Khamis, 3 November 2022

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU TASAWWUF & THARIQAT


Kelebihan menuntut ilmu Tasawwuf dan Thariqat, kebaikan dan fadhilatnya amatlah banyak di antara pokok yang terpenting adalah untuk mencabut syirik khafi yang bersarang di dalam hati kerana tanpa jalan Tazkiatul-nafs (penyucian jiwa) tidak akan mungkin tercabut syirik khafi seseorang yang berada di dalam hati.

Disebutkan oleh Imam al-Ghazali رحمة الله تعالى di dalam kitabnya yang bernama Al-Munqidz Minadh-dhalal :

إني علمت يقينا أن الصوفية هم السالكون لطريق الله خاصة، وأن سيرتهم أحسن السير وطريقهم أحسن الطرق وأخلاقهم أصوب الأخلاق، بل لو جمع عقل العقلاء وحكمة الحكماء وعلم الواقفين على أسرار الشرع من العلماء ليغيروا شيئا من سيرتهم وأخلاقهم ويبدلوه بما هو خيرمنه، لم يجدوا له تبديلا. فإن جميع حركاتهم في ظاهرهم وباطنهم مقتبسة من مشكاة النبوة وليس وراء النبوة نور يستضاء به.

Ertinya :

"Sesungguhnya aku tahu dengan ilmu yang yakin bahawa orang-orang ahli shufi itulah orang-orang yang mengikuti Thariqat yang menyampaikan kepada ma'rifatullahi Ta'ala yang sebenar-benarnya. Perilaku mereka sebaik-baik perilaku, jalan mereka sebetul-betul jalan dan akhlak mereka sebaik-baik akhlak, bahkan jika dihimpunkan akal seluruh orang-orang yang berakal, kebijaksanaan seluruh para hukama' dan ilmu seluruh para ulama yang bersepakat mengetahui rahasia-rahasia ilmu syariat untuk mengubahkan sedikit daripada perilaku dan akhlak ahli shufi ini serta menggantikannya dengan yang lebih baik daripada itu nescaya mereka tidak menemui gantinya dan tidak menemui sesuatu yang lebih baik daripada perilaku mereka itu, kerana gerak-geri mereka yang zahir dan yang batin dicedok (diambil) daripada syariat Nabi ﷺ, dan segala perilaku ahli shufi zahir dan batin semata-mata mengikuti (Nur KeNabian) perilaku Nabi ﷺ.

Seperti yang tersebut di dalam sabda Nabi ﷺ :

العلماء ورثة الأنبياء

Ertinya :

"Para ulama (ahli Shufi) itu ialah yang sebenar-benar mewarisi ilmu para Anbiya'."

Di antara kelebihan ilmu Tasawwuf itu ialah yang disebutkan oleh Al-Arif Billah Al-Kabir Wal-Quthub As-Syahir Saiyidi Ahmad Ar-Rifa'i قدس الله سره :

تعلموا علم الصوفية تعلما فإن جذبات الحق قد قلت في هذا الزمان.

Ertinya :

"Pelajarilah ilmu Shufiyah dengan bersungguh-sungguh belajar, kerana sesungguhnya jadzabatul-haq (tarikan ketuhanan) iaitu orang-orang yang disampaikan Allah Ta'ala kepada makrifat yang sebenar-benar pada zaman ini telah berkurangan."

[ Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani - Siyarus Salikin ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan