Nikmat
Firman Allah swt..
وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها..
" sekiranya kamu sekalian ingin menghitung akan nikmat Allah nescaya kamu tidak akan mampu mengirakannya"
Berkata ahlul isyarah dari kalangan mufassirin, yang dimaksudkan ' NIKMAT ' pada ayat tersebut ialah hakikat Baginda Rasulullah saw yg menjadi sebab utama dan wujudur rahmah bagi keberadaan seluruh akwan (makhluq) , maka oleh yg demikian didatangkan kalimah 'نعمة' didalam ayat itu dengan lafaz mufrad dan bukannya dengan lafaz jamak.
Hakikat Muhammadiah adalah makhluk pertama dan utama yang dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Dari hakikat inilah diciptakan seluruh alam
Firman Allah Taala
وما ارسلناك الا رحمة للعالمين
Dan tidaklah kami utuskan kamu wahai Muhammad kecuali sebagai rahmat untuk seluruh alam
Maka Hakikat Muhammadiah adalah asal wujudnya alam, inilah sebenar-benar pengenalan, makrifat akan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Ahli makrifat adalah mereka yang tenggelam dalam Hakikat Muhammadiah ini kerana tiada makhluk yang boleh masuk ke hadrat Allah kecuali dengan melalui perantaraan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Kehidupan ahli makrifat mereka sentiasa membasahi lidah dan menetapkan hati mereka dalam berselawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Tafakur (pengamatan fikiran) mereka adalah pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
Syukur mereka adalah syukur pada kewujudan NIKMAT UTAMA iaitu Hakikat Muhammadiah, tanpa nikmat ini nescaya tiadalah alam ini.
Mereka ahli makrifat itu fana dalam Hakikat Muhammadiah, maka itulah baqa' iaitu syuhud yang sempurna, memandang kepada 2 hadrat, hadrat azali Ilahi dan hadrat baru hadis حديث
Adapun ahli hijab mereka hanya memandang kepada makhluk tanpa Allah lalu menjadi penghalang kepada Allah, syuhud kepada amalan sahaja, menyangka amalan mereka layak untuk sampai ke hadrat Allah, di sisi ahli hakikat mereka ini seumpama orang kafir yang hanya memandang kepada kesempurnaan makhluk yang binasa
Adapun ahli fana pula mereka hanya memandang kepada Allah semata-mata, menisbahkan semua perkara kepada Allah membawa kepada wahdatul wujud, sehingga meninggalkan syariat sebab mendakwa telah mengenal Allah, lalu mabuk pada hadrat Allah, ini bukan syuhud yang sempurna
Ahli baqa' adalah yang sempurna yang syuhud memandang kepada 2 hadrat seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Rasulullah adalah 'barzakh' atau penghubung antara 2 hadrat yang saling berlawanan sebagaimana firman Allah
مرج البحرين يلتقيان بينهما برزخ لا يبغيان
Telah bercampur dua lautan lalu bertemu keduanya, antara keduanya ada barzakh yang tidak bercampur
Berkata Syeikh Ahmad Tijani bilamana ditanya oleh Sidi Ali Harazim berkenaan makna ayat ini
Maka berkata Syeikh, yang dimaksudkan dengan barzakh adalah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang menjadi penghubung kepada 2 hadrat yang berlainan, barzakh inilah menjadi wasilah antara Allah dan makhluk
Mudah mudahan Allah kurniakan kepada kita semua rasa kehambaan yang sebenar kepada Allah melalui berkat perantaraan agung Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞ الفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ ۞ وَالخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ ۞ نَاصِرِ الحَقِّ بِالحَقِّ ۞ وَالهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ المُسْتَقِيمِ ۞ وَعَلَى آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيمِ ۩
Bingkisan daripada Kitab Irsyadul Asfiya ila Toriqati Khatmil Auliya dan Daurah Irfaniyah oleh Sayyidi Asy Syarif Ahmad Al Hadi Al Hasani Al Maghribi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan