniyyah telah dibawa ke Senegal oleh Syeikh Al-Hajj Umar Bin Sa'id Al-Futi Al-Turi (1796-1864), yang lebih dikenali dengan nama Hajj Umar Tal. Beliau telah mengarang Kitab Rimah Hizb al-Rahim ‘ala Nuhur Hizb al-Rajim. Menurut Zakariya Wright , kitab tersebut merupakan kitab terpenting kedua setelah Kitab Jawahir al-Ma'ani karya Syekh Ahmad Tijani.
Penyebaran Tarekat Tijaniyyah di kawasan benua Amerika pula telah dipelopori oleh para murid Syeikh Hassan Cisse, yang merupakan cucu kepada ulama Tarekat Tijaniyyah Senegal yang terkenal, Abdoulaye Niass (1840-1922). Murid-murid Syeikh Hassan Cisse kemudiannya mendirikan sebuah organisasi yang dinamakan sebagai “The African American Islamic Institute” sebagai sebuah NGO yang berfungsi untuk memelihara kesatuan dan kepentingan ummat islam Afrika di Amerika.
Dalam masa yang sama juga, perkembangan Tarekat Tijaniyyah yang dikatakan cukup fenomena telah berlaku di Negara Albania. Di tengah-tengah penindasan dan ancaman kekuasaan rejim komunis setelah perang dunia ke-2, Tarekat ini masih lagi dapat bertahan. Setelah era komunis berakhir pada tahun 1990, jemaah Tarekat Tijaniyyah telah kembali bangkit bergiat cergas. Pada masa itu, pemimpin Tarekat Tijaniyyah di Albania adalah Syeikh Faik Hoja. Ulama yang membawa dan mengembangkan Tarekat Tijaniyyah di Albania adalah Syeikh Haji Shah Muhammad Shaban Efendi Domnori (1868-1934). Syeikh Shaban dikenal sebagai seorang ulama Tauhid dan Tasawuf di kalangan ulama dan para imam di Kota Shkodra di Albania Utara.
Di Asia Tenggara pula, Tarekat Tijaniyyah telah dibawa masuk ke Indonesia pada kira-kira tahun 1920-an oleh seorang ulama kelahiran Makkah, Sheikh Ali Bin Abdullah At-Tayyib Al-Azhari. Awal perkembangannya di Indonesia mendapat tentangan dari tarekat-tarekat lain yang terlebih dahulu telah bertapak seperti Naqsyabandiah, Qadiriyah, Syattariah, Syaziliah, dan Khalwatiah. Meskipun demikian, di beberapa tempat, Tarekat ini terus berkembang, utamanya di Cirebon dan Garut (Jawa Barat), Madura, dan hujung Timur Pulau Jawa.
Perselisihan itu reda setelah Muktamar Jam'iyyah Nahdatul Ulama ke III tahun 1928 di Surabaya yang telah memutuskan bahawa Tarekat Tijaniyyah adalah Muktabarah (diperakui secara absah). Keputusan tersebut telah diperkuatkan kembali di dalam Muktamar NU ke VI pada tahun 1931 di Cirebon, bahawa Tarekat Tijaniyyah termasuk di dalam kategori tarekat yang muktabarah.
Jumlah keahlian tarekat ini di Indonesia adalah sekitar sepuluh juta orang dan sekitar empat puluh peratus dari mereka adalah terdiri daripada kalangan Kiyai dan pemimpin pondok pesantren yang meliputi 14,657 pesantren.
NOTA: Tulisan ini adalah gabungan pencarian dan dapatan pembacaan saya dibeberapa lamanweb
Cpf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan