Ketahuilah jika seseorang mendatangi Allah s.w.t berbekalkan amal maka Allah s.w.t menyambutnya dengan perhitungan. Jika amalnya dihisab dengan teliti nescaya tidak ada satu pun yang layak dipersembahkan kepada Allah s.w.t.
Jika dia mendatangiNya dengan ilmu pengetahuan maka Allah s.w.t menyambutnya dengan tuntutan. Ilmunya tidak mampu menyatakan kebenaran yang hakiki.
Jika dia mendatangiNya dengan makrifat maka Allah s.w.t menyambutnya dengan hujah. Dia tidak akan dapat memperkenalkan Allah s.w.t.
Oleh itu singkirkan tuntutan dan pilihan agar Allah s.w.t tidak membuat tuntutan kepada kita. Lepaskan ilmu kita, amal kita, makrifat kita, sifat kita, nama kita dan segala-galanya agar kita menemui Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal.
Jika mahu mencapai keadaan ini ikhlaskan hati untuk semua amal perbuatan kita. Baikkan niat dan bersabar tanpa mengeluh atau membuat tuntutan. Kemudian naik kepada reda dengan hukumNya. Insya’ Allah kita akan menemuiNya, iaitu pertemuan ubudiyah dengan Rububiah.
Suasana yang disebutkan di atas telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang melepaskan dirinya dari azab Allah s.w.t melebihi amalan berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla”.
Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla: ‘Barangsiapa menghabiskan waktunya berzikir kepadaKu, tanpa meminta kepadaKu, nescaya Aku berikan kepadanya yang lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada mereka yang meminta’”.
Zikir yang sebenar adalah penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t dalam segala perkara agama baik yang mengenai dunia mahupun yang mengenai akhirat. Sembahyangnya, ibadatnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah s.w.t semata-mata.
Dia bersembahyang, beribadat dan melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan kerana mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Sekiranya Allah s.w.t tidak menjadikan syurga dan neraka, juga tidak mengadakan dosa dan pahala, maka sembahyangnya, ibadatnya, pekerjaannya dan perbuatannya tetap juga serupa.
Mutu kerja yang dia menerima upah dan kerja yang dia tidak menerima upah adalah serupa. Hatinya tidak cenderung untuk memerhatikan upah kerana apa sahaja yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t.
Hatinya bukan sahaja tidak memerhatikan upah daripada manusia, bahkan ia juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari Allah s.w.t. Kekuatan untuk mengingati Allah s.w.t dan berserah diri kepadaNya merupakan ‘upah’ yang sangat besar, tidak perlu lagi menuntut upah yang lain.
Hamba yang zikirnya sudah larut ke dalam penyerahan, segala urusan hidupnya diuruskan oleh Tuhannya. Dia adalah umpama bayi yang baharu lahir, sentiasa dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh ibunya. Pemeliharaan, penjagaan dan perlindungan Allah s.w.t melebihi apa juga yang mampu dikeluarkan oleh makhluk.
Hamba yang Allah s.w.t masukkan ke dalam daerah pemeliharaan, penjagaan dan perlindunganNya itu adalah hamba yang dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh Allah s.w.t daripada lupa kepadaNya, daripada derhaka kepadaNya, daripada hilang pergantungan kepadaNya dan juga daripada gangguan makhlukNya.
Sesungguhnya Allah itu amat berkuasa diatas segala sesuatu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan