Selasa, 6 Jun 2023

JANGAN BERTANGGUH KERANA NAFSU

▪️Menusuk ke qalbu bila dengar Sayyidi bercerita. Tentang kurniaan Allah ﷻ pada siapa yang dikehendakinya, menghadiri majlis ilmu. 
▪️Kata Sayyidi, jika kalian tahu apa yang dibahagikan dalam majlis ilmu sebegini, nescaya kamu akan merangkak mendatangi kami. 
▪️Sayyidi bercerita tentang kisah seorang lelaki. Berasal dari Maghribi, menetap di kota Fes, ibu kota Maghribi. 
▪️Seorang lelaki yang cukup haibah, terkenal, disegani. Kerjanya adalah mutawwif. Berulang alik ke Makkah dan Madinah. Walaupun berkali² menatap kaabah, berkali² memijak tanah haram, berkali² dijemput ke tanah mulia, tapi hati beliau tetap hanya meminta satu perkara dari Allah ﷻ. Doa yang tidak putus². Selalu bermunajat di sisi Kaabah. 
▪️Ya ... doa meminta untuk dipertemukan guru. Seorang rijalullah untuk memimpin rohaninya dalam mengenal Allah ﷻ. Sekian lama berulang alik beliau ke Makkah, hanya itu yang diminta tanpa henti, tanpa putus asa. 
▪️Sehinggalah satu masa, ketika beliau sedang bertawaf haji di Kaabah, tiba² hadir seorang lelaki membisikkan satu kata, satu nama : " Fulan ini adalah guru kamu, berada di Fes". 
▪️Subhanallah, demi sahaja mendengar kata² tersebut, meronta² hati beliau untuk balik ke kota bertemu sang guru. Seolah² sahaja hendak memutuskan haji yang dilakukan. 
▪️Setelah pencarian demi pencarian, bertemu beliau dengan sang guru yang diilhamkan.
▪️Subhanallah! rupanya lelaki yang ditunjuki Allah ﷻ, berada sebegitu dekat dengan beliau. Hanya jiran berpisah pintu di sebelah rumah. 
▪️Bergegas beliau mengetuk pintu rumah, rupanya lelaki yang diisyaratkan tersebut hanyalah insan biasa.
bukan Syeikh, bukan Imam, hanya insan berpakaian biasa, berkerja seperti layaknya orang kampung. Rijalullah! 
▪️Bila bertemu, beliau menangis menciumi tangan si guru meminta supaya dibimbing rohani dalam menuju Maarifatullah. Sekian lama dan sekian jauh aku mencari kamu wahai guru, rupanya kamu hanya berada sebegitu dekat dengan aku.
▪️Wahai guru, ajarkan aku ilmu rahsia Allah ﷻ untuk sampai kepada Allah ﷻ. 
Kata guru tersebut:
"Boleh, dengan satu syarat".
Lelaki tersebut menjawab dengan penuh keyakinan :
"katakan apa sahaja wahai guru, Sesungguhnya aku akan menyanggupi syarat apa sahaja. Hatta jika nyawa diserahkan, aku juga sanggup".
Kata guru : "Baiklah, aku minta kau cukur janggutmu!". 
Terpinga² lelaki tersebut, sambil tersentak menyebut :
" لا حول ولا قوة إلا بالله.
Aku tidak akan mencukur janggutku. Kerana aku adalah seorang yang terkenal. Dihormati aku kerana penampilanku. Haibah aku kerana janggut dan serbanku. nyawa sanggup aku korbankan, tapi tidak sekali² janggutku. Wahai guru, berikan aku waktu untuk berfikir". 
◾️Wallahi.. sahabat, jika sampai pada kamu jemputan ke hadrah Allah ﷻ , jika sampai kepada kamu bukaan untuk menuju Dia (Allah ﷻ): 
▪️jangan menunda².  
▪️Jangan terjebak dengan hawa nafsu yang menginginkan kehendak² duniawi. 
▪️Jangan tertipu dengan bisikan supaya berfikir untuk sekian kalinya. 
▪️Demi Allah ﷻ , tidaklah lama selepas lelaki tersebut meminta tundaan untuk memikirkan suruhan sang guru, berangkatlah sang guru pulang pada Allah ﷻ . 
▪️Dan, terpadamlah catatan nama lelaki tersebut pada tulisan di sisi auliya Allah ﷻ . Sehingga tiada siapa lagi yang dapat membantunya dan menuntunnya dalam ilmu maarifatullah.
Hatta wali² Allah ﷻ yang lain. Alangkah ruginya. 
◾️[ Bila dengar kisah ni, teringat akan sombongnya Azazil untuk sujud pada Nabi Adam a.s. juga teringat tentang Imam AlGhazali rahimullah yang sanggup membuang 'Aku' dalam dirinya. Tunduk pada guru rohani, biarpun ketika itu beliau merupakan imam besar dan imam yang masyhur ] 
◾️Kita?
Adakah kita masih bertangguh², masih berlengah² ?

#Majlis syarah Solawatul Fatih oleh Sayidi Ahmad Alhadi Alhasani hafizahullah 23/3/22

Tiada ulasan:

Catat Ulasan