Selasa, 8 November 2022

MEREKA KAUM AMAZIGH BUKAN BARBAR



Saya sering ditanya tentang bangsa Barbar. Adakah mereka masih wujud? Adakah benar mereka kaum yang ganas. Adakah mereka kaum nomad yang hidup secara primitif di pergunungan, dalam hutan dan di padang pasir. 

Sebenarnya etnik ini masih wujud. Bukan sedikit. Dianggarkan mereka berjumlah 50 juta orang. Namun sebenarnya nama bangsa ini bukan Barbar. 

Mereka adalah kaum Amazigh (أمازيغ). Dalam bahasa mereka, Amazigh ditulis ⵜⴰⵎⴰⵣⵉⵖⵜ. 

Amazigh bermaksud ‘pejuang pembebasan’ (رجال أحرار). Ketangkasan dan kepahlawanan mereka dalam peperangan pimpinan Tariq bin Ziyad menyebabkan mereka digelar oleh Rom sebagai Barbar. Dengan maksud kaum yang ganas dan primitif. 

Dengan itu juga setiap tindakan keganasan biasanya dilabel sebagai barbarian. 

Seperti kaum Kurdish yang tinggal dicelah-celah masyarakat Turkey, Syria dan Iraq, maka kaum Amazigh juga tinggal bersama masyarakat Arab di utara Afrika khususnya Maghribi dan Algeria.

Kaum Amazigh juga ramai di Tunisia, Libya, Mali, Niger, Mauritania dan Perancis. Pemain bola sepak Perancis, Zainuddin Zidan adalah salah seorang dari mereka.

Mereka ada ketamadunan sendiri. Ada bahasa dan tulisan sendiri. Sejak tahun 2016, Bahasa Amazigh mendapat pengiktirafan Maghribi dan Algeria dan diajar di sebahagian sekolah negara berkenaan.

Mereka turut mempunyai takwim yang masih diguna pakai hingga kini. Tahun ini (2022) adalah tahun 2970 mengikut kelendar Amazigh.

Kelendar ini mula diguna pakai sejak 950 tahun sebelum masihi. Ia adalah tahun kemenangan Raja Amazigh bernama Syisyiniq menewaskan Raja Mesir, Ramsis III. Kemenangan itu menyebabkan lahirnya Denasti Firaun keturunan Amazigh di Mesir. 

Setelah menerima Islam, kaum Amazigh menjadi pejuang-pejuang yang hebat dalam dakwah dan jihad. Bahkan lahir cendekiawan dan alim ulamak yang ramai dari etnik ini.  

Salah seorang dari mereka ialah Tariq bin Ziyad, Fatif Andalus. Ketika menyerang Spanyol, sebahagian besar bala tenteranya adalah dari bangsa Amazigh. Pantai dan pergunungan tempat Tariq mendarat akhirnya mendapat julukan sebagai Jabal Tariq. Orang putih menamakannya sebagai Gibraltar.

Ada mitos yang ditulis kononnya untuk meniupkan semangat supaya tenteranya berperang bersungguh-sungguh, Tariq membakar semua kapal mereka. Disebabkan bimbang tak dapat pulang kerana kapal sudah terbakar, maka tentera-tentera itupun terpaksa berperang bersungguh-sungguh.

Namun dakwaan ini diragui kesahihannya. Pertama kerana tentera Tariq adalah pejuang-pejuang Islam yang berperang untuk memburu syahid. Kedua mereka adalah dari bangsa Amazigh yang sememangnya bersemangat dalam tiap kali peperangan. Tidak perlu sampai bakar kapal!

Selain Tariq, kaum Amazigh berbangga dengan tokoh-tokoh lain dari bangsa mereka. Antaranya Abbas bin Firnas, manusia pertama yang cuba mencipta kapal terbang. Begitu juga Ibnu Khaldun, seorang tokoh yang masyhur sebagai pakar dalam ilmu sains kemasyarakatan. 

Tokoh pelayaran dan pemetaan, Ibnu Batutah juga berbangsa Amazigh. Cendekiawan Malik bin Nabi, mujahid Abd Hamid bin Badis, Muhammad Abd Karim Al Khitabi dan lain-lain turut termasuk dalam senarai tokoh kebanggaan bangsa Amazigh.

Kesimpulannya, nama kaum ini ialah Amazigh, bukannya Barbar. Kedua, mereka bukan kaum primitif dan ganas seperti yang digambarkan. Ketiga, kaum ini punya jasa besar kepada perjuangan Islam, kemajuan ilmu pengetahuan dan kemanusiaan. 

Catatan: Aris Hazlan Ismail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan