Sabtu, 10 Jun 2023

TARIKH-TARIKH PENTING DALAM KEHIDUPAN WALI QUTUB AL MAKTUM WA KHOTMUL MUHAMMADI AL MAKLUM AS SYEIKH AHMAD AT TIJANI R.A



اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩ 

Nama sebenar beliau adalah Abu Al-Abbas Ahmad bin Muhammad dan jalur nasab ayahanda beliau adalah Muhammad bin Mukhtar bin Ahmad bin Muhammad Salim bin Al ‘id bin Salim bin Ahmad Al-‘Alwani bin Ahmad bin Ali bin Abdulloh bin Al-Abbas bin Abdul Jabbar bin Idris bin Ishaq bin Ali Zainal Abidin bin Ahmad bin Muhammad An-Nafsiz Zakiyah bin Abdulloh bin Hasan Al-Mutsanna bin Hasan As-Sibthi bin Ali bin Abi Tholib dan Sayyidah Fatimatuzzahra binti Rasulullah Muhammad ﷺ. 

Dari jalur nasab ibunda beliau adalah Abu Al-Abbas Ahmad bin Sayyidah Aisyah binti Abu Abdillah Muhammad bin As-Sanusi At-Tijani Al-Madhawi. Datuk beliau Abu Abdillah Muhammad As Sanusi ini terkenal sebagai seorang Wali yang soleh. 

Tahun 1150 Hijrah – Tahun dilahirkan disebuah Zawiyah bertempat di A’in Madhi, sebelah timur padang sahara, Maghribi 

Tahun 1157 Hijrah – Menghafaz Al Quran pada usia 7 tahun (riwayat Naafi’) di bawah bimbingan Sayidi Muhammad Hamu At Tijani yang bergurukan Syeikh Sayidi Isa Bu Ukaaz Al Madhaawi At Tijani 

Tahun 1166 Hijrah – Pada usia 16 tahun, kedua ibu bapanya wafat akibat sakit taun 

Tahun 1170 Hijrah – Mampu mengeluarkan fatwa dalam segala bidang ilmu pada usia 20 tahun dan menjadi rujukan masyarakat zamannya. 

Tahun 1170 Hijrah – Pada usia 20 tahun, beliau mengembara menuju ke bumi Fes, iaitu bumi para wali dan bumi syarif-syarif (ahlul bait) untuk bertemu, mengambil manfaat dan mempelajari sesuatu yang berharga daripada para wali-wali yang hebat, seperti; 

Abi Muhammad Maulana at Toyyib Bin Qutub Sayidi Muhammad Bin Qutub Maulana Abdillah Asyarif Al Wazzani Al A’lami Al Idrisi Al Husaini r.a 

Al Kabiir Maulana Ahmad As Siqiili Al Husaini r.a 

Qutub Sayidi Muhammad Al Hasan Al Wanjali r.a, dan telah berkata Qutub ini melalui kasyafnya kepada beliau “Sesungguhnya engkau akan mencapai martabat Imam Syaazili r.a” 

Tahun 1170 Hijrah – Beliau pulang semula A’in Madhi melalui isyarat guru beliau Sayidi Muhammad Bin Hasan Al Wanjali 

Tahun 1170 Hijrah – Berhijrah ke negeri Baiydh (putih) di sekitar Zawiyah Sayidi Abdul Qodir Bin Muhammad As Siddiqi Al Quraisyi yang dikenali sebagai Syeikh Abyadh r.a. Tinggal selama 5 tahun untuk tekun beribadah, zuhud, mengajar dan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya. 

Tahun 1175 Hijrah – Berhijrah ke Tilimsan [Dalam Manaqib Syeikh Ahmad Tijani, dikhabarkan beliau berpindah ke Tilimsan pada tahun 1181 Hijrah] pada usia 25 tahun, beriktikaf melaksanakan ibadah dan mengajar ilmu sehingga orang ramai berbondong-bondong datang untuk mengambil barakah dan manfaat daripada beliau. 

Tahun 1186 Hijrah – Pada usia 36 tahun beliau berhajat untuk bermusafir ke Mekah. Dalam perjalanannya ke Mekah, beliau bertemu dengan beberapa orang wali termasuklah Syeikh Kaamil Al Qudwatul Waasil Sayidi Muhammad Bin Abdur Rahman Al Azhari Az Zawawi r.a di bumi Zawawa berdekatan dengan Tunisia dan mengambil Thoriqah Kholwatiyah. 

Tahun 1187 Hijrah – Pada usia 37 tahun, beliau singgah di Tunisia dalam perjalanannya ke Madinah. Beliau tinggal di Tunisia selama 1 tahun dan mengajar Kitab Hikam Ibn Athoillah [Tiada dinyatakan secara tepat tahun berapakah beliau singgah di Tunisia. Saya hanya mengambil anggaran perkiraan tahun 1187 setelah perjalanan Syeikh Tijani ke Mekah adalah selama 3 tahun dan beliau behenti di Tunisia selama 1 tahun untuk mengajar disana dan tahun 1188 Hijrah beliau keluar dari Tunisia dan singgah pula di Mesir sebelum memasuki Mekah pada tahun 1189 Hijrah] 

Tahun 1188 Hijrah – Pada ketika usia beliau 38 tahun, beliau keluar berhijrah dari Tunisia dan singgah pula di Mesir dalam perjalanan ke Madinah dan bertemu dengan Qutub Sayidi Mahmud Al Qurdi dan Qutub tersebut memberitahu beliau sebelum beliau sempat memulakan percakapannya, “Kamu disayangi oleh Allah, di dunia dan di akhirat” dan Qutub tersebut memberi jaminan bahawa Syeikh Ahmad Tijani akan mendapat lebih daripada “Qutbaniyatul Uzma” yakni inilah Maqam Khotmiyah – Penghulu dan Ketua bagi segala Wali Allah. 

Tahun 1189 Hijrah – Pada usia 39 tahun beliau telah sampai ke bumi Mekah pada bulan Syawal [Dalam Manaqib Syeikh Ahmad Tijani, dikhabarkan beliau sampai di Mekah pada Syawal 1187 Hijrah]. Qutub Sayidi Ahmad Al Hindi r.a yang pada ketika itu berada di Mekah telah menulis surat kepada Syeikh Ahmad Tijani r.a dan mengatakan “Engkaulah pewaris bagi semua kesempurnaan dan sir-sir yang ada pada diriku” dan menyatakan juga Syeikh Ahmad Tijani r.a akan menduduki Maqam Imam Syazili. Sayidi Ahmad Al Hindi juga menyuruh Syeikh Ahmad Tijani r.a untuk bertemu dengan seorang Qutub besar di Madinah iaitu Syeikh Abdul Karim As Saman [Oleh kerana Syeikh Ahmad Tijani telah sampai dan memasuki Mekah pada bulan Syawal 1189 Hijrah, maka saya juga mengandaikan Syeikh Ahmad Tijani r.a tinggal di Mekah sehingga Bulan Zulhijjah menjelang dan terus menunaikan fardhu Haji pada usia 39 tahun. Selepas menunaikan Haji, barulah Syeikh Ahmad Tijani r.a menuju ke Madinah untuk bertemu dengan Syeikh Abdul Karim As Samani seperti mana suruhan Sayidi Ahmad Al Hindi. Dalam Manaqib Syeikh Ahmad Tijani, dikhabarkan beliau telah menyempurnakan Hajinya terlebih dahulu dan kemudian barulah beliau berangkat menuju ke Madinah]. 

Tahun 1189 Hijrah – Pada tahun ini juga Syeikh Ahmad Tijani telah menziarahi Madinah seperti mana suruhan Sayidi Ahad Al Hindi selepas berada di Mekah. Beliau menziarahi Maqam Sayidina Muhammad ﷺ terlebih dahulu, dan kemudian barulah menziarahi Syeikh Abdul Karim As Samani. Qutub Abdul Karim As Samani menyatakan bahawa Syeikh Ahmad Tijani adalah Qutub Al Jami’ tanpa sebarang keraguan. Setelah menziarahi Qutub As Samani, maka Syeikh Ahmad Tijani kembali pulang ke Mesir. 

Tahun 1190 Hijrah – Pada usia 40 tahun, setelah menziarahi Qutub As Samani, Syeikh Ahmad Tijani r.a telah kembali ke Kaherah, Mesir untuk bertemu semula guru beliau Sayidi Mahmud Al Qurdi. Beliau tinggal sementara di Kaherah untuk memberi manfaat, berbicara dan mengajar sehinggakan orang awam, ulama-ulama dan golongan elit berhimpun untuk belajar dengan beliau [Tiada dinyatakan secara tepat tahun bilakah Syeikh Ahmad Tijani r.a kembali ke Kaherah. Saya mengandaikan Syeikh Ahmad Tijani kembali ke Kaherah pada tahun 1190 Hijrah memandangkan jarak masa dan hari diantara beliau sampai ke Mekah dari bulan Syawal hinggalah ke Zulhijjah 1189 Hijrah hanyalah 3 bulan sebelum masuk Muharram 1190 Hijrah, dan dalam masa 3 bulan itulah beliau menggunakan masanya untuk berutus surat dengan Qutub Sayidi Ahmad Al Hindi, menunaikan Haji dan berziarah ke Madinah untuk bertemu Sayidina Nabi ﷺ dan Qutub As Samani. Ini satu jangkamasa yang singkat, rasional dan logik]. 

Tahun 1190 Hijrah – Pada usia 40 tahun, beliau kembali ke Tilimsan bumi Maghrib. Beliau mendirikan rumah dan menetap disana [Dalam Kitab Irsyadul Asfiya’ hanya dikatakan mendirikan rumah sahaja dan saya tidak pasti samada ianya bermaksud berkahwin dan mendirikan rumahtangga atau hanya membina rumah sahaja. Sekiranya ada sesiapa yang mempunyai maklumat yang tepat, silalah berikan pencerahan]. 

Tahun 1191 Hijrah – Pada usia 41 tahun, beliau sangat merindukan Kota Fes dan menziarahi ahlul bait di Kota Fes. Maka beliau pun bertolak untuk menziarahi Kota Fes. Dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Abu Hasan Sayidi Ali Harazim Al Faasi (pengarang Kitab Jawahirul Ma’ani) dan beliau adalah terlebih hampir kepada Syeikh Ahmad Tijani dari segi nisbah kedudukan dan Taqarrub kepada Allah Ta’ala. 

Terbitlah satu kalam yang besar dari pertemuan ini melalui kasyaf Syeikh Ahmad Tijani r.a kepada Sayidi Ali Harazim r.a; 

“Tidakkah kamu berasa takut kepada Allah, sehingga kamu sanggup membiarkan diriku letih, datang bermusafir dari tempatku kepada kamu, dan tidaklah daku mempunyai hajat yang lain melainkan hanya untuk bertemu dengan kamu jua, ucapkanlah Tahmid kepada Allah atas sebab kedatanganku” 

Sayidi Ali Harazim r.a terus mengikuti beliau ke bumi Fes dan menziarahi Maulay Idris Al Azhar r.a. Kemudian selepas daripada itu, beliau kembali semula ke bumi Tilimsan. 

Tahun 1196 Hijrah – Pada usia 46 tahun, beliau memohon istikhoroh untuk keluar dari bumi Tilimsan dan berhijrah Kota abi Samghun dan Kota Syallaalah [Tempat beliau menerima futuh dan limpahan-limpahan kurniaan daripada Allah Taala sepertimana yang diketahui pada ilmu Allah Taala]. Beliau Selamat sampai ke Kota Syallaalah dan bermastautin bersama keluarganya disana. Pada tahun ini juga beliau sempat bermusafir ke Taazah, sebuah tempat berdekatan dengan Maghribi dan bertemu sahabat beliau yang terkenal dan tinggi martabatnya, dan beliau adalah diatara wasitah yang masyur, Asy Syarif Sayidi Muhammad A’rabi Ad Damrawi Al Faasi At Taazi. 

Tahun 1196 Hijrah – Pada tahun ini juga, ketika beliau berada di Gurun Sahara, Syallaalah, beliau telah diberi keizinan secara langsung oleh Sayidina Nabi ﷺ untuk menalkinkan Istighfar dan Selawat keatas sesiapa yang beliau suka dan Sayidina Nabi ﷺ mengarahkan beliau meninggalkan semua wirid-wirid Thoriqah yang beliau terima daripada Syeikh-Syeikh Thoriqah sebelum ini. 

Tahun 1199 Hijrah – Pada usia 49 tahun, beliau telah berhijrah ke Kota Abi Samghun bersama keluarganya [Tidak diketahui secara tepat pada usia dan tahun bilakah beliau telah berkahwin]. 

Tahun 1200 Hijrah – Pada usia 50 tahun, Baginda ﷺ telah menyempurnakan wirid terakhir Thoriqah, zikir Haillah kepada Syeikh Ahmad Tijani r.a. Pada tahun ini juga Syeikh Ahmad Tijani r.a mendapat izin dari Baginda ﷺ yang dinyatakan dengan jelas dan beliau pun Tazaazul berjumpa dengan masyarakat dan menzahirkan dirinya sebagai Syeikh yang sebenar. Maka berterusanlah di bumi Kota Abi Samghun ini selama 13 tahun beliau mentarbiah orang ramai yang datang berterusan kepada beliau dan beliau menjadi masyhur di Kota Abi Samghun. 

Tahun 1213 Hijrah – Pada usia 63 tahun, atas arahan Baginda Nabi ﷺ, pada bulan Rabi’ul Akhir beliau telah berpindah memasuki Kota Fes, Maghribi. Beliau terus mengunjungi Sultan Maghribi ketika itu, iaitu Maulana Abu Rabi’ Sulaiman Al A’lawi Al Hasani r.a. [Beliau adalah salah seorang Mujtahid yang pakar dalam bidang ilmu dan beliau juga digelar Sultan Ulama pada ketika itu]. Sultan menghadiahkan sebuah rumah yang tercantik pada ketika itu kepada Syeikh Ahmad Tijani r.a. dan Baginda ﷺ telah mengizinkan Syeikh Ahmad Tijani r.a untuk tinggal menetap di rumah tersebut. 

Tahun 1213 Hijrah – Bulan Sya’ban, setelah mendapat keizinan Baginda ﷺ, maka Syeikh Ahmad Tijani r.a mengarahkan Sayidi Ali Harazim Al Fassi r.a untuk menyusun Kitab Jawaahirul Ma’ani. 

Tahun 1214 Hijrah – Awal Muharram, pada usia 64 tahun, Syeikh Ahmad Tijani r.a telah ditabalkan menjadi Qutbaniyatul A’zam di Bukit Arafah, tanah suci Mekah. 

Tahun 1214 Hijrah – Malam 18 Safar, Syeikh Ahmad Tijani r.a telah ditabalkan dengan kedudukan dan martabat Al Katmiah [Satu kedudukan yang dirahsiakan martabatnya daripada pengetahuan dan pemahaman makhluk dan alam, hanya Allah Taala dan Sayidina Nabi ﷺ sahaja yang mengetahui akan martabat dan kedudukan beliau]. 18 Safar ini juga dikenali dengan nama I’dul Khotmi dikalangan penuntut Thoriqah Tijani. 

Tahun 1214 Hijrah – Pertengahan bulan Zulkaedah, selesai sudah susunan Kitab Jawaahirul Ma’ani oleh Sayidi Ali Harazim r.a dan Syeikh Ahmad Tijani r.a sangat gembira atas Kitab tersebut. Baginda Nabi ﷺ telah menjamin Kitab tersebut dengan sabdanya; “Inilah kitabku dan akulah yang mengarangnya”. 

Tahun 1230 Hijrah – Pagi Khamis, 17 Syawal, selepas beliau menunaikan Solat Subuh dengan sempurna, Syeikh Ahmad Tijani r.a telah berbaring disebelah bahu kanan beliau dan meminta sedikit air, lalu beliau meminumnya, dan kemudiannya beliau berbaring seperti sebelumnya, dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir di Fes. Usia beliau pada saat itu adalah 80 tahun. 

Beliau telah meminta doa dari Sayidina Nabi ﷺ agar dipanjangkan umurnya pada sekitar 80 tahun. Mufti Abu Abdillah Sayidi Muhammad Bin Ibrahim Ad Dukkaali telah mengimamkan jenazah Syeikh Ahmad Tijani r.a. Beliau meninggalkan 2 orang anak lelaki yang hebat dan mulia; 

1)Arif Billah As Syahid Sayidi Muhammad, gelarannya Al Kabiir 

2)Arif Billah Sayidi Muhammad, gelarannya Al Habib. Melalui beliaulah nasab keturunan Syeikh Ahmad Tijani r.a berkembang.

RUJUKAN: 

1)KITAB IRSYADUL ASFIA ILA THORIQATI KHATMUL AULIYA, karangan Murobbina Saiyidi Ahmad Al Hadi Hafizahullahu Ta’ala 

2)TERJEMAHAN MANAQIB SYEIKH AHMAD AT TIJANI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan