Rabu, 19 Oktober 2022

Ahlul Bait

Maka Ahlul Bait itu adalah dari 

1) -Am- Bani Hasyim dan Bani Mutalib

* Hasyim dan Mutalib ini adalah 2 beradik, ketika Hasyim meninggal dunia di Palestin, beliau meninggalkan isteri di Yathrib (Madinah) yang mana isterinya itu telah melahirkan seorang individu terpenting dalam sejarah Islam iaitu Syaibah. 

Penduduk Mekah tidak tahu bahawa Hasyim ini mempunyai anak lelaki tunggal yang berada di Yathrib. Ketika Hasyim sudah wafat maka Mutalib ini pergi ke Madinah dan ingin membawa balik pewaris mutlak saudaranya Hasyim. Syaibah ketika itu masih kecil, Mutalib membawanya naik unta bersamanya di belakang unta tersebut. 

Maka ketika penduduk Mekah melihat Mutalib membawa balik seorang budak maka mereka ingat Mutalib membawa balik seorang hamba baru padahal itu adalah anak saudaranya, lalu mereka memanggil budak ini Abdul Mutalib (Hamba kepada Mutalib). Itulah datuk Nabi kita yang nama asalnya adalah Syaibah tetapi terkenal dengan Abdul Mutalib kerana peristiwa itu.

Jadi mereka dari keturunan Bani Hasyim dan Mutalib ini adalah Ahlul Bait, antara Ulama' yang datang dari zuriat Mutalib ini ialah Imam Muhammad Bin Idris Asy-Syafie (Imam Mazhab kita).

2) -Khas- Ahlul Kisa'

Ketika turun firman Allah ayat 33 surah al-Ahzab yang bermaksud "Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahlul Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya" didalam rumah Ummu Salamah lalu Nabi Muhammad SAW memanggil anaknya Saidatina Fatimah, cucunya Saidina Hassan dan Saidina Hussin serta menantunya Saidina Ali untuk masuk dan beselimut didalam kain(kisa') lalu Nabi berdoa “Ya Allah ! mereka adalah Ahlul Bait aku maka hilangkanlah dosa dari mereka dan bersihkanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.” Ummu Salamah ketika itu melihat dan mendengar doa Nabi lalu beliau pon ingin masuk kedalam kain itu juga tetapi Nabi menariknya lalu kata Ummu Salamah "Dan aku bersama mereka wahai Rasulullah" jawab Nabi "Engkau tetap dengan kedudukan engkau (sebagai isteri Nabi) dan engkau selalu dalam kebaikan".

Ahlul Kisa' itu 5 orang
1) Nabi Muhammad SAW
2) Sayyidatina Fatimah AS
3) Sayyidina Hassan AS
4) Sayyidina Hussin AS
5) Sayyidina Ali Karamallahu Wajhah AS

Sebelum anda mengatakan aku syiah kerana mendoakan Alaihi Salam keatas mereka, ketahuilah para Salafussoleh dahulu ketika meriwayatkan hadis yang datang daripada Sayyidatina Fatimah, Sayyidina Hassan, Sayyidina Hussin dan Sayyidina Ali mereka akan mendoakan a'laihi salam bahkan Imam Bukhari sendiri meriwayatkan hadis daripada mereka dan mendoakan a'laihi salam. Jadi kalau anda mentohmah aku maksudnya anda mentohmah Imam Bukhari yang mana kitabnya itu adalah kitab paling sahih dibumi selepas Al-Quran, ya dalam kitab itu beliau mendoakan mereka a'laihi salam.

Maka dari keturunan Hassan dan Hussin ini lahirlah Sayyid-Sayyid, Syarif-Syarif, pemimpin-pemimpin para Wali Allah, kebanyakan datang daripada keturunan mereka bedua. 

Suka kami nak sebutkan disini bahawa terkenal perkataan bahawa "Setiap Hassani itu adalah Husaini dan setiap Husaini itu adalab Hasani". 

Mengapakah perkataan ini terkenal kerana 

Sayyidina Hassan mempunyai anak lelaki yang bernama Hassan dan digelar Hassan al-Musanna serta anak perempuan bernama Fatimah. 

Sayyidina Hussin pula mempunyai satu-satunha anak lelaki yang tinggal selepas peristiwa karbala iaitu Ali yang digelar Zainal Abidin (Perhiasan ahli ibadah) dan anak perempuan yang bernama Fatimah juga.

Hassan al-Musanna bin Sayyidina Hassan ini berkahwin dengan Fatimah Binti Sayyidina Hussin lalu lahir anaknya yang terkenal adalah Abdullah al-Kamil. Digelar Al-Kamil adalah kerana kesempurnaan nasabnya Hassan + Hussin dan nafsunya(maqam nafsu kamilah). Anak Abdullah Al-Kamil yang terkenal ialah Muhammad al-Nafs Az-Zakiyya (Nafsu/Jiwa yang suci). Muhammad al-Nafs Az-Zakiyya ini sebelum syahid beliau wasiatkan kepada keluarganya untuk membakar kitab-kitabnya bila beliau wafat kerana beliau kuatir jatuh ke tangan yang bukan ahli. Beliau antara orang yang pertama menulis kitab rahsia-rahsia Ilahi dan hakikat-hakiat yang tidak boleh dibaca oleh yang bukan ahlinya. 

Manakala Ali Zainal Abidin Bin Sayyidina Hussin ini berkahwin dengan Fatimah Binti Sayyidina Hassan lalu lahirlah anaknya yang terkenal Muhammad al-Baqir, Muhammad al-Baqir mempunya anak yang terkenal iaitu Ja'far As-Siddiq. Beliaulah antara orang pertama dikalangan bukan sahabat yang mendapat gelaran seperti Abu Bakar kerana benarnya beliau dalam Islam, Iman dan Ihsan. Ja'far As-Siddiq ini adalah antara guru kepada Imam Abu Hanifah dengan Imam Malik. 

Sampai sini saja kami cerita kisah mereka ini kerana banyak lagi kisah-kisah yang hebat yang lahir dari zuriat mereka ini, sungguh kisah2 mereka ini dapat menjadi semangat yang tinggi dalam perjalanan kita menuju Tuhan. Merekalah pemimpin2 perjalanan hati dan rohani, dari zuriat mereka lahir Syekh Abdul Qadir Jilani, Syekh Abu Hassan Asy-Syadzili, Imam Rifaie, Imam Ahmad Badawi, Muhammad al-Faqih al-Muqaddam, Syekh Ahmad Tijani dan ramai lagi.

3) Sahabat yang mendapat penisbahan Ahlul Bait

* Salman al-Farisi RA, beliau telah mendapat penisbahan dari Rasulullah SAW. Kisah Salman al-Farisi ini boleh kita jadikan teladan buat perjalanan kita. Perjalanan beliau mencari guru mursyid.

Salman alFarisi berasal dari Isfahan, wilayah Parsi. Bapanya seorang pembesar Parsi dan orang kuat agama Majusi. Beliau telah membesarkan Salman dengan ajaran Majusi dan mempersiapkan Salman bagi menggantikan tempatnya kelak. Gerak geri Salman sentiasa dikawal agar tidak terpengaruh dengan sebarang ajaran lain.

Takdir tuhan, pada suatu hari Salman telah melalui sebuah gereja Nasrani. Di sana beliau telah melihat orang Nasrani yang masih berpegang kepada ajaran asal Nabi Isa sedang bersolat. Beliau telah tertarik dengan Nasrani dan merasakan agama itu lebih baik dari agama Majusi. Salman bertanya dari mana asal agama ini lalu mereka menjawab dari negeri Syam.

Salman memberitahu perkara itu kepada bapanya menyebabkan bapanya menjadi marah lalu merantai kedua kaki Salman dan mengurungnya.

Tetapi Salman berjaya meloloskan diri. Beliau kemudian lari ke Syam untuk mendalami Nasrani. Beliau pergi ke gereja dan menyatakan hasrat untuk menjadi khadam kepada ketua gereja di sana.

Malangnya di sana beliau mendapati ketua gereja itu sebenarnya penipu besar. Dia menyuruh orang ramai bersedekah tetapi dia mengambil harta sedekah itu untuk kegunaan sendiri. Walaubagaimanapun, dalam kebencian beliau terhadap gereja itu beliau tetap setia berkhidmat kepadanya itu sehinggalah dia meninggal dunia.

Ketua gereja baru pula dilantik menggantikan tempat yang mati itu. Ketua gereja baru ini perangainya elok dan sangat zuhud. Salman meneruskan khidmat Kepada beliau pula. Apabila rahib itu memberitahu bahawa ajal beliau bakal tiba, Salman bertanya di mana lagi ada orang sepertinya. Beliau itu meminta Salman supaya ke Mousil di Iraq.

Setelah rahib meninggal, Salman terus ke Mousil dan bertemu seorang lagi Rahib yang soleh. Salman berkhidmat untuk beliau pula sehingga menjelang saat kematian Rahib tersebut. Tatkala akhir usianya, Salman bertanya lagi di mana dia boleh mencari orang sepertinya. Rahib meminta dia ke Nasibin pula.

Begitulah seterusnya. Salman bertemu Rahib baharu dan berkhidmat untuknya sehingga hampir wafat. Sebelum meninggal, Salman bertanya di mana lagi dia boleh mencari pengganti. Rahib minta ke Amuriah pula.

Pergilah Salman ke Amuriah dan berkhidmatlah beliau kepada Rahib di sana. Menjelang kewafatan rahib itu, Salman bertanya sebagaiman ditanya kepada rahib-rahib yang lain. Namun Rahib ini menjaab:
“Aku tidak pasti apakah masih ada lagi orang yang berpegang dengan agama yang benar ini. Tetapi ketahuilah bahawa sudah dekat masa tibanya kebangkitan seorang Nabi di tanah arab, yang mewarisi agama Nabi Ibrahim. Dia akan berhijrah dari tanahair ya ke tanah yang punyai banyak pohon tamar. Dia memiliki tanda-tanda yang jelas iaitu tidak menerima sedekah tetapi menerima hadiah. Dia juga memiliki tanda kenabian di antara dua bahunya.”
Salman mengambil keputusan untuk ke sana. Tidak berapa lama selepas itu datang pedagang arab ke Amuriah. Lalu beliau menumpang rombongan tersebut pulang ke tanah arab.

Nasib Salman tidak berapa baik. Pedagang tersebut akhirnya menjual Salman kepada seorang Yahudi. Kemudian dia dibawa ke Madinah dan akhirnya bekerja di sebuah kebun tamar milik Yahudi Bani Quraizhah.

Beberapa tahun masa berlalu, akhirnya pada suatu hari beliau terdengar perbualan tuannya bahawa telah muncul seorang lelaki di Madinah mendakwa ajaran baharu. Beliau merasakan itulah dia Nabi yang dimaksudkan. Lalu secara senyap beliau mencari lelaki itu dengan membawa sedikit tamar.

Setelah berjumpa, beliau tawarkan kepada baginda buah tamar dengan berkata ianya adalah sedekah. Lelaki itu mengambilnya lalu diberi makan kepada sahabatnya yang ada di situ. Beliau tidak menjamahnya.

“Ini satu tanda.” Kata Salman dalam hatinya.

Esoknya dia bertemu lelaki tersebut lagi dan memberikan tamar. Kali ini dia berkata ianya adalah hadiah. Lalu lelaki tersebut mengajak sahabatnya makan bersama. Beliau turut menjamahnya sekali.

“Ini dua.” Kata Salman lagi dalam hati.

Sedang lelaki itu makan, Salman mencuri-curi pandang ke arah tubuh baginda melalui celahan pakaiannya. Beliau perasan gelagat Salman, lalu dengan sengaja menyelak bajunya sehingga jelas ternampak tanda kenabian ketiga yang selama ini dicari-cari.

Tatkala itu juga Salman terus menerpa ke arah Nabi SAW lalu memeluk, mencium wajah suci baginda dan menangis kegembiraan. Alangkah bahagianya apabila perjalanan berpuluh tahun beliau mencari kebenaran, akhirnya berjaya menemui seorang Nabi, utusan pembawa wahyu tuhan. Waktu itu juga Salman mengucapkan dua kalimah syahadah.

Salman mengisahkan perjalanan beliau memburu hidayah tuhan sejak dari awal. Baginda sangat teruja mendengarnya lalu meminta Salman sendiri bercerita kepada para sahabat. Mereka semua berkongsi kegembiraan yang sama.

Nabi SAW memegang Salman dengan tangan mulianya lalu bersabda:
“Sekalipun ditakdirkan iman itu berada setinggi bintang di langit, pasti dia (Salman) akan dapat mencapainya jua.”

Kisah beliau mendapat penisbahan Ahlul Bait adalah ketika Salman al-Farisi melontarkan idea yang bernas tengang buat parit waktu perang khandak maka kaum Ansar berkata Salman adalah dari golongan kami, 

Saat kaum muhajirin mendengar itu, Kaum muhajirin pula berkata, Tidak, Salman itu adalah dari golongan kami.

Lalu Rasulullah memanggil mereka yang bersengketa dari kalangan Ansar dan Muhajirin ini dan berkata "Salman adalah dari golongan kami, Ahlil Bait. Dan memang selayaknya Salman mendapat kehormatan seperti itu."

*** 

Sayangilah Ahlul bait itu, beradalah dalam kapal mereka. Jadilah seperti Salman al-Farisi yang berkelana mencari guru mursyid sehingga mendapat penisabahan keluarga guru mursyid tersebut. Ini memamg sering berlaku daripada kalangan tariqat yang mana mereka akan dinisbahkan kepada Syekh mereka seperti Al-Qadiri, Asy-Syadzili, An-Naqsyabandi, Ar-Rifaie, Asy-Syattari, At-Tijani dan sebagainya.

Wallahu'alam

أَعُوذُ بِاللهِ مَنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ ،
 بسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ ۞ الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِينَ ۞ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ ۞ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ ۞ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ۞ إهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ ۞ صِرَاطَ الذِّينَ أَنْعَمْتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ ولآ الضَّآلِّين ۩
 آمِين .
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ، وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ، نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ، وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ، وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ . 
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ ۞ وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ ۞ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ۩

Al-Fakir Tajmil Hanif Tarmizi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan