Jumaat, 16 November 2018

KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA HARI JUMAAT

KELEBIHAN MENINGGAL DUNIA HARI JUMAAT

Meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihannya adalah diharapkan bahawa seseorang mukmin yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat akan terpelihara daripada fitnah kubur.

Sehubungan itu, fitnah kubur tersebut adalah merujuk kepada soal jawab di dalam kubur.

Manakala menurut Syeikh Nuruddin Ali al-Zayyadi pula, orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat tetap akan disoal jawab oleh malaikat. Namun, dia diberikan kemudahan untuk menghadapinya. Hal ini kerana soal jawab di dalam kubur adalah menyeluruh untuk setiap mukallaf kecuali orang yang mati syahid dalam pertempuran.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa riwayat, antaranya:

1) Diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'As, bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ

“Tidaklah seorang Muslim itu mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.”(Riwayat al-Tirmizi dan al-Tabarani. Imam al-Tirmizi mengatakan hadis ini gharib).

Imam al-Suyuti mengisyaratkan hadis ini sebagai hasan. Syeikh Muhammad Hijazi al-Sya'rani dan Syeikh Ali al-Azizi turut mengatakan hadis ini sebagai hasan. Manakala menurut al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Munziri pula, sanadnya dhaif.

2) Diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'As, bahawa Nabi sollallahu alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

“Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur.”(Riwayat Ahmad).

Sungguhpun hadis di atas telah dihukumkan dhaif oleh sebahagian ulama, namun ia masih boleh dijadikan panduan berkaitan kelebihan (fadhail) meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat dan bukan sandaran dalam perkara yang berkaitan dengan akidah (siksa kubur).

Wallahu a'lam.

Rujukan

- Tuhfah al-Muhtaj
- Faidh al-Qadir
- Al-Siraj al-Munir
- Hasyiah I'anah al-Talibin
- Tarsyih al-Mustafidin
- Tuhfah al- Ahwazi

CPF

Tiada ulasan:

Catat Ulasan