Khamis, 15 November 2018

Manusia itu akan bersama org yg dicintainya

Hukum menyambut maulidurRasul dan dalil- dalilnya.

Syukur Alhamdulillah, bersyukur kita ke atas hadrat Ilahi yang telah memberi peluang kita untuk berjumpa lagi pada bulan yang penuh rahmat ini iaitu bulan Rabi'ul Awwal yang mana pada bulan inilah lahirnya seorang insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam.

Telah berfirman Allah Taala :
“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia” (QS. Al Anbiya: 107)

Setiap tahun umat Islam seluruh dunia menyambut perayaan Maulidur Rasul sebagai tanda gembira dengan kelahiran Baginda sallallahu alalihi wasallam. Tetapi setiap tahun juga isu sambutan ini pun dibangkitkan oleh sesetangah golongan dengan alasan Rasulullah dan para sahabat radiyallahu anhum tidak pernah mengerjakannya. Jika pernyataan tentang tidak pernah dikerjakan majlis Mauliddur Rasul pada zaman Rasulullah, itu memang benar. Tetapi kita hendaklah melihat dulu hujah para ulama muktabar berkenaan dengan sambutan ini dan apa hukum menyambutnya. Tidak wajar kita terus menyatakan ia haram dikerjakan hanya atas alasan perayaan ini tidak pernah disambut pada zaman Baginda.

Siapakah orang yang pertama menyambut maulid Nabi?
Peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri, pada awal abad ke 7 hijriyah. Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:
“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.

Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa dalam peringatan tersebut Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’ usul, para ahli tasawwuf dan lainnya. Sejak tiga hari, sebelum hari pelaksanaan mawlid Nabi beliau telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut. Segenap para ulama’ saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua berpandang dan menganggap baik perayaan maulid Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu.

Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar.

Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Nabi adalah sesuatu yang baik. Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H), al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H), Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H), al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H), al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H), SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H), al-Imam al-Nawawi (W. 676 H), al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H), mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H), Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H) dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya. Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Kerana itu perayaan maulid Nabi, yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.

Pendapat Para Ulama Dalam Mazhab Syafi'e Dalam Hal Merayakan Perayaan Hari Kelahiran Rasulullah Salalllahu Alaihi Wasallam.

Pendapat Imam Jalaluddin Sayuthi :
“Bahawasanya beliau ditanya orang tentang perayaan Maulud Nabi pada bulan Rabi'ul Awwal, apakah hukumnya menurut syara'. Apakah perbuatan itu dipuji atau dicela, adakah orang yang mengerjakannya dapat pahala atau tidak?
Jawapan Imam Sayuthi : Dasar daripada amalan maulud itu ialah, bahawa manusia berkumpul, lalu mereka membaca sekadar ayat-ayat suci alQuran, kemudian membaca kisah-kisah sejarah Nabi dan kisah-kisah bagaimana keadaannya pada Nabi dilahirkan, kemudian mereka makan bersama dan kemudian berpisah, tidak lebih daripada itu. Ibadat seperti adalah “bidaah hasanah” (bidaah yang baik) yang diberi pahala mengerjakannya, kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan rasa suka dan gembira atas lahirnya Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam. (I'anatut Thalibin)

Pendapat Imam Abu Syamah :
“Suatu hal yang baik, ialah apa yang dikerjakan setiap tahun bersetuju dengan hari MaulidurRasul, memberi sedekah, membuat kebajikan, melahirkan kegembiraan dan kesenangan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita kepada untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, membesarkan Baginda, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaNya, yang telah mengutus seorang Rasul, yang diutuskan untuk kebahagiaan seluruh mahkhluk.” (I'anatut Thalibin)

Dalil Umum Perayaan MaulidurRasul.

“Daripada Ibnu Abbas radiyallahu anh, beliau berkata, bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam ketika datang ke Madinah, maka Baginda sallallahu alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura (10 Muharram), maka Nabi bertanya kepada mereka: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?
Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka Rasulullah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Maka daripada dalil ini, al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani berpendapat bahawa Umat Islam dibolehkan, bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah dalam Islam seperti Maulid, Israk Mi'raj dan sebagainya.

Telah berfirman Allah Taala yang mafhumnya :
“Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (surah Al A'raf : 157)

Ternyata dari ayat ini menyatakan bahawa orang yang memuliakan Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah termasuk dalam golongan yang beruntung. Perayaan menyambut kelahiran Baginda juga turut dalam pekerjaan memuliakan Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sudah pasti mereka mendapat pahala dalam mengerjakannya. Ia tidak hanya kepada orang yang menyambut perayaan ini, bahkan bagi semua yang memuliakan Rasulullah dan mengagungkan sunnah masuk dalam golongan ini.

Disebut dalam sebuah hadith yang mafhumnya :
“Datang seorang Badwi kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam lali dia bertanya : Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu datang? Nabi menjawab : Apa yang telah kamu persiapkan untuk menemui hari kiamat itu?
Badwi itu menjawab : Saya tidak menyiapkan solat yang banyak, juga tidak banyak berpuasa, tetapi apa yang telah saya persiapkan untuk menemui kiamat itu ialah “kecintaan kepada Allah dan RasulNya.” Nabi menjawab : Manusia itu di akhirat bersama-sama dengan orang yang dicintainya.”(HR Bukhari dan Muslim)

Telah diketahui umum bahawa golongan yang menyambut perayaan MaulidurRasul sebagai terjmahan rasa cinta kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam dalam bentuk perlakuan. Mereka membaca nazham-nazham yang menceritakan tentang sirah Baginda serta mendengar tausiyah-tausiyah daripada para ulama semata-mata untuk menambah lagi rasa cinta kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Sebenarnya masih banyak lagi dalil umum untuk dikemukakan, tetapi atas kelemahan penulis yang tidak mampu menaip panjang maka cukuplah dengan mengemukakan bebrapa dalil dan pendapat untuk menyatakan kenapa diadakan perayaan Maulid ini. Jika kita tidak berminat untuk menyambutnya tidak mengapa, tetapi janganlah jadi golongan yang membantah sedangkan kita sendiri menyambut hari lahir kita sendiri, maka apatah lagi untuk menerbitkan rasa gembira atas kelahiran Rasulullah.

Mudah-mudahan Allah yang Rahman dan rahim mengurniakan kepada kita rahmat dan taufiqNya, hingga kita selalu dlam keadaan memuliakan Nabi Junjungan kita yang paling mulia. Amin
Wallahua'lam

Ustadz Uthman Daud
13 Januari 2014
Bersamaan dengan 12 Rabi'ul Awwal 1435

Tiada ulasan:

Catat Ulasan