Isnin, 21 November 2022

ADAKAH SEMUA JENIS IBADAH ASALNYA ADALAH TERLARANG SEHINGGA WUJUD NAS DAN ADAKAH SUATU AMALAN ITU BOLEH DIANGGAP "IBADAH" JIKA TIADA HADITHNYA: SUATU PENCERAHAN

 

Pertama sekali perlu dijelaskan bahawa tujuan utama kita diciptakan Allah Ta'ala iaitu untuk beribadah kepadaNya (Surah al-Zariyat:56)

Oleh itu, seluruh hidup kita pada setiap detik dan saat (24/7) sehingga mati hendaklah berada dalam keadaan beribadah kerana Allah Ta'ala (Surah al-An'am:162/Tafsir al-Baghawi).

Persoalannya adalah bagaimana manusia dapat mengisi seluruh waktunya dengan ibadah? Untuk merealisasikan hal tersebut Rasulullah ﷺ telah menggariskan konsep ibadah agar manusia dapat menyempurnakan tujuan ciptaannya itu.

Imam Ibnu Rusyd dlm kitabnya Bidayatul Mujtahid menerangkan bahawa ibadah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ secara umum boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Ibadah Mahdhah (عبادة محضة) 
2) Ibadah ghair mahdhah (عبادة غير محضة) 

Yang dimaksudkan dengan "ibadah mahdhah" ialah ibadah khusus yang pelaksanaannya terikat dengan waktu, tempat, bilangan, cara (kaifiyat), atau keadaan tertentu. Ia mempunyai rukun, syarat dan cara yang tetap.

Contohnya, solat 5 waktu dan bilangan rakaat solat, bulan puasa dan bila boleh berbuka, jumlah pusingan tawaf dan lain-lain. Hal-hal tersebut tidak boleh berubah hingga Qiamat.

Jenis ibadah ini tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan kerana pelaksanaannya adalah tertakluk kepada nas al-Qur'an dan hadith yang telah menetapkannya.

Ibadah mahdhah adalah ibadah yang dimaksudkan dalam kaedah fiqh berikut ini:

الأصل في العبادات التوقيف

Asal kepada ibadah itu adalah terhenti/terlarang/tawqifi (yakni ia perlu kepada nas al-Qur'an atau hadith untuk mengesahkannya).

Kaedah fiqh diatas hanya terpakai untuk ibadah mahdhah yang bersifat ta'abbudi sahaja bukan yang lain. Maksud ta'abbudi ialah amalan khusus yang ditetapkan Allah sebagai ibadah tanpa manusia dapat faham apakah 'illat (alasan hukum) disebaliknya.

Dalam Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar menyebutkan kaedah fiqh diatas didalam bab solat Dhuha dan beliau menjelaskan bahawa kaedah tersebut adalah bukan mutlak untuk semua jenis ibadah kerana ramai ulama Shafi'iyyah yang berpegang bahawa ada ibadah-ibadah tertentu yang tidak mempunyai batasan cara dalam melakukannya.

Sekarang mari kita bincang mengenai "Ibadah ghair mahdhah" pula, ianya merupakan ibadah umum yang tidak terikat dengan mana-mana waktu, tempat, bilangan, cara dan keadaan tertentu. Kategori ibadah ini tidak mempunyai rukun, syarat atau cara yang tetap.

Untuk melaksanakannya memadai dengan adanya sandaran kepada al-Qur'an dan hadith yang berbentuk galakan atau suruhan khusus atau umum untuk melakukannya, meskipun Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukannya sepanjang hayat Baginda. Ia termasuk dalam skop "al-tarku" seperti yang dibincangkan pada artikel sebelum ini.

Dalam ibadah ghair mahdhah terdapat keluasan dalam cara mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai ragam dan bentuk kerana ia termasuk dalam keumuman ayat al-Quran berikut ini:

فاستبقوا الخيرات
Maka hendaklah kamu berlumba-lumba mengerjakan amal kebaikan
{Surah al-Baqarah:148)

Pelaksanaannya adalah terpulang kepada kesesuaian sesuatu kelompok, komuniti atau individu. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan cara dan keadaan yang sesuai menurut syara'. Tidak wajar seseorang minta dalil hadith dari orang yang melakukan ibadah ghair mahdhah dengan cara yang tertentu.

Contohnya seseorang yang ingin melakukan sebuah program ibadah yang bernama Sahur Perdana di sebuah hotel yang didalamnya ada penjualan meja bertujuan untuk mengutip dana untuk sebuah madrasah.

Maka, status program ini sebagai sebuah ibadah adalah sesuatu yang tidak perlu diragui kerana ianya termasuk dalam pengertian ibadah ghair mahdhah. Oleh itu, tidak perlu dipertanyakan dimana hadith yang spesifik menganjurkan untuk program Sahur Perdana di sekian tempat dengan sekian cara.

Begitu juga dengan berzikir, jika seseorang ingin melakukannya dlm keadaan berjoging, sedang berbasikal, bersenam aerobik, berenang, sambil terjun parachute, parasailing, hiking, jungle trekking, water rafting, menari, sedang buat push up, sambil ketuk ketampi, memasak dan bermacam cara lagi.

Maka, tidak perlu ditanyakan lagi mana dalil berzikir dengan cara seperti yang disebutkan diatas satu persatu. Kerana selagi mana ia dilakukan untuk mendapat redha Allah dengan cara yang tidak bertentangan dengan syara', maka ia adalah terangkum dalam pengertian ibadah yang mendatangkan pahala kerana ia termasuk dalam suruhan umum dari ayat Quran untuk berzikir sebanyak-banyaknya. (Surah al-Ahzab:41)

Begitu juga, setiap gerak geri perbuatan dan aktiviti harian kita yang dilakukan dengan niat kerana Allah, maka semuanya itu menjadi ibadah yang berpahala selagi mana ia tidak bertentangan dgn syara'. Demikian juga dengan selawat yang dikarang oleh manusia selain Rasulullah ﷺ, seandainya ada pihak yang menolak hal tersebut, maka hendaklah dia mendatangkan dalil yang menunjukkan bacaan selawat adalah tawqifi atau ucapan mana-mana ulama Salaf yang mengatakan ianya tawqifi atau dalil khusus yang melarang untuk mengarang selawat selain dari apa yang telah diajar oleh Rasulullah ﷺ.

Ketahuilah sesungguhnya wujudnya sahabat Rasulullah ﷺ yang mengarang selawat menunjukkan bahawa ianya adalah bukan tawqifi. Seandainya selawat adalah tawqifi maka sudah tentu para Ulama hanya boleh menggunakan Selawat Ibrahimiyyiah atau selawat-selawat yang ada dalam bahagian khutbah muqaddimah kitab mereka. Hal itu tidak berlaku kerana semua Ulama dari berbagai aliran mengarang selawat yang berbeza-beza sesuai dengan isi kandungan penulisan kitab mereka.

Gagalnya memahami konsep ibadah diatas, seseorang akan cenderung untuk bersikap rigid dengan menyempitkan skop ibadah dalam agama dan menolak pelbagai amalan agama yang telah diterima pakai dalam masyarakat yang selama ini dibimbing oleh para ulama.

Sehubungan itu, terdapat sebuah lagi kaedah fiqh yang penting untuk difahami iaitu:

للوسائل حكم المقاصد

Suatu perkara yang dilakukan untuk menjadi perantara maka hukumnya mengikut apa tujuannya

Contohnya seseorang yang mengadakan Karnival Sunnah 3 hari 3 malam yang dibuat di perkarangan masjid dengan tujuan untuk menanamkan kehidupan sunnah kepada hadirin. Dan antara acara yang terdapat didalamnya adalah nasyid yang mengandungi nasihat untuk berpegang dengan sunnah.

Maka program karnival dan acara nasyid tadi adalah perantaraan untuk sampai kepada peneguhan sunnah, maka oleh kerana mengamalkan sunnah adalah sebuah ibadah maka segala yang dilakukan untuk sampai kepadanya juga adalah ibadah.

Oleh yang demikian, tidak wajar seseorang melontarkan soalan-soalan yang berikut ini:

1. Apakah dalil al-Qur'an dan hadith yg menganjurkan untuk buat Karnival Sunnah dan bernasyid

2. Mengapa dikhususkan 3 hari 3 malam, bukankah sunnah perlu dihidupkan sepanjang tahun 365 hari

3. Kenapa setiap tahun buat Jumaat, Sabtu, Ahad, kenapa tak pilih hari-hari lain

4. Mengapa pilih perkarangan masjid sebagai tempat untuk acara nasyid, bukankah banyak lagi tempat lain

5. Nabi dan Sahabat tak pernah buat karnival, kenapa nak buat benda yang mereka tak buat

6. Nampak pelik je Karnival Sunnah ni, tak bid'ah ke

Oleh itu, seseorang hendaklah dapat mengenalpasti sesuatu yang dilakukan sebagai perantara (wasilah) dan yang mana satu tujuan.
Apa yang banyak berlaku saat ini ialah ramai orang mempertikaikan wasilah tanpa melihat tujuan disebalik ianya dilakukan.

Perantara (medium) atau pendekatan (appoach) adalah terlalu banyak yang boleh digunakan untuk sampaikan manusia kepada tujuan, disitu ada kelonggaran untuk masing-masing menggunakan kebijaksanaan untuk mengolah sesuatu yg relevan, relatable, up-to-date, appealing to society, kesesuaian semasa, efektif dan yang sebati dgn masyarakat.

Medium itu adalah termasuk pemilihan tempat, pemilihan cara pelaksanaan, pemilihan masa, pemilihan pendekatan, pemilihan suasana dan sebagainya adalah bergantung kpd kreativiti masing-masing. Islam adalah agama universal yang boleh bersifat lokal. Ibadah dapat dibumikan dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Sedih apabila melihat medium yang digunakan ini sering menjadi mangsa keadaan kerana sentiasa di bid'ah dolalahkan oleh sesetengah pihak. Jangan kerana nampak pelik atau masih belum berjumpa dengan dalil keharusannya, lalu secara melulu menyesatkan dan mensyirikkan sesuatu amalan berasaskan kepada persepsi semata-mata.

Padahal bukan semua jenis ibadah kita perlu tanya "dimana hadithnya?" Dan apabila tiada hadith, maka terus dikecam amalan itu dan dihentam pengamalnya dengan pelbagai label. Hal tersebut pasti akan terhindar apabila seseorang memiliki keluasan ilmu.

Ulama menyebutkan sebuah formula penting dalam berinteraksi dengan situasi perbezaan pendapat, iaitu:

اذا كثُر عِلمه قلّ انكاره

"Semakin luas ilmu yang dimiliki maka akan semakin kurang dia menyalahkan orang lain"

Ini adalah kerana orang yang luas ilmunya, akan mudah untuk dia berlapang dada untuk menerima kepelbagaian cara dan jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Ilmu agama adalah tersangat luas dan ia memerlukan bertahun-tahun lamanya untuk seseorang itu benar-benar matang dengan ilmunya.

iqbal Zain al-jauhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan