Rabu, 7 November 2018

PSEUDO-SUFI

PSEUDO-SUFI

Tidak dinafikan bahawa terdapat sebilangan kecil yang zahirnya bertasawwuf serta berpakaian ahli sufi, namun pada hakikatnya mereka itu adalah musuh Allah dan RasulNya.

Manakala ada segolongan orang awam  melihat Tasawwuf itu dari sudut yang negatif hanya kerana terkesan dengan pembawaan ahli Tasawwuf ‘tiruan’ atau lebih mesra dengan panggilan Pseudo-Sufi yang berlawanan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Mutaakhir ini sering kedengaran orang yang membawa fahaman Tasawwuf yang berlawanan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pelbagai ideologi dikemukakan bertujuan untuk melihatkan perjalanan mereka itu hebat dan penuh dengan unsur mistik serta hakikat yang pelik.

Penulis sendiri ada mengkaji satu tarikat yang berpusat di Terengganu yang mana Syeikh tarikat itu mengaku menerima tarikat secara langsung dari Allah dan menisbahkan tarikat itu kepada namanya.

Penulis sendiri mendapat maklumat langsung daripada seorang pengikut tarikat tersebut yang mengatakan bahawa (antara fahaman yang dibawa tarikat tersebut); sanad tarikat tidak wajib (kerana tarikat tersebut tidak bersanad), manakala menjadi majzub itu wajib (mendakwa gurunya menerima tarikat dari Allah ketika sedang majzub). Sedangkan ini bukanlah daripada ajaran dan usul Tasawwuf yang sebenar.

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal melalui kitab karangan beliau iaitu Risalah Tasawwuf, telah menyenaraikan lebih daripada 50 ajaran (hasil dari pembawaan tarikat dan hakikat) yang wujud di tanah melayu serta nusantara yang menjurus kepada kufur.

Sebenarnya ukuran bagi tarikat, hakikat serta makrifat adalah pada neraca SYARI’AT.

Para Masyaikh yang terdahulu telah merangka usul serta kaedah bagi Tasawwuf agar tidak berlawanan dengan Syari’at.

Hadrat Syeikh Junaid Baghdādi Rahimahullah berkata:
“Seseorang (salik) yang tidak memulai Bidaayah sesekali tidak akan menemui Nihaayah”.

Syeikh Sulaiman Darani Rahimahullah berkata:
“Menurut sesetengah Ulama Sufi, kecacatan pada menjaga Usul dalam hakikat dan makrifat akan memacu kepada kemusnahan Wusul (Nihaayah)”.

Melangkaui batas Syari’at walau sekadar selembar rambut adalah menempah kerugian untuk diri sendiri di dunia serta akhirat.

Di dalam perjalanan Tasawwuf ini, Hadrat Syeikh Junaid Baghdādi Rahimahullah menetapkan satu kaedah atau usul yang mudah:

“Jika kamu melihat seorang lelaki terbang di udara dan berjalan di atas air, janganlah kamu tertipu dengannya sehinggalah ia dinilai dan diukur dari neraca Syari’at.

Sekiranya kamu dapati dirinya melakukan ketaatan dan menolak kemungkaran, maka dia adalah seorang Waliyullah yang soleh. Maka itu adalah Karamah dari Allah SWT.

Sekiranya kamu dapati dirinya tidak mematuhi Syari’at Allah, maka kamu campaklah keajaibannya itu kerana dia adalah seorang zindiq”.

Jika kita melihat orang yang membawa Tasawwuf itu berlawanan dengan ajaran  Al-Quran dan As-Sunnah maka hendaklah kita menolak orangnya bukan menolak Tasawwuf.

Mereka itulah yang layak digelar Pseudo-Sufi yang membawa kerosakkan kepada Tasawwuf.

Allah jualah yang mengetahui segala perkara zahir dan batin.

-BR-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan