Ilmu dan cara mendapatkannya
Terdapat dua cara manusia mendapatkan ilmu, iaitu:
(1) Cara kasbi atau usaha ikhtiar atau secara samaie bagi ilmu yang zahir. Alat yang diperlukan ialah akal (yang waras), penglihatan atau pendengaran atau kedua-dua sekali, kitab, buku, pen, komputer, guru yang mengajar jika diperlukan.
(2) Cara Dzauqi atau wahbi atau kurniaan terus ke dalam hati oleh Allah SWT. Ini merupakan ilmu batin atau hakikat dan makrifat. Alatnya ialah hati, ruh dan sirr serta basirah yang hidup dan bersih.
Namun kedua-dua cara ini adalah berkait rapat kerana cara dzauqi ini perlulah berdasarkan kepada ilmu dan kefahaman yang diperolehi melalui cara samaie, supaya penuntut ilmu (murid) atau salik tidak tersesat.
Ini bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang mafhumnya: “Dan mereka yang benar-benar bermujahadah dalam jalan agama Kami dengan bersungguh-sungguh, nescaya Kami akan hidayatkan jalan-jalan Kami itu.” (QS Al-Ankabut: 69)
Allah juga berfirman yang bermaksud: “Bertaqwalah kamu nescaya Allah SWT akan kurniakan kamu ilmu.” (QS Al-Baqarah: 282).
Nabi SAW juga bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beramal dengan ilmu yang ia ketahui, nescaya Allah SWT kurniakan ilmu yang ia belum ketahui.“
~ Petikan buku Membentuk Jiwa Sufi (Dr. Hj. Jahid Hj. Sidek)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan