PANDUAN HUKUM: NIAT PUASA SEBULAN RAMADHAN
Alyasak bin Berhan
Niat Puasa Menurut Mazhab Syafi'i
Menurut pandangan ulama Mazhab Syafi'i, wajib untuk berniat puasa pada setiap malam. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya pada waktu malam hari, bahawa dia akan berpuasa yang tertentu pada keesokan harinya, maka itu sudah memadai baginya. Hal ini adalah berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, Rasululllah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوْعِ الفَجْرِ فَلاَصِيَامَ لَهُ
"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar (subuh), maka tiada puasa baginya." (Riwayat al-Daraqutni no. 2213 dan al-Baihaqi no. 7989. Menurut al-Daraqutni, semua perawinya adalah thiqah)
Syarat niat bagi puasa adalah;
1. Tabyit- Meniatkan pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar bagi puasa wajib. Manakala bagi puasa sunat pula diharuskan untuk berniat sebelum gelincir matahari selagimana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa berdasarkan hadis riwayat Aisyah radhiallahu anha, sesungguhnya Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda kepadanya;
هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ غَدَاءٍ ؟ "، ... وَإِنْ قُلْنَا : لا , قَالَ : " إِنِّي صَائِمٌ. قَالَ الدَّارَقُطْنِيُّ هَذاَ إسْنَادٌ صَحِيْحٌ
"Adakah pada kamu apa-apa untuk makan tengah hari?." Jika kami menjawab; "Tiada." Lalu baginda bersabda; "Kalau begitu aku berpuasa."(Riwayat al-Daraqutni no.2236).
2. Ta'yin- Menentukan jenis puasa yang ingin dilaksanakan seperti puasa Ramadhan.
3. Tikrar (berulang-ulang)- Meniatkan puasa pada setiap malam untuk berpuasa keesokan hari berikutnya (Al-Fiqh al-Manhaji 340-341/1, al-Muktamad 174-176/2).
Sehubungan itu, menurut ulama Mazhab Syafi‘i, berniat puasa Ramadhan wajib dilakukan pada setiap malam kerana ibadat puasa pada setiap hari itu dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Oleh itu, jika seseorang berniat pada malam pertama bulan Ramadhan untuk berpuasa sebulan penuh, maka niat sedemikian hanya sah bagi hari pertamanya sahaja. Disebutkan oleh Ibn al-Muqri;
ولو نوى صوم الشهر كفاه لليوم الأول
"Jikalau seseorang berniat puasa untuk sebulan, nescaya ia memadai untuk puasa hari pertama..."(Raudhah al-Talib 225/2).
Selain itu, tidak memadai niat puasa jika hanya sekadar berniat untuk berpuasa esok hari sahaja, seperti niat "sahaja aku berpuasa esok hari". Hal ini kerana, sekurang-kurang niat yang memadai bagi puasa Ramadhan adalah, "sahaja aku berpuasa Ramadhan" walaupun tanpa diniatkan "FARDHU" Ramadhan menurut pendapat yang muktamad sepertimana yang telah disahihkan oleh Imam al-Nawawi di dalam Kitab al-Majmuk kerana mengikut pendapat kebanyakan ulama (Hasyiah I'anah al-Talibin 350/2, Bughyah al-Mustarsyidin 111).
Manakala berLAFAZ niat, hukumnya adalah sunat bagi membantu niat di dalam hati. Ia diqiaskan dengan lafaz niat ihram ketika melaksanakan ibadat haji bertujuan untuk membantu niat di dalam hati seperti lafaz niat:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Taala."
Justeru, bagi yang tidak berniat, maka puasanya tidak sah kerana setiap perkara dimulakan dengan niat berdasarkan hadis riwayat Umar al-Khattab radhiallahu anhu, Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam bersabda;
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
"Hanyasanya setiap amalan adalah dengan niat dan seseorang hanya mendapat apa yang diniatkannya..."(Riwayat al-Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907).
Niat Puasa Menurut Mazhab Maliki
Menurut pandangan ulama Mazhab Maliki pula, harus berniat sekali sahaja untuk melakukan ibadat puasa yang wajib dikerjakan secara berturut-turut, seperti puasa sebulan Ramadhan. Hal ini adalah kerana, di sisi mereka puasa tersebut dianggap seolah-olah seperti ibadat yang satu dari segi keterikatan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain dan dari segi ia tidak harus dipisah-pisahkan. Justeru, niat tersebut harus dilakukan pada malam pertama puasa sahaja.
Disebutkan dalam Mukhtasar Khalil (kitab Mazhab Maliki);
وَكَفَتْ نِيَّةٌ لِمَا يَجِبُ تَتَابُعُهُ لَا مَسْرُودٍ وَيَوْمٍ مُعَيَّنٍ ، وَرُوِيَتْ عَلَى الِاكْتِفَاءِ فِيهِمَا ، لَا إنْ انْقَطَعَ تَتَابُعُهُ بِكَمَرَضٍ ، أَوْ سَفَرٍ
"Memadai satu niat bagi puasa yang wajib dikerjakan secara berturutan (seperti Ramadhan). Tidak harus bagi puasa yang tidak wajib dikerjakan secara berturutan (seperti puasa qadha) dan untuk puasa yang tertentu (seperti puasa Isnin dan Khamis).
Diriwayatkan (iaitu pendapat yang lemah dalam Kitab al-Mudawwanah) atas memadai niat yang satu pada kedua-dua puasa tersebut.
Tidak memadai jika terputus berturut-turutnya seperti sakit atau musafir..."
Sungguhpun demikian, jika puasa yang wajib dilakukan secara berturut-turut itu terputus kerana sesuatu sebab, sama ada sebab yang dibenarkan oleh syarak atau tidak, maka niat tersebut tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya. Justeru, niat puasa tersebut perlulah diperbaharui semula apabila tiada lagi perkara yang menghalangnya daripada berpuasa.
Sebab-sebab yang boleh memutuskan puasa yang berturutan menurut Mazhab Malik adalah:
1) Berlaku sesuatu yang mengharuskan seseorang itu berbuka seperti sakit atau musafir, walaupun dia tetap juga berpuasa (tidak berbuka puasa) mengikut pendapat yang muktamad.
2) Berlaku sesuatu yang membatalkan puasa seperti kedatangan haidh, nifas, gila, pengsan dan mabuk.
3) Sengaja tidak berpuasa tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak (Hasyiah al-Dusuqi 521/1, Minah al-Jalil 128-129/2).
Taklid Mazhab Lain Dalam Masalah Niat Puasa
Demi menjaga kemaslahatan dan sebagai langkah berhati-hati kerana dikhuatiri terlupa berniat puasa pada setiap malam hari, maka ramai di antara ulama mazhab Syafi'i menghukumkan sunat juga berniat puasa sebulan dengan bertaqlid kepada Mazhab Maliki. Antara mereka adalah Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim al-Birmawi, Syeikh Ahmad al-Qalyubi, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh Sulaiman al-Jamal, Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id Ba 'Asyan, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdullah al-Jurdani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid al-Syarwani, Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal), Syeikh Husain Kedah.
Manakala, sebahagian mereka pula mengharuskannya. Antaranya adalah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani (Matla' al-Badrain), Syeikh Muhd Nur al-Fatani dan Syeikh Muhd al-Syatiri.
Malah, sebahagian ulama menghukumkan sunat bagi seseorang yang lupa berniat puasa sebelum masuk waktu Subuh untuk bertaklid kepada Mazhab Hanafi kerana menurut mazhab ini, harus dan sah puasa seseorang jika dia berniat setelah waktu Subuh dan sebelum waktu Zuhur. Antara mereka adalah Imam al-Nawawi, Syeikh Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh Zainuddin al-Malibari, Syeikh Ibrahim al-Birmawi, Syeikh Sulaiman al-Jamal, Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh Sa'id Ba 'Asyan, Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Abdullah al-Jurdani, Syeikh Ahmad al-Mihi, Syeikh Abd Hamid al-Syarwani, Syeikh al-Sayyid al-Bakri, Syeikh Muhd Mahfuz al-Tarmasi, Syeikh Muhd Ismail al-Fatani dan Syeikh Zainal Abidin al-Fatani (Tuan Minal).
Disebutkan oleh Syeikh Hasan al-Syurunbulali (ulama Mazhab Hanafi);
فيصح بنية من الليل إلى ما قبل نصف النهار على الأصح ونصف النهار من طلوع الفجر إلى وقت الضحوة الكبرى
"Maka sah puasa dengan niat bermula dari malam hingga sebelum waktu setengah hari menurut pendapat yang lebih sahih. Waktu setengah hari adalah daripada terbit fajar hingga waktu dhuha kubra (gelincir matahari)...(Nur al-Idhah).
Perkara yang Membatalkan Puasa Menurut Mazhab Maliki
Terdapat beberapa perbezaan di sisi Mazhab Maliki berkaitan perkara-perkara yang membatalkan puasa, berbeza dengan Mazhab Syafi'i. Ia seharusnya diketahui dan diraikan juga oleh orang berniat puasa sebulan kerana bertaklid kepada Mazhab Maliki agar puasa mereka sah di sisi mazhab yang ditaklid (Maliki), iaitu:
1. Pengsan ketika terbit fajar hari puasa (Mukhtasar Khalil 130/2).
2. Mengeluarkan air mazi ketika jaga (Mukhtasar Khalil 131/2).
3. Memasukkan sesuatu ke dalam mata kerana di sisi Mazhab Maliki, mata termasuk dalam rongga yang terbuka (Mukhtasar Khalil 133/2).
Walaubagaimanapun, menurut apa yang telah kami nukilkan daripada syeikhuna, Syeikh Dr. Muhammad bin Abdullah bin Ali Muhyiddin al-Qurasyi al-Syafi‘i (murid Syeikh Abdullah al-Nakhibi al-Yafi'ei al-Syafi‘i) daripada SEBAHAGIAN guru-gurunya. Jikalau seseorang terlupa berniat pada malam-malam berikutnya, padahal dia telah bertaklid kepada Mazhab Maliki dengan berniat sebulan Ramadhan pada malam pertama, maka sahlah puasanya sekalipun dia tidak mengikut sepenuhnya puasa dalam Mazhab Maliki kerana memberi keringanan dan kemudahan kepada orang-orang yang berpuasa.
Faedah Bertaklid Kepada Mazhab Maliki
Terdapat sekurang-kurangnya 2 faedah bagi seseorang yang bertaklid dengan niat sebulan berdasarkan Mazhab Maliki ini, iaitu;
1. Sah puasa bagi hari yang dia lupa berniat pada malamnya di sisi Mazhab Maliki.
2. Akan memperolehi pahala puasa yang sempurna seandainya dia meninggal dunia sebelum sempurna bulan Ramadhan kerana mengambilkira niatnya (al-Taqrirat al-Sadidah 440).
Lafaz Niat Puasa Sebulan Penuh
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانِ كُلِّهِ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku puasa sebulan Ramadhan sekaliannya tahun ini (bertaklid kepada Mazhab Maliki) kerana Allah Taala."
اليسع
Wallahu a'lam.
"SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA"
رمضان كريم
كل عام وأنتم بخير
Tiada ulasan:
Catat Ulasan