Ahad, 16 Oktober 2022

KAIFIAT SELAWAT YANG DAPAT MEMBERI KESAN MENDALAM KEPADA QALBU


Imam al-Sanusi rahimahuLlah dalam Sharh al-‘Aqidah al-Sughra menyatakan bahawa kaifiat berselawat ke atas RasuluLlah ﷺ yang dapat memberi kesan yang mendalam kepada hati ialah dengan menghadirkan dalam jiwanya ketinggian darjat RasuluLlah ﷺ bahawasanya Baginda memiliki kedudukan disisi Allah yang tiada siapapun yang dapat mencapainya sehingga para malaikat berselawat ke atas Baginda ﷺ untuk menjadikan RasuluLlah ﷺ sebagai perantara bagi mereka kepada Allah Ta’ala.  

Berikutnya ialah dengan menghadirkan rasa kegembiraan di dalam jiwa kerana Allah Ta’ala menjadikan selawat sebagai saluran yang menghubungkan seorang hamba dengan Perantara Teragung dan Penghubung Terutama di dunia dan akhirat (A’zam al-Wasa’il wa al-Wasilah al-‘Uzma) iaitu Nabi Muhammad ﷺ.

Selanjutnya hendaklah menghadirkan wajah Nabi Muhammad ﷺ dalam mindanya bahawa tidak ada makhluk yang seindah RasuluLlah SAW dan tidak ada pintu yang lebih terutama untuk seorang hamba sampai kepada Allah melainkan RasuluLlah ﷺ (BabuLlah al-A’zam).

Juga hendaklah dihadirkan dalam hati bahawa Rasulullah ﷺ adalah sumber kepada segala kesempurnaan makhluk, penghubung kepada segala Kurniaan Ilahi dan asas kepada seluruh kebaikan di mana tidak akan terhasil sebarang kebaikan di dunia dan akhirat melainkan setelah berkait dengan Nabi Muhammad ﷺ.  

Imam Muhammad al-Bakri al-Samman rahimahuLlah dalam Al-Futuhat al-Ilahiyyah fi al-Tawajjuhat li al-Hadrah al-Nabawiyyah, menjelaskan bahawa seseorang yang tidak dapat membayangkan rupa paras Nabi Muhammad ﷺ ketika berselawat, maka hendaklah dia membayangkan bahawa dirinya seolah-olah berhadapan dengan Rasulullah ﷺ.

Peringkat selanjutnya adalah menghadirkan hakikat Nabi Muhammad ﷺ sebagai makhluk yang paling sempurna dalam menerima kesan penzahiran dari Sifat-Sifat Allah. Sesungguhnya seseorang yang semakin mendalam pengenalannya kepada RasuluLlah ﷺ, maka dia mendapat bahagian yang lebih besar dalam pengenalan kepada Allah Ta’ala.

Kaifiat selanjutnya menurut beliau dalam berselawat ialah dengan menghadirkan di dalam jiwa bahawa cahaya kerahmatan Nabi Muhammad ﷺ meliputi seluruh alam semesta, sehingga dirinya tenggelam dan lebur sepenuhnya dalam cahaya kerahmatan Baginda ﷺ . Kaifiat berikutnya adalah dengan merasakan kecintaan yang mendalam kepada RasuluLlah ﷺ yang menyerap kepada rohnya, qalbunya, perasaannya, jasmaninya, dan mengalir ke darah dagingnya. 

Nota kaki: Penjelasan Imam al-Sanusi dan Imam Muhammad al-Samman di atas menunjukkan kepada kepentingan mempelajari Ilmu Shama'il agar dengannya sedikit sebanyak seseorang dapat mengetahui rupa paras dan bentuk fizikal RasuluLlah ﷺ.

♥️اللهم صل علی سیدنا محمد
 وعلى آل سیدنا محمد ♥️

Ustaz iqbal zain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan